Sanggahan terhadap Orang Musyrik yang Mengingkari Hari Kebangkitan
Surah 32: As-Sajdah (10 – 11)
Ayat 10
وَقَالُوٓا۟ أَءِذَا ضَلَلْنَا فِى ٱلْأَرْضِ أَءِنَّا لَفِى خَلْقٍ جَدِيدٍ ۚ بَلْ هُم بِلِقَآءِ رَبِّهِمْ كَـٰفِرُونَ
Dan mereka berkata, “Apakah apabila kami telah lenyap (hancur) di dalam tanah, kami akan berada dalam ciptaan yang baru?” Bahkan mereka mengingkari pertemuan dengan Rabb mereka.
Allah Swt menceritakan keadaan orang-orang yang mengingkari Hari Kebangkitan. Mereka tidak percaya bahawa mereka akan dihidupkan kembali untuk menerima balasan-Nya. Mereka tidak dapat menerima bahawa mereka akan hidup semula selepas tubuh-tubuh mereka sudah hancur bercerai-berai.
Sikap mereka memandang Hari Kebangkitan sebagai suatu hal yang mustahil dan tidak mungkin akan terjadi adalah kerana mereka menggunakan pemikiran dan penilaian mengikut kaca mata kemampuan mereka. Namun itu adalah mengikut kemampuan mereka yang lemah dan sangat terbatas, bukan menurut ukuran kekuasaan dan kudrat Allah Swt yang menciptakan mereka daripada permulaan dan mengadakan mereka daripada ketiadaan. Sesungguhnya apabila Dia menghendaki sesuatu maka Dia hanya berkata, “Jadilah,” maka terjadilah sesuatu itu.
Oleh itu, Allah Swt membantah dan membatalkan pandangan, fikiran dan penilaian orang-orang yang kufur itu dengan mengatakan bahawa mereka bukan sahaja menolak adanya Hari Kebangkitan, malah mereka juga tidak mempercayai kepada pertemuan dengan-Nya.
Ayat 11
قُلْ يَتَوَفَّىٰكُم مَّلَكُ ٱلْمَوْتِ ٱلَّذِى وُكِّلَ بِكُمْ ثُمَّ إِلَىٰ رَبِّكُمْ تُرْجَعُونَ
Katakanlah, “Malaikat maut yang diserahi (untuk mencabut nyawamu) akan mematikan kamu, kemudian kepada Rabbmu, kamu akan dikembalikan.”
Lalu dalam ayat ini, Allah Swt menyuruh Nabi Muhammad saw menyatakan kepada orang-orang yang kufur bahawa nyawa mereka akan dicabut oleh malaikat maut dan mereka akan dikembalikan kepada-Nya untuk menerima balasan terhadap apa yang mereka lakukan.
Firman Allah Swt dalam ayat yang lain:
“……….dan diutuskan kepadamu malaikat-malaikat sebagai penjaga, sehingga apabila datang kematian kepada salah seorang di antara kamu, malaikat-malaikat Kami mencabut nyawanya dan mereka tidak melalaikan tugas mereka.”
Al-An’am 6:61