Keutamaan Memperbanyakkan Mengingati Allah Swt
Surah 33: Al-Ahzab (41 – 44)
Ayat 41
يَـٰٓأَيُّهَا ٱلَّذِينَ ءَامَنُوا۟ ٱذْكُرُوا۟ ٱللَّهَ ذِكْرًا كَثِيرًا
Wahai orang-orang yang beriman, berzikirlah (dengan menyebut nama) Allah, zikir yang sebanyak-banyaknya.
Ayat 42
وَسَبِّحُوهُ بُكْرَةً وَأَصِيلًا
Dan bertasbihlah kepada-Nya pada waktu pagi dan petang.
Allah Swt memerintahkan hamba-hamba-Nya yang beriman memperbanyak zikir kepada-Nya yang telah memberikan pelbagai nikmat kepada mereka agar dengan memperbanyak zikir mereka dapat meraih pahala dan tempat kembali yang indah.
Firman Allah Swt dalam ayat-ayat yang lain:
“Kemudian apabila kamu telah menyelesaikan solat(mu), ingatlah Allah ketika kamu berdiri, pada waktu duduk dan ketika kamu berbaring……….”
An-Nisa’ 4:103
“Maka bertasbihlah kepada Allah pada petang dan pada pagi hari (waktu subuh).”
Ar-Rum 30:17
“Maka ingatlah kepada-Ku nescaya Aku ingat kepadamu………”
Al-Baqarah 2:152
Hadis-hadis yang menerangkan keutamaan zikir:
Daripada Abdullah ‘Amr ra, Rasulullah saw bersabda:
“Tidak ada satu kelompok manusia yang berada dalam satu majlis, namun tidak berzikir kepada Allah, kecuali mereka akan melihat pada Hari Kiamat nanti dengan penuh penyesalan.”
(HR. Ahmad)
Daripada Abu Hurairah ra, Rasulullah saw bersabda:
“Allah berfirman, ‘Sesiapa yang mengingati-Ku dalam hatinya, nescaya Aku akan mengingatinya dalam diri-Ku. Sesiapa yang mengingati-Ku dalam kumpulan, nescaya Aku akan mengingatinya dalam kumpulan yang lebih utama daripada manusia (kumpulan para malaikat).’”
(HR. Al-Bukhari dan Muslim)
Ayat 43
هُوَ ٱلَّذِى يُصَلِّى عَلَيْكُمْ وَمَلَـٰٓئِكَتُهُۥ لِيُخْرِجَكُم مِّنَ ٱلظُّلُمَـٰتِ إِلَى ٱلنُّورِ ۚ وَكَانَ بِٱلْمُؤْمِنِينَ رَحِيمًا
Dia-lah yang memberi rahmat kepadamu dan malaikat-Nya (memohonkan keampunan untukmu), supaya Dia mengeluarkan kamu dari kegelapan kepada cahaya (yang terang). Dan adalah Dia Maha Penyayang kepada orang-orang yang beriman.
Ini adalah faktor yang mendorong manusia untuk selalu berzikir. Allah Swt sentiasa mengingati, memberi rahmat dan petunjuk kepada hamba-hamba-Nya, maka mereka hendaklah selalu mengingati-Nya.
Daripada Umar Al-Khattab ra, Rasulullah saw melihat seorang wanita tawanan (kafir) mencapai, memeluk dan menyusukan bayinya. Lalu baginda bersabda:
“Menurut kalian apakah wanita ini sanggup melemparkan anaknya ke dalam api padahal dia mampu melakukannya?” Para sahabat menjawab, “Tidak.” Baginda lalu bersabda, “Demi Allah! Sesungguhnya Allah lebih menyayangi hamba-hamba-Nya daripada wanita ini terhadap anaknya.”
(HR. Al-Bukhari)
Ayat 44
تَحِيَّتُهُمْ يَوْمَ يَلْقَوْنَهُۥ سَلَـٰمٌ ۚ وَأَعَدَّ لَهُمْ أَجْرًا كَرِيمًا
Sambutan penghormatan kepada mereka semasa menemui-Nya ialah ucapan “Salam” (selamat sejahtera). Dan Dia telah menyediakan pahala yang mulia bagi mereka.
Allah Swt menyatakan bahawa ucapan penghormatan daripada-Nya kepada orang-orang mukmin melalui perantaraan para malaikat di akhirat kelak adalah “Salam”. Salam bermaksud selamat dan sejahtera daripada segala bencana.
Firman Allah Swt dalam ayat-ayat yang lain:
“(Kepada mereka dikatakan), “Salam,” sebagai ucapan selamat daripada Rabb Yang Maha Penyayang.”
Yasin 36:58
“Doa mereka di dalamnya ialah, “Subhanakallahumma” (Maha Suci Engkau, wahai Tuhan kami) dan salam penghormatan mereka ialah, “Salam” (selamat sejahtera). Dan penutup doa mereka ialah, “Alhamdulillahi Rabbil ‘alamin.” (Segala Puji bagi Allah Rabb seluruh alam).”
Yunus 10:10
Seterusnya, Allah Swt menyatakan bahawa Dia menyediakan “pahala yang mulia bagi mereka,” iaitu syurga dengan segala kenikmatan dan kemewahan yang belum pernah dilihat, didengar dan dibayangkan oleh manusia.