Penjelasan tentang Hukum Wanita yang Dihalalkan untuk Rasulullah saw dan Rumahtangga Baginda
Surah 33: Al-Ahzab (50 – 52)
Ayat 50
يَـٰٓأَيُّهَا ٱلنَّبِىُّ إِنَّآ أَحْلَلْنَا لَكَ أَزْوَٰجَكَ ٱلَّـٰتِىٓ ءَاتَيْتَ أُجُورَهُنَّ وَمَا مَلَكَتْ يَمِينُكَ مِمَّآ أَفَآءَ ٱللَّهُ عَلَيْكَ وَبَنَاتِ عَمِّكَ وَبَنَاتِ عَمَّـٰتِكَ وَبَنَاتِ خَالِكَ وَبَنَاتِ خَـٰلَـٰتِكَ ٱلَّـٰتِى هَاجَرْنَ مَعَكَ وَٱمْرَأَةً مُّؤْمِنَةً إِن وَهَبَتْ نَفْسَهَا لِلنَّبِىِّ إِنْ أَرَادَ ٱلنَّبِىُّ أَن يَسْتَنكِحَهَا خَالِصَةً لَّكَ مِن دُونِ ٱلْمُؤْمِنِينَ ۗ قَدْ عَلِمْنَا مَا فَرَضْنَا عَلَيْهِمْ فِىٓ أَزْوَٰجِهِمْ وَمَا مَلَكَتْ أَيْمَـٰنُهُمْ لِكَيْلَا يَكُونَ عَلَيْكَ حَرَجٌ ۗ وَكَانَ ٱللَّهُ غَفُورًا رَّحِيمًا
Wahai Nabi, sesungguhnya Kami telah menghalalkan bagimu isteri-isterimu yang telah kamu berikan maskahwinnya dan hamba perempuan yang kamu miliki yang termasuk apa yang kamu peroleh dalam peperangan yang dikurniakan Allah untukmu, dan (demikian juga) anak-anak perempuan daripada saudara lelaki bapamu, anak-anak perempuan daripada saudara perempuan bapamu, anak-anak perempuan daripada saudara lelaki ibumu dan anak-anak perempuan daripada saudara perempuan ibumu yang turut hijrah bersama denganmu, dan perempuan mukmin yang menyerahkan dirinya kepada Nabi kalau Nabi mahu menikahinya, sebagai pengkhususan baginya, bukan untuk semua orang mukmin. Sesungguhnya Kami telah mengetahui apa yang Kami wajibkan kepada mereka tentang isteri-isteri mereka dan hamba sahaya yang mereka miliki supaya tidak menjadi kesempitan bagimu. Dan adalah Allah Maha Pengampun lagi Maha Penyayang.
Allah Swt menyatakan perempuan yang boleh dinikahi Rasulullah saw ada empat golongan iaitu:
▪️ Yang diberikan mahar.
Dihalalkan kepada Nabi untuk menggauli isteri-isteri yang telah diberikan mahar kepada mereka.
▪️ Hamba sahaya perempuan.
Allah Swt membolehkan Nabi memperisterikan hamba sahaya wanita yang diperoleh daripada rampasan perang. Baginda pernah memiliki Safiyyah binti Huyay dan Juwairiyah sebagai hamba sahaya, kemudian dimerdekakan kedua-duanya dan dijadikan isteri. Baginda juga memiliki Raihanah binti Syam’um dan Mariyah Al-Qibtiyyah ra, ibu kepada anak baginda, Ibrahim. Kedua-duanya adalah hamba sahaya baginda.
▪️ Sepupu sebelah bapa atau sebelah ibu.
▪️ Perempuan mukminah yang menawarkan dirinya kepada Rasulullah saw untuk dinikahi baginda tanpa mahar sekiranya baginda menghendakinya.
Allah Swt memberikan keringanan (pengkhususan hukum) kepada baginda saw. Namun hal ini tidak dibolehkan kepada seluruh umatnya, iaitu:
▪️ Tidak dibolehkan bagi seseorang perempuan menyerahkan dirinya kepada seorang lelaki untuk dinikahi tanpa wali, para saksi dan mas kahwin.
▪️ Orang-orang mukmin (selain Rasulullah saw) hanya boleh bernikah dengan empat orang wanita yang merdeka. Walau bagaimanapun mereka boleh memiliki hamba sahaya dan mencampuri mereka.
