Allah Swt Membersihkan Tuduhan Kaum Bani Israil kepada Nabi Musa as
Surah 33: Al-Ahzab (69)
Ayat 69
يَـٰٓأَيُّهَا ٱلَّذِينَ ءَامَنُوا۟ لَا تَكُونُوا۟ كَٱلَّذِينَ ءَاذَوْا۟ مُوسَىٰ فَبَرَّأَهُ ٱللَّهُ مِمَّا قَالُوا۟ ۚ وَكَانَ عِندَ ٱللَّهِ وَجِيهًا
Wahai orang-orang yang beriman, janganlah kamu menjadi seperti orang-orang yang menyakiti Musa, maka Allah membersihkannya daripada tuduhan-tuduhan yang mereka katakan. Dan adalah Dia seorang yang mempunyai kedudukan terhormat di sisi Allah.
Allah Swt melarang orang-orang beriman daripada menyakiti Rasulullah saw dengan kata-kata dan perbuatan seperti yang telah dilakukan oleh kaum Bani Israil terhadap Nabi mereka iaitu Nabi Musa as.
Kaum Nabi Musa as telah menyakiti baginda dengan menuduh baginda berpenyakit hernia, lalu Allah Swt membebaskannya daripada pembohongan tersebut. Sesungguhnya Nabi Musa as memiliki kedudukan dan darjat yang tinggi di sisi-Nya.
Abu Hurairah ra berkata, ayat di atas berkait rapat dengan peristiwa orang-orang Yahudi membuat tuduhan terhadap Nabi Musa as. Peristiwa tersebut seperti yang diriwayatkan oleh Imam Muslim, disebutkan bahawa Rasulullah saw bersabda:
“Dahulu Bani Israil mandi dalam keadaan telanjang sehingga satu sama lain dapat melihat aurat temannya, sementara Musa mandi sendirian. Lalu mereka berkata, “Musa menolak untuk mandi bersama kita kerana dia memiliki penyakit di kemaluannya.” Kemudian pada suatu hari, semasa Musa hendak mandi, dia meletakkan bajunya di atas batu. Tiba-tiba batu itu lari membawa bajunya, Musa pun mengejarnya dari belakang, sehingga dia berhenti di hadapan sekumpulan Bani Israil, barulah mereka dapati bahawa Musa bukanlah memiliki penyakit sebagaimana yang mereka tuduhkan.”
(HR. Muslim)
Daripada ‘Abdullah bin Mas’ud, beliau berkata,
“Pada suatu hari, Rasulullah saw membahagikan harta rampasan perang. Lalu seorang lelaki Ansar berkata, ‘Sesungguhnya pembahagian ini tidak diinginkan keredhaan Allah (iaitu tidak adil).’ Aku (Ibnu Mas’ud) berkata, ‘Wahai musuh Allah! Aku akan mengadukan perkataanmu ini kepada Rasulullah.’ Maka aku pun mengadukan perkataan lelaki tersebut kepada Rasulullah saw. Saat mendengarnya, merahlah muka baginda. Kemudian baginda bersabda:
“Semoga rahmat Allah tercurah kepada Musa. Dia disakiti (oleh Bani Israil) lebih daripada ini namun dia bersabar.”
(HR. Ahmad)
Ada sebahagian ahli tafsir mengatakan dengan sebab Allah Swt menganugerahkan kedudukan yang tinggi kepada Nabi Musa as, baginda mampu memohon agar Allah Swt mengangkat Nabi Harun as, saudaranya menjadi Nabi, yang kemudiannya diperkenankan oleh-Nya sebagaimana firman-Nya:
“Dan Kami telah menganugerahkan sebahagian rahmat Kami kepadanya, iaitu saudaranya, Harun menjadi seorang Nabi.”
Maryam 19:53