Surah 33: Al-Ahzab (36)

Orang yang Menderhakai Allah dan Rasul-Nya Berada dalam Kesesatan

Surah 33: Al-Ahzab (36)


Ayat 36

وَمَا كَانَ لِمُؤْمِنٍ وَلَا مُؤْمِنَةٍ إِذَا قَضَى ٱللَّهُ وَرَسُولُهُۥٓ أَمْرًا أَن يَكُونَ لَهُمُ ٱلْخِيَرَةُ مِنْ أَمْرِهِمْ ۗ وَمَن يَعْصِ ٱللَّهَ وَرَسُولَهُۥ فَقَدْ ضَلَّ ضَلَـٰلًا مُّبِينًا

Dan tidaklah patut bagi lelaki yang beriman dan perempuan yang beriman, apabila Allah dan Rasul-Nya telah menetapkan suatu ketetapan, akan ada bagi mereka pilihan (yang lain) tentang urusan mereka. Dan sesiapa menderhakai Allah dan Rasul-Nya maka sungguhlah dia telah sesat dengan kesesatan yang nyata.

Allah Swt menyatakan bahawa apabila Dia dan Rasul-Nya telah menetapkan suatu hukuman atau keputusan, maka tidak ada sesiapa pun yang boleh menentang dan menetapkan keputusan yang lain.

Firman Allah Swt dalam ayat-ayat yang lain:

“Wahai orang-orang yang beriman, janganlah kamu mendahului Allah dan Rasul-Nya dan bertakwalah kepada Allah. Sesungguhnya Allah Maha Mendengar lagi Maha Mengetahui.”

Al-Hujurat 49:1

“Maka demi Rabbmu, mereka (pada hakikatnya) tidak beriman sehingga mereka menjadikan kamu hakim dalam perkara yang mereka perselisihkan, kemudian mereka tidak berasa berat dalam hati mereka terhadap keputusan yang kamu berikan, dan mereka menerima dengan sepenuhnya.”

An-Nisa’ 4:65

Sebenarnya ketetapan yang dibuat oleh Rasulullah saw adalah daripada ketetapan dan keputusan Allah Swt.

Ayat ini juga mengandungi ancaman keras kepada sesiapa yang menyalahi atau menderhakai Rasul-Nya. Allah Swt menyatakan sesiapa sahaja yang menentang perintah-Nya atau Rasul-Nya dengan tidak mematuhi dan mengendahkan larangan-Nya dan Rasul-Nya, sesungguhnya dia benar-benar telah menyimpang daripada petunjuk dan kebenaran. Firman-Nya:

“………………Maka hendaklah orang-orang yang menyalahi perintahnya (Rasul), takut akan ditimpa ujian atau ditimpa azab yang pedih.”

An-Nur 24:63