Surah 32: As-Sajdah (15 – 17)

Keadaan Orang yang Beriman dengan Ayat-ayat Allah Swt di Akhirat Kelak

Surah 32: As-Sajdah (15 – 17)


Ayat 15

إِنَّمَا يُؤْمِنُ بِـَٔايَـٰتِنَا ٱلَّذِينَ إِذَا ذُكِّرُوا۟ بِهَا خَرُّوا۟ سُجَّدًا وَسَبَّحُوا۟ بِحَمْدِ رَبِّهِمْ وَهُمْ لَا يَسْتَكْبِرُونَ

Sesungguhnya orang-orang yang beriman dengan ayat-ayat Kami adalah orang-orang yang apabila diperingatkan dengan ayat-ayat (Kami), mereka segera (tersungkur) bersujud dan bertasbih serta memuji Rabb mereka, sedang mereka tidak menyombongkan diri.

Setelah Allah Swt menceritakan keadaan orang-orang musyrik, dalam ayat ini pula Dia menyatakan sifat-sifat orang-orang beriman, antaranya:

▪️   Apabila dibacakan ayat-ayat Al-Quran kepada mereka, mereka segera merendahkan diri, sujud kepada Allah Swt dengan penuh ketundukan, kepatuhan dengan mengikrarkan diri mereka sebagai hamba-Nya.

Mereka mensucikan dan memuji Allah Swt dalam sujud mereka serta mereka tidak sekali-kali menyombongkan diri atau berasa angkuh untuk taat kepada-Nya. Mereka mengikuti dan tunduk kepada ayat-ayat-Nya sebagaimana firman-Nya dalam surah yang lain:

“Katakanlah (Muhammad), ‘Berimanlah kamu kepadanya (Al-Quran) atau tidak beriman (sama sahaja bagi Allah). Sesungguhnya orang-orang yang diberi pengetahuan sebelumnya apabila (Al-Quran) dibacakan kepada mereka, mereka tersungkur atas muka mereka lalu bersujud.’”

Al-Isra’ 17:107

Ayat 16

تَتَجَافَىٰ جُنُوبُهُمْ عَنِ ٱلْمَضَاجِعِ يَدْعُونَ رَبَّهُمْ خَوْفًا وَطَمَعًا وَمِمَّا رَزَقْنَـٰهُمْ يُنفِقُونَ

Mereka jauh dari tempat tidur mereka dan mereka selalu berdoa kepada Rabb mereka dengan penuh rasa takut dan harap, serta mereka menafkahkan sebahagian daripada rezeki yang Kami berikan.

▪️   Mereka kurang tidur pada waktu malam. Mereka bangun mendirikan solat malam dan berdoa kepada Allah Swt dengan perasaan takut mendapat seksaan-Nya yang pedih dan mengharapkan rahmat, keampunan serta pahala yang besar daripada-Nya.

Firman Allah Swt dalam surah yang lain:

“(Apakah kamu orang musyrik yang lebih beruntung) atau orang yang beribadah pada waktu malam dengan sujud dan berdiri, kerana takut kepada (azab) akhirat dan mengharapkan rahmat Rabbnya? Katakanlah, ‘Apakah sama orang-orang yang mengetahui dengan orang-orang yang tidak mengetahui?’ Sebenarnya hanya orang yang berakal sihat yang dapat menerima pengajaran.”

Az-Zumar 39:9

▪️   Mereka menginfakkan sebahagian daripada harta yang telah dikurniakan oleh Allah Swt kepada mereka, untuk digunakan dalam perkara-perkara kebajikan demi meraih keredhaan-Nya.

Ayat 17

فَلَا تَعْلَمُ نَفْسٌ مَّآ أُخْفِىَ لَهُم مِّن قُرَّةِ أَعْيُنٍ جَزَآءًۢ بِمَا كَانُوا۟ يَعْمَلُونَ

Seorang pun tidak mengetahui apa yang disembunyikan untuk mereka iaitu (berbagai-bagai nikmat) yang menyenangkan mata memandang sebagai balasan terhadap apa yang mereka kerjakan.

Selanjutnya, Allah Swt menyatakan bahawa balasan dan penghargaan yang disediakan untuk orang-orang mukmin yang mempunyai sifat-sifat seperti di atas, tiada siapa pun yang mengetahuinya termasuk para malaikat dan para Rasul. Ini bermaksud tidak ada seorang pun yang mengetahui keagungan nikmat dan keindahan syurga yang selama ini disembunyikan oleh-Nya daripada hamba-hamba-Nya.

Daripada Abu Hurairah ra, bahawa Rasulullah saw bersabda:

“Sesiapa yang masuk syurga nescaya selalu menikmati kesenangan, tidak pernah bersedih hati, tidak pernah bajunya musnah, kemudaannya tidak pernah lenyap (akan selalu muda). Di dalam syurga terdapat (kenikmatan) yang belum pernah dilihat oleh mata, belum pernah didengar oleh telinga dan belum pernah dibayangkan oleh hati manusia.”

(HR. Muslim)