Surah 32: As-Sajdah (18 – 22)

Orang Beriman Tidak Sama dengan Orang Fasik

Surah 32: As-Sajdah (18 – 22)


Ayat 18

أَفَمَن كَانَ مُؤْمِنًا كَمَن كَانَ فَاسِقًا ۚ لَّا يَسْتَوُۥنَ

Apakah orang-orang beriman itu sama dengan orang-orang yang fasik? Mereka tidak sama.

Allah Swt menyebut tentang keadilan dan kemuliaan-Nya. Dia menjelaskan bahawa pada Hari Kiamat kelak di sisi hukum tidaklah sama antara orang-orang yang beriman kepada ayat-ayat-Nya dan mengikuti para Rasul-Nya dengan orang-orang yang tidak mentaati-Nya dan mendustakan para Rasul-Nya.

Firman Allah Swt dalam ayat-ayat yang lain:

“Apakah orang-orang yang melakukan kejahatan itu beranggapan bahawa Kami akan melayan mereka seperti orang-orang yang beriman dan mengerjakan kebajikan, iaitu sama antara kehidupan dan kematian mereka? Alangkah buruknya penilaian mereka.”

Al-Jathiyah 45:21

“Patutkah Kami memperlakukan orang-orang yang beriman dan mengerjakan kebajikan sama dengan orang-orang yang berbuat kerosakan di muka bumi? Atau patutkah Kami menganggap orang-orang yang bertakwa sama dengan orang-orang yang jahat?”

Sad 38:28

“Tidaklah sama bagi ahli neraka dan ahli syurga, kerana ahli syurga adalah orang-orang yang beroleh kemenangan (mendapat segala yang diingini).”

Al-Hasyr 59:20

Ayat 19

أَمَّا ٱلَّذِينَ ءَامَنُوا۟ وَعَمِلُوا۟ ٱلصَّـٰلِحَـٰتِ فَلَهُمْ جَنَّـٰتُ ٱلْمَأْوَىٰ نُزُلًۢا بِمَا كَانُوا۟ يَعْمَلُونَ

Adapun orang-orang yang beriman dan mengerjakan amal soleh, maka bagi mereka syurga sebagai tempat kediaman, sebagai pahala terhadap apa yang mereka kerjakan.

Adapun orang-orang yang beriman dan melaksanakan apa yang diperintahkan kepada mereka, balasan mereka adalah syurga-syurga sebagai tempat tinggal mereka yang penuh dengan kenikmatan. Itulah balasan bagi mereka atas ketaatan mereka di dunia.

Ayat 20

وَأَمَّا ٱلَّذِينَ فَسَقُوا۟ فَمَأْوَىٰهُمُ ٱلنَّارُ ۖ كُلَّمَآ أَرَادُوٓا۟ أَن يَخْرُجُوا۟ مِنْهَآ أُعِيدُوا۟ فِيهَا وَقِيلَ لَهُمْ ذُوقُوا۟ عَذَابَ ٱلنَّارِ ٱلَّذِى كُنتُم بِهِۦ تُكَذِّبُونَ

Dan adapun orang-orang yang fasik maka tempat kediaman mereka adalah neraka. Setiap kali mereka hendak keluar darinya, mereka dikembalikan ke dalamnya dan dikatakan kepada mereka, “Rasakanlah azab neraka yang dahulu kamu mendustakannya.”

Manakala orang-orang yang meninggalkan ketaatan kepada Allah Swt dan melakukan kemaksiatan kepada-Nya, tempat tinggal mereka adalah Neraka Jahannam.

Setiap kali mereka berusaha untuk keluar dari neraka disebabkan begitu dahsyat azab dan kengerian yang mereka alami, mereka segera dikembalikan ke dalamnya. Ketika itu mereka dicerca dan dihina dengan kata-kata yang menambahkan lagi seksaan kepada mereka.

Firman Allah Swt dalam ayat yang lain:

“Setiap kali mereka hendak keluar darinya (neraka) kerana terseksa, mereka dikembalikan lagi ke dalamnya. Kepada mereka dikatakan, ‘Rasakanlah azab yang membakar ini!’”

Al-Hajj 22:22

Ayat 21

وَلَنُذِيقَنَّهُم مِّنَ ٱلْعَذَابِ ٱلْأَدْنَىٰ دُونَ ٱلْعَذَابِ ٱلْأَكْبَرِ لَعَلَّهُمْ يَرْجِعُونَ

Dan pasti Kami timpakan kepada mereka sebahagian daripada azab yang dekat (di dunia) sebelum azab yang lebih besar (di akhirat), mudah-mudahan mereka kembali (ke jalan yang benar).

Allah Swt menyatakan bahawa Dia pasti akan menimpakan seksaan kepada orang-orang fasik yang mendustakan-Nya iaitu seksaan di dunia berupa ujian dan musibah sebelum seksaan besar dalam Neraka Jahannam pada Hari Kiamat nanti. Ayat ini juga sebagai ancaman kepada mereka dengan harapan mereka akan kembali ke jalan yang benar dan bertaubat daripada dosa-dosa mereka.

Ibnu ‘Abbas ra mengatakan maksud, “azab yang dekat,” dalam ayat ini ialah bencana, kesusahan dan segala kepedihan di dunia yang menimpa manusia di muka bumi. Allah Swt memberikan ujian itu kepada hamba-hamba-Nya semata-mata agar mereka mahu bertaubat kepada-Nya.

Seksaan kepada orang-orang yang berdosa yang bakal dihadapi di akhirat kelak adalah lebih besar dan pedih, sebagaimana firman Allah Swt:

“……….Kelak akan Kami seksa mereka dua kali, kemudian mereka akan dikembalikan kepada azab yang besar.”

At-Taubah 9:101

Ayat 22

وَمَنْ أَظْلَمُ مِمَّن ذُكِّرَ بِـَٔايَـٰتِ رَبِّهِۦ ثُمَّ أَعْرَضَ عَنْهَآ ۚ إِنَّا مِنَ ٱلْمُجْرِمِينَ مُنتَقِمُونَ

Dan siapakah yang lebih zalim daripada orang yang telah diperingatkan dengan ayat-ayat Rabbnya, kemudian dia berpaling daripadanya? Sesungguhnya Kami akan memberikan balasan kepada orang-orang yang berdosa.

Selanjutnya, Allah Swt menyatakan faktor yang menjadi sebab manusia itu mendapat azab dan hukuman adalah kerana kezaliman mereka sendiri. Dia mengatakan bahawa tidak ada seorang pun yang lebih zalim daripada orang-orang yang Dia telah berikan peringatan dan penjelasan tentang ayat-ayat Al-Quran dan mukjizat para Rasul-Nya, namun setelah itu mereka meninggalkan, mengingkari dan berpaling daripadanya. Mereka tidak mengendahkan peringatan-peringatan-Nya, tetapi sebaliknya mereka menyombongkan diri.

Oleh itu, Allah Swt memberi ancaman kepada mereka bahawa Dia akan membalas orang-orang yang berpaling daripada ayat-ayat-Nya itu dengan seksaan yang pedih.

Allah Swt berfirman dalam ayat yang lain:

“……….Pada hari ini kamu akan dibalas dengan azab yang sangat menghinakan, kerana kamu mengatakan terhadap Allah (perkataan) yang tidak benar dan (kerana) kamu selalu menyombongkan diri terhadap ayat-ayat-Nya.”

Al-An’am 6:93