Ketentuan Allah Swt terhadap Isteri-isteri Nabi Muhammad saw dan Kedudukan Mereka
Surah 33: Al-Ahzab (28 – 34)
Ayat 28
يَـٰٓأَيُّهَا ٱلنَّبِىُّ قُل لِّأَزْوَٰجِكَ إِن كُنتُنَّ تُرِدْنَ ٱلْحَيَوٰةَ ٱلدُّنْيَا وَزِينَتَهَا فَتَعَالَيْنَ أُمَتِّعْكُنَّ وَأُسَرِّحْكُنَّ سَرَاحًا جَمِيلًا
Wahai Nabi, katakanlah kepada isteri-isterimu, “Jika kamu inginkan kehidupan di dunia dan perhiasannya, maka marilah supaya kuberikan kepadamu mut’ah dan aku ceraikan kamu dengan cara yang baik.”
Allah Swt memerintahkan Rasulullah saw menawarkan kepada para isteri baginda untuk memilih daripada dua pilihan sama ada:
Pertama – diceraikan.
Sekiranya mereka memilih kemewahan dunia, maka Rasulullah saw akan menceraikan mereka dengan cara yang baik dan memberikan mut’ah kepada mereka.
Berkaitan dengan mut’ah ini Allah Swt berfirman dalam ayat yang lain:
“……….Dan hendaklah kamu berikan mereka mut’ah bagi yang mampu menurut kemampuannya dan bagi orang yang tidak mampu menurut kesanggupannya, iaitu pemberian dengan cara yang patut. Yang demikian itu merupakan kewajipan bagi orang-orang yang melakukan kebaikan.”
Al-Baqarah 2:236
Ayat 29
وَإِن كُنتُنَّ تُرِدْنَ ٱللَّهَ وَرَسُولَهُۥ وَٱلدَّارَ ٱلْـَٔاخِرَةَ فَإِنَّ ٱللَّهَ أَعَدَّ لِلْمُحْسِنَـٰتِ مِنكُنَّ أَجْرًا عَظِيمًا
Dan jika kamu menginginkan Allah dan Rasulnya-Nya serta Negeri Akhirat, maka sesungguhnya Allah menyediakan pahala yang besar bagi sesiapa yang berbuat baik di antara kamu.
Kedua – tetap bersabar menerima keadaan Rasulullah saw yang serba kekurangan.
Allah Swt menyatakan sekiranya isteri-isteri Rasulullah saw menginginkan keredhaan-Nya dan Rasul-Nya serta balasan syurga di akhirat, maka sesungguhnya Dia menyediakan pahala yang besar buat mereka.
Para isteri baginda kemudiannya memilih Allah, Rasul-Nya dan kehidupan akhirat. Setelah mereka memilih untuk bersama Rasulullah saw, Allah melimpahkan dua kebahagiaan kepada mereka, iaitu kebaikan di dunia dan di akhirat.
Imam Al-Bukhari meriwayatkan hadis daripada ‘Aisyah ra bahawa Rasulullah saw meminta para isteri baginda membuat pilihan bermula dengan dirinya sendiri. Rasulullah saw bersabda:
“Aku hendak menyampaikan kepadamu sebuah perkara. Engkau tidak boleh menjawabnya dengan terburu-buru sebelum meminta pendapat daripada kedua-dua ibu bapamu.”
Padahal baginda tahu bahawa kedua-dua orang tuaku tidak mungkin memerintahkan aku bercerai dengan baginda. Selanjutnya Rasulullah saw bersabda:
“Sesungguhnya Allah Ta’ala telah berfirman, (baginda membacakan ayat 28 ini).”
Aku menjawab, “Apakah hanya untuk urusan ini engkau memerintahkan aku menemui kedua-dua orang tuaku? Sungguh, aku memilih Allah, Rasul-Nya dan Negeri Akhirat.”
Kemudian isteri-isteri yang lain juga melakukan hal yang sama dengan apa yang aku lakukan.
(HR. Al-Bukhari)
Dalam Tafsir Ibnu Kathir, dinyatakan pada ketika itu, Rasulullah saw mempunyai sembilan orang isteri. Lima orang daripada kaum Quraisy iaitu ‘Aisyah, Hafsah, Ummu Habibah, Saodah dan Ummu Salamah ram. Empat yang lain ialah Safiyyah (Bani Nadhir), Maimunah (Bani Hilal), Zainab binti Jahsy (Bani Asad) dan Juwairiyah (Bani Mustaliq).
