Orang Musyrik Percaya bahawa Allah Ta’ala Berkuasa Mencipta Segala Sesuatu tetapi Mereka Tetap Mensyirikkan-Nya
Surah 31: Luqman (25 – 26)
Ayat 25
وَلَئِن سَأَلْتَهُم مَّنْ خَلَقَ ٱلسَّمَـٰوَٰتِ وَٱلْأَرْضَ لَيَقُولُنَّ ٱللَّهُ ۚ قُلِ ٱلْحَمْدُ لِلَّهِ ۚ بَلْ أَكْثَرُهُمْ لَا يَعْلَمُونَ
Dan sesungguhnya jika engkau (Muhammad) bertanya kepada mereka, “Siapakah yang mencipta langit dan bumi?” Tentu mereka akan menjawab, “Allah.” Katakanlah, “Segala puji bagi Allah,” tetapi kebanyakan mereka tidak mengetahui.
Allah Ta’ala menjelaskan kepada Rasulullah saw tentang keadaan orang-orang musyrik itu sebenarnya mereka mengakui kebenaran keesaan-Nya. Sekiranya mereka ditanya tentang siapa yang mencipta langit dan bumi, pasti mereka mengatakan Allah-lah yang menciptanya.
Oleh itu, Allah Ta’ala memerintahkan Rasulullah saw memuji-Nya atas pengakuan orang-orang musyrik itu. Ini kerana hujjah telah tertegak atas mereka sehingga mereka tidak mampu mengelak lagi dan terpaksa memberikan pengakuan seperti itu kerana bukti-bukti petunjuk tauhid sangat jelas sehingga mereka tidak dapat menyangkal dan memungkirinya.
Namun kebanyakan manusia tidak mengetahui siapakah yang layak disembah dan kepada siapa mereka layak bersyukur.
Ayat 26
لِلَّهِ مَا فِى ٱلسَّمَـٰوَٰتِ وَٱلْأَرْضِ ۚ إِنَّ ٱللَّهَ هُوَ ٱلْغَنِىُّ ٱلْحَمِيدُ
Kepunyaan Allah-lah apa yang di langit dan di bumi. Sesungguhnya Allah Dia-lah Yang Maha Kaya lagi Maha Terpuji.
Allah-lah Pencipta dan Pemilik makhluk yang berada di langit dan di bumi. Dia Maha Kaya tidak memerlukan sesuatu yang lain. Sebaliknya segala sesuatu memerlukan dan bergantung kepada-Nya. Dia-lah pemilik segala sanjungan di langit dan di bumi atas segala ciptaan dan syariat-Nya. Dia Maha Terpuji atas segala urusan.
Allah Ta’ala berfirman dalam ayat-ayat yang lain:
“Dan milik Allah-lah apa yang ada di langit dan apa yang ada di bumi, dan kepada Allah dikembalikan segala urusan.”
Ali ‘Imran 3:109
“Sesungguhnya Kami-lah yang mewarisi bumi dan semua yang ada di atasnya, dan hanya kepada Kami mereka dikembalikan.”
Maryam 19:40