Tempat Tinggal Orang Mukmin di Akhirat
Surah 31: Luqman (8 – 9)
Ayat 8
إِنَّ ٱلَّذِينَ ءَامَنُوا۟ وَعَمِلُوا۟ ٱلصَّـٰلِحَـٰتِ لَهُمْ جَنَّـٰتُ ٱلنَّعِيمِ
Sesungguhnya orang-orang yang beriman dan mengerjakan kebajikan, mereka akan mendapat syurga-syurga yang penuh kenikmatan.
Ayat 9
خَـٰلِدِينَ فِيهَا ۖ وَعْدَ ٱللَّهِ حَقًّا ۚ وَهُوَ ٱلْعَزِيزُ ٱلْحَكِيمُ
Mereka kekal di dalamnya, sebagai janji Allah yang benar. Dan Dia Maha Perkasa lagi Maha Bijaksana.
Sesungguhnya orang-orang yang beriman kepada Allah Ta’ala, membenarkan dan mempercayai para Rasul-Nya, mengerjakan amal soleh dan meninggalkan segala larangan-Nya, maka bagi mereka syurga-syurga dengan pelbagai kenikmatan dan kesenangan. Mereka tinggal di dalamnya buat selama-lamanya. Merekalah orang-orang yang beruntung dan berbahagia di dunia dan akhirat.
Firman Allah Swt dalam ayat-ayat yang lain:
“Allah menjanjikan kepada orang-orang beriman lelaki dan perempuan (akan mendapat) syurga yang mengalir di bawahnya sungai-sungai, mereka kekal di dalamnya, dan (mendapat) tempat tinggal yang baik di Syurga ‘Adn……….”
At-Taubah 9:72
“Sesungguhnya bagi orang-orang yang bertakwa (disediakan) syurga-syurga yang penuh kenikmatan di sisi Rabb mereka.”
Al-Qalam 68:34
“Kekuasaan pada hari itu ada pada Allah, Dia memberi keputusan di antara mereka. Maka orang-orang yang beriman dan beramal soleh berada di dalam syurga-syurga yang penuh kenikmatan.”
Al-Hajj 22:56
Itulah janji Allah Ta’ala dan ini pasti benar-benar akan terjadi. Dia-lah Yang Maha Pemberi, Maha Bijaksana dan Dia pasti akan melaksanakan apa yang dijanjikan-Nya.