Isteri Nabi Muhammad saw berjumlah dua belas orang semuanya dan mereka adalah bergelar Ummahatul Mukminin. Mereka semuanya berstatus janda ketika dinikahi baginda kecuali ‘Aisyah binti Abu Bakar yang masih merupakan seorang gadis. Antara tujuan baginda menikahi mereka adalah untuk menghiburkan hati mereka, demi kepentingan menyebarkan dakwah, membangunkan negara dan mempereratkan kesatuan. Berikut adalah nama-nama para isteri baginda:
1▪️ Khadijah binti Khuwailid
2▪️ Saudah binti Zam’ah
3▪️ ’Aisyah binti Abu Bakar As-Siddiq
4▪️ Hafsah binti Umar Al-Khattab
5▪️ Hindun binti Abi Umayyah (Ummu Salamah)
6▪️ Ummu Habibah Ramlah binti Abu Sufyan
7▪️ Zainab binti Jahsy
8▪️ Zainab binti Khuzaimah bin Harits
9▪️ Safiyyah binti Huyaiy
10▪️ Raihanah binti Zaid
11▪️ Juwairiyah binti Al-Harith bin Abi Dhirar
12▪️ Maimunah binti Al-Harith Al-Hilaliyyah
Ayat 30
يَـٰنِسَآءَ ٱلنَّبِىِّ مَن يَأْتِ مِنكُنَّ بِفَـٰحِشَةٍ مُّبَيِّنَةٍ يُضَـٰعَفْ لَهَا ٱلْعَذَابُ ضِعْفَيْنِ ۚ وَكَانَ ذَٰلِكَ عَلَى ٱللَّهِ يَسِيرًا
Wahai isteri-isteri Nabi, jika ada di antara kamu yang melakukan perbuatan keji yang nyata, nescaya azab-Nya akan digandakan sebanyak dua kali kepadanya. Demikian itu adalah mudah bagi Allah.
Allah Swt menyatakan bahawa sesiapa di kalangan para isteri Rasulullah saw melakukan kemaksiatan yang nyata di antara mereka, azab akan digandakan untuknya sebanyak dua kali ganda.
Ini kerana kedudukan mereka yang mulia dan terhormat. Maka sangat sesuai apabila Allah Swt menyiapkan hukuman berat terhadap dosa yang mereka lakukan. Hal ini adalah untuk melindungi kehormatan mereka dan juga kehormatan diri Rasulullah saw. Hukuman yang ditetapkan ini adalah mudah bagi Allah Swt.
Ayat 31
وَمَن يَقْنُتْ مِنكُنَّ لِلَّهِ وَرَسُولِهِۦ وَتَعْمَلْ صَـٰلِحًا نُّؤْتِهَآ أَجْرَهَا مَرَّتَيْنِ وَأَعْتَدْنَا لَهَا رِزْقًا كَرِيمًا
Dan sesiapa di antara kamu (isteri-isteri Nabi) tetap taat kepada Allah dan Rasul-Nya serta mengerjakan amal soleh, nescaya Kami berikan pahala kepadanya dua kali ganda dan Kami sediakan rezeki yang mulia (syurga) baginya.
Dalam ayat yang lepas, Allah Swt menjelaskan bahawa kedudukan para isteri Nabi Muhammad saw sangat tinggi. Oleh sebab itu jika mereka melakukan dosa, Allah Swt akan menyediakan azab yang berlipat ganda terhadap mereka. Hal ini adalah untuk memelihara darjat mereka yang tinggi daripada wanita-wanita lain.
Kemudian dalam ayat ini pula, Allah Swt menyebutkan keadilan-Nya bahawa sekiranya mereka patuh dan taat kepada-Nya dan Rasul-Nya, maka mereka akan diberikan pahala dua kali ganda dan balasan syurga. Mereka akan ditempatkan di syurga yang paling tinggi bersama dengan Rasulullah saw.
