Nabi Muhammad saw Wajib Diutamakan, Isteri-isteri Baginda adalah Ummahatul Mukminin dan Kedudukan Hubungan Darah dalam Hukum Waris
Surah 33: Al-Ahzab (6)
Ayat 6
ٱلنَّبِىُّ أَوْلَىٰ بِٱلْمُؤْمِنِينَ مِنْ أَنفُسِهِمْ ۖ وَأَزْوَٰجُهُۥٓ أُمَّهَـٰتُهُمْ ۗ وَأُو۟لُوا۟ ٱلْأَرْحَامِ بَعْضُهُمْ أَوْلَىٰ بِبَعْضٍ فِى كِتَـٰبِ ٱللَّهِ مِنَ ٱلْمُؤْمِنِينَ وَٱلْمُهَـٰجِرِينَ إِلَّآ أَن تَفْعَلُوٓا۟ إِلَىٰٓ أَوْلِيَآئِكُم مَّعْرُوفًا ۚ كَانَ ذَٰلِكَ فِى ٱلْكِتَـٰبِ مَسْطُورًا
Nabi itu (hendaknya) lebih utama bagi orang-orang mukmin daripada diri mereka sendiri dan isteri-isterinya adalah ibu-ibu mereka (Ummahatul Mukminin). Dan orang-orang yang mempunyai hubungan darah satu sama lain lebih berhak (waris-mewaris) di dalam kitab Allah daripada orang-orang mukmin dan orang-orang Muhajirin, kecuali jika kamu mahu berbuat baik kepada saudara-saudaramu (seagama). Demikian itu telah tertulis di dalam kitab (Allah).
Allah Swt mengetahui kasih sayang Rasulullah saw kepada umatnya dan keikhlasan baginda kepada mereka. Oleh sebab itulah Dia menetapkan diri baginda mesti diutamakan oleh orang-orang mukmin dibandingkan dengan diri mereka sendiri. Hukuman-hukuman dan keputusan-keputusan yang dibuat oleh baginda mestilah diutamakan melebihi pilihan mereka untuk diri mereka sendiri. Ini sebagaimana firman-Nya:
“Maka demi Rabbmu, mereka (pada hakikatnya) tidak beriman hingga mereka menjadikan kamu hakim dalam perkara yang mereka perselisihkan, kemudian mereka tidak berasa keberatan dalam hati mereka terhadap keputusan yang kamu berikan, dan mereka menerima dengan sepenuhnya.”
An-Nisa 4:65
Dalam hadis sahih, Rasulullah saw bersabda:
“Demi Zat yang jiwaku berada di Tangan-Nya! Salah seorang daripada kalian tidak akan sempurna imannya kecuali bila aku ini lebih dia cintai daripada dirinya sendiri, harta bendanya, anak-anaknya, dan daripada manusia keseluruhannya.”
(HR. Al-Bukhari)
Dalam hadis sahih yang lain disebutkan bahawa Umar ra berkata, “Wahai Rasulullah! Sungguh engkau lebih aku cintai daripada segala-galanya kecuali daripada diriku sendiri.” Rasulullah saw bersabda:
“Tidak (sempurna) wahai Umar! Sehingga aku lebih kamu cintai daripada dirimu sendiri.” Lalu Umar ra berkata, “Kalau begitu, demi Allah! Engkau lebih aku cintai daripada segala-galanya tidak terkecuali diriku sendiri.” Maka Rasulullah bersabda, “Ya, sekarang (baru imanmu sempurna) wahai Umar.”
(HR. Al-Bukhari)
Daripada Abu Hurairah ra, Rasulullah saw bersabda:
“Tidaklah dikatakan seorang mukmin kecuali apabila aku lebih diutamakan olehnya daripada seluruh manusia di dunia dan di akhirat. Jika mahu bacalah firman Allah, ‘Nabi itu (hendaknya) lebih utama bagi orang-orang mukmin daripada diri mereka sendiri.’”
(HR. Al-Bukhari)
Seterusnya, Allah Swt menyatakan bahawa isteri-isteri Rasulullah saw secara hukumnya kepada umatnya adalah seperti ibu-ibu mereka sendiri (Ummahatul Mukminin) yang hendaklah dihormati dan dimuliakan serta haram menikahi mereka setelah kewafatan baginda.
Kemudian Allah Swt menjelaskan hukum yang berkenaan dengan harta pusaka dan siapa yang layak mewarisinya. Mereka yang mempunyai hubungan darah lebih berhak untuk saling mendapatkan kemanfaatan antara satu sama lainnya. Maksudnya mereka ini lebih berhak mendapatkan warisan bukannya orang-orang Muhajirin dan Ansar.
Ayat ini sekali gus menghapuskan tradisi masyarakat Arab sebelumnya iaitu saling mewarisi antara satu sama lain hanya dengan bersumpah adanya tali persaudaraan antara mereka. Ini kerana hak saling mewarisi seperti itu sebenarnya tidak ada kecuali tolong menolong, berbuat kebaikan, bersikap santun dan saling menasihati.
Hukum yang menyatakan bahawa hak mewarisi itu hanyalah kepada orang-orang yang mempunyai hubungan darah itu adalah ketetapan daripada Allah Swt yang telah tertulis dalam Lauh Mahfuz.