Perintah Berselawat kepada Nabi Muhammad saw
Surah 33: Al-Ahzab (56)
Ayat 56
إِنَّ ٱللَّهَ وَمَلَـٰٓئِكَتَهُۥ يُصَلُّونَ عَلَى ٱلنَّبِىِّ ۚ يَـٰٓأَيُّهَا ٱلَّذِينَ ءَامَنُوا۟ صَلُّوا۟ عَلَيْهِ وَسَلِّمُوا۟ تَسْلِيمًا
Sesungguhnya Allah dan para malaikat-Nya berselawat kepada Nabi. Wahai orang-orang yang beriman, berselawatlah kamu kepadanya dan ucapkanlah salam penghormatan kepadanya.
Sesungguhnya Allah Swt sentiasa berselawat kepada Rasul-Nya iaitu dengan menganugerahkan rahmat dan keredhaan-Nya kepada baginda.
Begitu juga para malaikat sentiasa berselawat kepada baginda dengan memohon keampunan untuk baginda.
Oleh itu, orang-orang beriman kepada Allah dan Rasul-Nya diperintahkan agar berselawat kepada baginda dengan mengucapkan اللَّهُمَّ صَلِّ عَلَى مُحَمَّدٍ iaitu berdoa agar Allah Swt merahmati baginda, menambahkan kemuliaan dan darjat yang tinggi kepada baginda.
Ada beberapa hadis mutawatir (diriwayatkan oleh sekumpulan perawi yang ramai) yang bersumber daripada Rasulullah saw yang menetapkan bacaan atau cara berselawat kepada baginda, antaranya:
Imam Al-Bukhari meriwayatkan dalam Kitab Tafsir, daripada Ka’b ibnu ‘Ujrah, beliau berkata, “Seseorang bertanya, ‘Wahai Rasulullah, adapun tentang memberi salam ke atasmu telah kami ketahui, lalu bagaimana cara berselawat ke atasmu?” Rasulullah bersabda,
“Ucapkanlah:
اللَّهُمَّ صَلِّ عَلَى مُحَمَّدٍ ، وَعَلَى آلِ مُحَمَّدٍ ، كَمَا صَلَّيْتَ عَلَى إِبْرَاهِيمَ وَعَلَى آلِ إِبْرَاهِيمَ ، إِنَّكَ حَمِيدٌ مَجِيدٌ ، اللَّهُمَّ بَارِكْ عَلَى مُحَمَّدٍ ، وَعَلَى آلِ مُحَمَّدٍ ، كَمَا بَارَكْتَ عَلَى إِبْرَاهِيمَ ، وَعَلَى آلِ إِبْرَاهِيمَ ، إِنَّكَ حَمِيدٌ مَجِيدٌ
‘Ya Allah, limpahkanlah selawat kepada Muhammad dan keluarga Muhammad, sebagaimana telah Engkau limpahkan selawat kepada keluarga Ibrahim. Sesungguhnya Engkau Maha Terpuji lagi Maha Mulia. Ya Allah, limpahkanlah keberkatan kepada Muhammad dan keluarga Muhammad, sebagaimana telah Engkau limpahkan keberkatan kepada keluarga Ibrahim. Sesungguhnya Engkau Maha Terpuji lagi Maha Mulia.’”
(HR. Al-Bukhari)
Selawat yang disebutkan di atas ini merupakan selawat yang paling sempurna dan tidak ada yang lebih sempurna daripada itu. Inilah selawat yang dibaca dalam tahiyat ketika solat.
Imam Al-Bukhari meriwayatkan daripada Abu Sa’id Al-Khudri, beliau berkata, “Wahai Rasulullah! Ini adalah bacaan salam untukmu, lalu bagaimana cara kami berselawat kepadamu?” Baginda bersabda:
“Ucapkanlah, ‘Wahai Allah, limpahkanlah selawat kepada Muhammad, hamba-Mu dan utusan-Mu, sebagaimana Engkau melimpahkan selawat kepada Nabi Ibrahim. Berikanlah keberkatan kepada Muhammad dan kepada keluarga Muhammad, sebagaimana Engkau telah memberikan keberkatan kepada keluarga Ibrahim.”
(HR. Al-Bukhari)
Antara waktu untuk berselawat ialah memperbanyak membacanya pada malam dan hari Jumaat.
Imam Ahmad meriwayatkan daripada Aus bin Aus Ath-Thaqafi ra, beliau berkata, Rasulullah saw bersabda:
“Hari yang paling utama untuk kalian adalah hari Jumaat. Pada hari itu diciptakan Nabi Adam. Pada hari Jumaat Nabi Adam diambil nyawanya. Pada hari Jumaat ditiup sangkakala. Pada hari Jumaat semua makhluk dimatikan. Oleh sebab itu perbanyaklah berselawat kepadaku pada hari itu, kerana selawat yang kalian baca akan dibawa di hadapanku.”
Para sahabat bertanya, “Bagaimana boleh selawat dibawa di hadapanmu sedangkan engkau telah binasa?” Baginda menjawab:
“Sesungguhnya Allah mengharamkan bumi memakan jasad para Nabi.”
(HR. Ahmad)
Terdapat beberapa hadis lagi tentang waktu-waktu istimewa untuk berselawat kepada Nabi saw yang boleh dirujuk dalam kitab Tafsir Ibnu Kathir, antara waktu-waktu yang disebut:
1. Setiap kali selesai azan.
2. Ketika masuk dan keluar masjid.
3. Dalam solat jenazah.
4. Mengakhiri doa dengan berselawat kepada Nabi.
Selain itu, ada beberapa hadis lain yang menyebutkan tentang berselawat kepada Rasulullah saw, antaranya:
Daripada Abu Hurairah ra, beliau berkata, Rasulullah saw bersabda:
“Sesiapa yang berselawat kepadaku sekali, nescaya Allah akan berselawat kepadanya sebanyak sepuluh kali.”
(HR. Muslim, Abu Dawud, At-Tirmizi dan An-Nasa’i)
Daripada Al-Husain bin ‘Ali ra, beliau berkata, Rasulullah saw bersabda:
“Orang yang kikir ialah orang yang apabila namaku disebut di hadapannya, kemudian dia tidak berselawat kepadaku.”
(HR. Ahmad dan At-Tirmizi)