Ayat 32
يَـٰنِسَآءَ ٱلنَّبِىِّ لَسْتُنَّ كَأَحَدٍ مِّنَ ٱلنِّسَآءِ ۚ إِنِ ٱتَّقَيْتُنَّ فَلَا تَخْضَعْنَ بِٱلْقَوْلِ فَيَطْمَعَ ٱلَّذِى فِى قَلْبِهِۦ مَرَضٌ وَقُلْنَ قَوْلًا مَّعْرُوفًا
Wahai isteri-isteri Nabi, kamu tidak seperti wanita-wanita yang lain, jika kamu bertakwa. Maka janganlah kamu tunduk dalam berbicara sehingga berkeinginanlah orang yang ada penyakit di dalam hatinya, dan ucapkanlah perkataan yang baik.
Kedudukan para isteri Rasulullah saw dengan julukan ‘Ummahatul Mukminin’ sama sekali tidak dapat disamakan dengan perempuan mukminat dari segi keutamaan dan penghormatan. Ini kerana mereka adalah para isteri kepada Nabi terbaik dan pilihan daripada semua Nabi-nabi dan Rasul-rasul yang ada (Sayyidul Anbiya’ wal Mursalin), sekiranya mereka benar-benar bertakwa.
Firman Allah Swt dalam ayat yang lain:
“………..Sesungguhnya orang yang paling mulia di antara kamu di sisi Allah ialah orang yang paling bertakwa……….”
Al-Hujurat 49:13
Seterusnya dalam ayat 32-34 ini, Allah Swt menggariskan beberapa etika kesopanan yang diperintahkan-Nya agar para isteri Rasulullah saw mentaatinya, dan perlu diikuti oleh seluruh wanita Islam. Antaranya:
▪️ Berbicara dengan tidak melembutkan suara yang boleh menimbulkan keberanian orang lain bertindak tidak baik kepada mereka.
Mereka dilarang berbicara dengan sikap yang boleh menimbulkan sangkaan tidak baik orang lain terhadap mereka. Ini kerana terdapat sebahagian lelaki yang rosak jiwanya mempunyai niat buruk untuk melakukan perbuatan sumbang dan zina dengan wanita.
Ayat 33
وَقَرْنَ فِى بُيُوتِكُنَّ وَلَا تَبَرَّجْنَ تَبَرُّجَ ٱلْجَـٰهِلِيَّةِ ٱلْأُولَىٰ ۖ وَأَقِمْنَ ٱلصَّلَوٰةَ وَءَاتِينَ ٱلزَّكَوٰةَ وَأَطِعْنَ ٱللَّهَ وَرَسُولَهُۥٓ ۚ إِنَّمَا يُرِيدُ ٱللَّهُ لِيُذْهِبَ عَنكُمُ ٱلرِّجْسَ أَهْلَ ٱلْبَيْتِ وَيُطَهِّرَكُمْ تَطْهِيرًا
Dan hendaklah kamu tetap di rumahmu dan janganlah kamu berhias dan bertingkah laku seperti orang-orang jahiliyyah dahulu, laksanakanlah solat, tunaikanlah zakat, dan taatilah Allah dan Rasul-Nya. Sesungguhnya Allah hendak menghilangkan dosa kamu, wahai ahlulbait dan membersihkan kamu sebersih-bersihnya.
▪️ Tetap tinggal di rumah dan tidak berhias (bertabarruj) sekiranya keluar rumah apabila ada keperluan.
Isteri-isteri Rasulullah saw diperintahkan agar tetap berada di rumah dan hanya dibolehkan keluar rumah sekiranya ada keperluan yang dibenarkan oleh syarak. Apabila ada keperluan untuk keluar rumah, mereka dilarang berwangi-wangian dan bertabarruj. Perintah ini juga meliputi segenap muslimah untuk menjauhkan wanita daripada fitnah.
Antara hajat-hajat syar’i adalah solat di masjid dengan syaratnya, seperti sabda Rasulullah saw:
“Janganlah kamu melarang hamba-hamba Allah wanita menuju masjid-masjid Allah dan hendaklah mereka keluar dengan tidak memakai wangi-wangian.” Dalam suatu riwayat disebutkan, “Sedangkan solat di rumah-rumah mereka lebih baik bagi mereka (jika mereka mengetahui).”
(HR. Abu Dawud)
Menurut Mujahid, dahulu para wanita keluar berjalan di tengah-tengah kaum lelaki. Ini disebut sebagai perilaku orang-orang jahiliyyah dahulu. Qatadah mengatakan, apabila mereka keluar rumah mereka suka berjalan dengan melenggok-lenggokkan badan, lemah gemalai dan manja. Ini dilarang oleh Allah Swt.
