Surah 33: Al-Ahzab (35)

Sifat Orang Mukmin

Surah 33: Al-Ahzab (35)


Ayat 35

إِنَّ ٱلْمُسْلِمِينَ وَٱلْمُسْلِمَـٰتِ وَٱلْمُؤْمِنِينَ وَٱلْمُؤْمِنَـٰتِ وَٱلْقَـٰنِتِينَ وَٱلْقَـٰنِتَـٰتِ وَٱلصَّـٰدِقِينَ وَٱلصَّـٰدِقَـٰتِ وَٱلصَّـٰبِرِينَ وَٱلصَّـٰبِرَٰتِ وَٱلْخَـٰشِعِينَ وَٱلْخَـٰشِعَـٰتِ وَٱلْمُتَصَدِّقِينَ وَٱلْمُتَصَدِّقَـٰتِ وَٱلصَّـٰٓئِمِينَ وَٱلصَّـٰٓئِمَـٰتِ وَٱلْحَـٰفِظِينَ فُرُوجَهُمْ وَٱلْحَـٰفِظَـٰتِ وَٱلذَّٰكِرِينَ ٱللَّهَ كَثِيرًا وَٱلذَّٰكِرَٰتِ أَعَدَّ ٱللَّهُ لَهُم مَّغْفِرَةً وَأَجْرًا عَظِيمًا

Sesungguhnya, lelaki dan perempuan muslim, lelaki dan perempuan mukmin, lelaki dan perempuan yang tetap dalam ketaatannya, lelaki dan perempuan yang benar, lelaki dan perempuan yang sabar, lelaki dan perempuan yang khusyuk, lelaki dan perempuan yang bersedekah, lelaki dan perempuan yang berpuasa, lelaki dan perempuan yang memelihara kehormatannya, lelaki dan perempuan yang banyak menyebut (nama) Allah, Allah telah menyediakan untuk mereka keampunan dan pahala yang besar.

Allah Swt menjelaskan sifat-sifat hamba-hamba-Nya yang akan diampuni segala dosa dan kesalahan serta dimasukkan ke syurga. Sifat-sifat itu adalah:

▪️   Islam iaitu tunduk kepada hukum-hukum agama, sama ada dengan ucapan ataupun perbuatan.

▪️   Iman iaitu membenarkan dan mempercayai segala yang datang daripada Allah Swt dan Rasul-Nya.

▪️   Sentiasa melaksanakan perintah agama dengan penuh kekhusyukan dan ketenangan.

▪️   Selalu benar dalam ucapan dan perbuatan.

▪️   Sabar dan tabah dalam menghadapi pelbagai musibah dalam melaksanakan perintah Allah Swt dan meninggalkan larangan-Nya.

▪️   Khusyuk dan merendah diri (tawadduk) kepada Allah Swt sama ada zahir dan batin.

▪️   Bersedekah dengan harta dan memberi bantuan kepada orang-orang yang memerlukan.

▪️   Berpuasa yang dapat membantu menundukkan syahwat dan hawa nafsu.

▪️   Memelihara kemaluan, kesucian dan kehormatan daripada segala perbuatan haram dan keji kecuali kepada isteri-isteri mereka atau hamba sahaya yang mereka miliki.

▪️   Sentiasa banyak berzikir kepada Allah Swt dengan hati, lidah dan perbuatan seperti solat.

Allah Swt berfirman dalam ayat-ayat yang lain:

“Sesiapa beramal soleh, baik lelaki mahupun perempuan dalam keadaan beriman, maka sesungguhnya Kami benar-benar akan berikan kepadanya kehidupan yang baik dan sesungguhnya akan Kami berikan balasan dengan pahala yang lebih baik daripada apa yang telah mereka lakukan.”

An-Nahl 16:97

“……….Sesiapa mengerjakan kejahatan, nescaya akan dibalas sesuai dengan kejahatan itu dan dia tidak akan mendapat pelindung dan penolong selain Allah. Dan sesiapa melakukan amal kebaikan, baik lelaki mahupun perempuan sedangkan dia beriman, maka mereka itu masuk ke dalam syurga dan mereka tidak dizalimi sedikitpun.”

An-Nisa’ 4:123-124