Surah 32: As-Sajdah (4 – 6)

Masa Terciptanya Alam Semesta

Surah 32: As-Sajdah (4 – 6)


Ayat 4

ٱللَّهُ ٱلَّذِى خَلَقَ ٱلسَّمَـٰوَٰتِ وَٱلْأَرْضَ وَمَا بَيْنَهُمَا فِى سِتَّةِ أَيَّامٍ ثُمَّ ٱسْتَوَىٰ عَلَى ٱلْعَرْشِ ۖ مَا لَكُم مِّن دُونِهِۦ مِن وَلِىٍّۢ وَلَا شَفِيعٍ ۚ أَفَلَا تَتَذَكَّرُونَ

Allah-lah yang menciptakan langit dan bumi serta apa yang ada di antara kedua-duanya dalam enam hari, kemudian Dia bersemayam di atas ‘Arasy. Bagimu tidak ada seorang pun penolong mahupun pemberi syafaat selain Dia. Maka apakah kamu tidak memperhatikan?

Allah Swt menyatakan bahawa Dia-lah yang meciptakan langit dan bumi dan apa yang ada di antara keduanya dalam enam hari untuk suatu hikmah yang Dia ketahui, padahal Dia berkuasa untuk menciptakan dengan kalimat, “Kun” maka ia pun jadi. Kemudian Dia bersemayam (iaitu naik dan tinggi) di atas ‘Arasy sesuai dengan keagungan-Nya, tidak ditentukan bentuk dan bagaimana caranya serta tidak disamakan dengan makhluk-Nya.

Seterusnya, Allah Swt menyatakan bahawa tidak ada selain Dia yang mengurus segala urusan manusia dan makhluk-Nya yang lain. Begitu juga tidak ada seorang pun pemberi syafaat yang akan memberikan syafaat kepada mereka di sisi-Nya untuk menyelamatkan mereka daripada seksaan-Nya.

Firman Allah Ta’ala dalam ayat-ayat yang lain:

“Katakanlah, ‘Syafaat itu hanya milik Allah. Dia memiliki kerajaan langit dan bumi. Kemudian kepada-Nya kamu dikembalikan.’”

Az Zumar 39:44

“Dan syafaat di sisi-Nya hanya berguna bagi orang yang telah diizinkan-Nya, sehingga apabila telah dihilangkan ketakutan daripada hati mereka, mereka berkata, ‘Apakah yang telah difirmankan oleh Rabb kamu?’ Mereka menjawab, ‘(Perkataan) yang benar, dan Dia-lah Yang Maha Tinggi lagi Maha Besar.’”

Saba’ 34:23

Pada akhir ayat ini, Allah Swt mengemukakan pertanyaan kepada manusia, mengapa mereka tidak mengambil pelajaran dan memikirkannya, lalu mengesakan-Nya dalam uluhiyyah-Nya dan mengikhlaskan ibadah hanya kepada-Nya.

Ayat 5

يُدَبِّرُ ٱلْأَمْرَ مِنَ ٱلسَّمَآءِ إِلَى ٱلْأَرْضِ ثُمَّ يَعْرُجُ إِلَيْهِ فِى يَوْمٍ كَانَ مِقْدَارُهُۥٓ أَلْفَ سَنَةٍ مِّمَّا تَعُدُّونَ

Dia mengatur segala urusan dari langit ke bumi, kemudian (urusan) itu naik kepada-Nya dalam satu hari yang kadar (lamanya) adalah seribu tahun mengikut hitunganmu.

Dalam ayat ini menunjukkan Allah Swt bukan sahaja mencipta alam ini tetapi Dia juga mentadbirnya. Dia mengatur urusan dunia dari langit (atas) ke bumi sehingga Hari Kiamat. Kemudian semua urusan pentadbir-Nya itu akan naik kepada-Nya dalam suatu hari yang lamanya adalah seribu tahun menurut perhitungan manusia di dunia.

Mujahid, Qatadah dan Adh-Dhahhak mengatakan bahawa turunnya sesuatu mengikut perhitungan manusia dari langit ke bumi menempuh perjalananan selama 500 tahun dan naiknya sesuatu dari bumi juga menempuh jarak 500 tahun. Namun perjalanan selama itu yang membawa berita dan urusan oleh malaikat dapat ditempuh hanya sekejap sahaja. Ayat ini adalah salah satu contoh untuk menunjukkan kebesaran Allah Swt dan keagungan-Nya.

Firman Allah Swt dalam ayat yang lain:

“Dan mereka meminta kepadamu (Muhammad) agar azab itu disegerakan, padahal Allah tidak akan memungkiri janji-Nya. Sesungguhnya sehari di sisi Rabbmu adalah seperti 1000 tahun mengikut perhitunganmu.”

Al-Hajj 22:47

Ayat 6

ذَٰلِكَ عَـٰلِمُ ٱلْغَيْبِ وَٱلشَّهَـٰدَةِ ٱلْعَزِيزُ ٱلرَّحِيمُ

Demikian itu, ialah Rabb Yang mengetahui yang ghaib dan yang nyata, Yang Maha Perkasa lagi Maha Penyayang.

Allah Swt menyatakan bahawa Dia yang mencipta dan mengatur segala urusan makhluk-Nya itu adalah Yang Maha Mengetahui segala perkara ghaib yang tersembunyi, juga perkara yang terang. Dia menjadi saksi atas segala perbuatan hamba-hamba-Nya. Segala amalan baik, buruk, kecil atau besar semuanya diserahkan dan dilaporkan kepada-Nya.

Dia-lah Yang Maha Perkasa yang memaksa, menundukkan dan menaklukkan segala sesuatu. Dia-lah yang akan menyeksa orang-orang yang syirik, kufur dan mendustakan Rasul-Nya. Dia Maha Penyayang kepada hamba-hamba-Nya yang mahu bertaubat, tanpa menunjukkan penghinaan-Nya kepada mereka.

Firman Allah Swt dalam ayat-ayat yang lain:

“(Dia) mengetahui perkara yang ghaib, tetapi Dia tidak memperlihatkan kepada seorang pun tentang yang ghaib itu. Kecuali kepada Rasul yang diredhai-Nya………”

Al-Jin 72:26-27

“Wahai Rabb kami, sesungguhnya Engkau mengetahui apa yang kami sembunyikan dan apa yang kami zahirkan, dan tidak ada sesuatu pun yang tersembunyi bagi Allah, baik yang ada di bumi mahupun yang ada di langit.”

Ibrahim 14:38