Ayat 51
تُرْجِى مَن تَشَآءُ مِنْهُنَّ وَتُـْٔوِىٓ إِلَيْكَ مَن تَشَآءُ ۖ وَمَنِ ٱبْتَغَيْتَ مِمَّنْ عَزَلْتَ فَلَا جُنَاحَ عَلَيْكَ ۚ ذَٰلِكَ أَدْنَىٰٓ أَن تَقَرَّ أَعْيُنُهُنَّ وَلَا يَحْزَنَّ وَيَرْضَيْنَ بِمَآ ءَاتَيْتَهُنَّ كُلُّهُنَّ ۚ وَٱللَّهُ يَعْلَمُ مَا فِى قُلُوبِكُمْ ۚ وَكَانَ ٱللَّهُ عَلِيمًا حَلِيمًا
Engkau boleh menangguhkan (menggauli) siapa yang kamu kehendaki di antara mereka (para isterimu) dan (boleh pula) menggauli (siapa di antara mereka) yang engkau kehendaki. Dan siapa yang engkau ingini untuk menggaulinya kembali daripada isteri-isterimu yang telah engkau sisihkan, maka tidak ada dosa bagimu. Yang demikian itu adalah lebih dekat untuk menyenangkan hati mereka, dan mereka tidak berasa sedih, dan mereka rela dengan apa yang telah engkau berikan kepada mereka semuanya. Dan Allah mengetahui apa yang (tersimpan) dalam hatimu. Dan adalah Allah Maha Mengetahui lagi Maha Penyantun.
Ayat ini diturunkan untuk menjelaskan bahawa Rasulullah saw dibenarkan menggauli sesiapa yang dikehendakinya di antara isteri-isteri baginda dan tidak diwajibkan bagi baginda menentukan giliran secara teratur. Mengadakan giliran secara adil hanya diwajibkan kepada umatnya.
Meskipun Allah Swt memberi keluasan kepada baginda untuk berbuat sedemikian, baginda memilih untuk melaksanakan pengiliran isteri-isterinya dengan adil. Ini menyebabkan isteri-isteri baginda berasa gembira dengan budi baik baginda serta mengakui kebijaksanaan dan keadilan baginda terhadap mereka.
Ayat 52
لَّا يَحِلُّ لَكَ ٱلنِّسَآءُ مِنۢ بَعْدُ وَلَآ أَن تَبَدَّلَ بِهِنَّ مِنْ أَزْوَٰجٍ وَلَوْ أَعْجَبَكَ حُسْنُهُنَّ إِلَّا مَا مَلَكَتْ يَمِينُكَ ۗ وَكَانَ ٱللَّهُ عَلَىٰ كُلِّ شَىْءٍۢ رَّقِيبًا
Tidak halal bagimu (Muhammad) menikahi perempuan-perempuan (lain) setelah itu dan tidak (juga) boleh mengganti mereka dengan isteri-isteri (yang lain), meskipun kecantikannya menarik hatimu kecuali perempuan-perempuan (hamba sahaya) yang engkau miliki. Dan Allah Maha Mengawasi segala sesuatu.
Sebahagian ulama tafsir menyebutkan ayat ini turun sebagai balasan sekali gus menunjukkan betapa redhanya Allah Swt kepada isteri-isteri Rasulullah saw atas sikap mereka yang memilih Allah Swt dan Rasul-Nya sebagaimana yang telah dijelaskan dalam ayat 28 dan 29 yang lepas.
Maka Allah Swt menentukan bilangan isteri-isteri Rasulullah saw hanya kepada mereka sahaja. Baginda tidak dibolehkan berkahwin lagi dengan selain kesembilan isteri-isterinya yang telah ada pada saat itu dan tidak juga dibolehkan menggantikan mereka dengan menikahi perempuan lain tetapi dibenarkan memiliki hamba sahaya seperti Mariyah Al-Qibtiyyah yang dihadiahkan kepada baginda oleh Al-Muqaiqis. Lalu baginda menjadikannya hamba sahaya dan melahirkan seorang anak lelaki diberikan nama Ibrahim yang meninggal dunia ketika masih kecil.
Sesungguhnya Allah Swt adalah Pemelihara dan Pemerhati terhadap segala sesuatu sama ada yang tersembunyi atau yang nyata. Oleh itu, berhati-hatilah agar tidak melanggar peraturan-Nya.