Mereka bertabarruj dengan mengenakan tudung kepala yang diikatkan ke leher sehingga menampakkan leher dan kalung-kalung serta anting-anting yang mereka pakai. Kemudian tradisi bertabarruj seperti ini dilakukan oleh wanita-wanita mukmin.
▪️ Sentiasa melaksanakan kebaikan seperti mendirikan solat, menunaikan zakat serta taat kepada Allah Swt dan Rasul-Nya.
Segala perkara seperti yang disebutkan ini adalah satu bentuk pengabdian hamba kepada Allah Swt, satu-satunya Rabb yang tiada sekutu bagi-Nya.
Ahlulbait ialah keluarga rumah tangga Rasulullah saw. Ayat ini jelas menyatakan bahawa isteri-isteri baginda tergolong sebagai ahlulbait kerana merekalah yang menjadi penyebab turunnya ayat dan hukum ayat ini.
Ayat 34
وَٱذْكُرْنَ مَا يُتْلَىٰ فِى بُيُوتِكُنَّ مِنْ ءَايَـٰتِ ٱللَّهِ وَٱلْحِكْمَةِ ۚ إِنَّ ٱللَّهَ كَانَ لَطِيفًا خَبِيرًا
Dan ingatlah apa yang dibacakan di rumahmu daripada ayat-ayat Allah dan hikmah (sunnah Nabimu). Sesungguhnya Allah Maha Lembut lagi Maha Mengetahui.
▪️ Sentiasa mengamalkan Al-Quran dan As-Sunnah serta mengajarkannya.
Allah Swt mengingatkan ahlulbait (para isteri Rasulullah saw) tentang nikmat yang dikurniakan kepada mereka. Dia menyatakan bahawa antara sebab-sebab mereka mendapat kurniaan yang besar ialah rumah kediaman mereka adalah tempat-tempat turunnya wahyu.
Maka Allah Swt memerintahkan mereka mengamalkannya dan mengajarkan apa yang dibacakan di rumah-rumah mereka daripada ayat-ayat-Nya juga sunnah Rasulullah saw kepada orang ramai yang berkaitan dengan kehidupan baginda dalam rumahtangga dan juga syariat Islam.
Ayat ini merupakan perintah Allah Swt untuk mengamalkan Kitabullah dan sunnah Rasulullah saw.
Firman Allah Swt dalam ayat-ayat yang lain:
“Sesungguhnya orang-orang yang selalu membaca kitab Allah (Al-Quran) dan melaksanakan solat dan menafkahkan sebahagian daripada rezeki yang Kami anugerahkan kepada mereka dengan diam-diam dan terang-terangan, mereka itu mengharapkan perniagaan yang tidak akan rugi. Agar Allah menyempurnakan pahala kepada mereka dan menambahkan kurniaan-Nya. Sesungguhnya Allah Maha Perkasa lagi Maha Pengampun.”
Fatir 35:29-30
“Kitab (Al-Quran) yang Kami turunkan kepadamu dengan keberkatan supaya mereka menghayati ayat-ayatnya dan supaya orang-orang yang berakal sihat mendapat pengajaran.”
Sad 38:29
Hadis yang diriwayatkan oleh Imam Muslim tentang fadhilat membaca Al-Quran, antaranya:
“Perumpamaan seorang mukmin yang membaca Al-Quran adalah seperti buah atrujah, baunya harum dan rasanya enak. Perumpamaan seorang mukmin yang tidak membaca Al-Quran seperti buah kurma, tidak ada baunya namun rasanya manis. Adapun orang munafik yang membaca Al-Quran diumpamakan seperti buah raihanah, baunya wangi tetapi rasanya pahit. Sementara orang munafik yang tidak membaca Al-Quran seperti buah hanzhalah, tidak ada baunya, rasanya pun pahit.”
(HR. Muslim)
Sesungguhnya Allah Swt Maha Lembut, maka dengan kelembutan-Nya itu Dia menganugerahkan kedudukan yang tinggi kepada para isteri Nabi dan Dia Maha Mengetahui bahawa mereka memang layak menerima kurniaan-Nya secara khusus.