Proses Penciptaan Manusia
Surah 32: As-Sajdah (7 – 9)
Ayat 7
ٱلَّذِىٓ أَحْسَنَ كُلَّ شَىْءٍ خَلَقَهُۥ ۖ وَبَدَأَ خَلْقَ ٱلْإِنسَـٰنِ مِن طِينٍ
Yang memperindahkan segala sesuatu yang Dia ciptakan dan yang memulai penciptaan manusia daripada tanah.
Ayat 8
ثُمَّ جَعَلَ نَسْلَهُۥ مِن سُلَـٰلَةٍ مِّن مَّآءٍ مَّهِينٍ
Kemudian Dia jadikan keturunannya daripada air yang hina (air mani).
Ayat 9
ثُمَّ سَوَّىٰهُ وَنَفَخَ فِيهِ مِن رُّوحِهِۦ ۖ وَجَعَلَ لَكُمُ ٱلسَّمْعَ وَٱلْأَبْصَـٰرَ وَٱلْأَفْـِٔدَةَ ۚ قَلِيلًا مَّا تَشْكُرُونَ
Kemudian Dia menyempurnakannya dan meniupkan roh ke dalam tubuhnya dan Dia menjadikan pendengaran, penglihatan dan hati (tetapi) sedikit sekali kamu bersyukur.
Setelah selesai menjelaskan tentang penciptaan langit dan bumi juga segala isinya dengan seindah-indah dan serapi-rapinya, Allah Swt menerangkan pula tentang penciptaan manusia.
Dia-lah yang menciptakan manusia iaitu Nabi Adam as daripada tanah, kemudian daripadanya manusia berkembang biak bermula daripada setitis air mani lelaki yang bertemu dengan air mani wanita.
Firman Allah Swt dalam ayat-ayat yang lain:
“Dia diciptakan daripada air yang dipancarkan, yang keluar dari antara tulang sulbi lelaki dan tulang dada perempuan.”
At-Tariq 86:6-7
“……….Sesungguhnya Kami telah menjadikan kamu daripada tanah, kemudian daripada setitis air mani, kemudian daripada segumpal darah, kemudian daripada segumpal daging yang sempurna kejadiannya dan yang tidak sempurna, agar Kami jelaskan kepada kamu dan Kami tetapkan dalam rahim, apa yang Kami kehendaki sehingga waktu yang telah ditentukan, kemudian Kami keluarkan kamu sebagai bayi, kemudian (dengan beransur-ansur) kamu sampai usia dewasa, dan di antara kamu ada yang dimatikan dan (ada pula) di antara kamu yang dikembalikan sehingga usia yang sangat tua supaya dia tidak mengetahui lagi sesuatu yang telah diketahuinya………..”
Al-Hajj 22:5
Allah Swt menjadikan benih manusia yang telah tumbuh di dalam rahim itu membentuk janin yang sangat baik lagi sempurna. Lalu ditiupkan nyawa ke dalam janin yang membolehkannya bergerak dalam rahim ibunya.
Seterusnya apabila dilahirkan, Allah Swt mengurniakan beberapa pancaindera kepada manusia. Antara yang terpenting ialah pendengaran dan penglihatan serta hati untuk memahami apa yang didengar dan dilihat.
Nikmat-nikmat pemberian Allah Swt ini selayaknya disyukuri oleh manusia, namun tidak ramai yang bersyukur.