Surah 31: Luqman (12 – 19)

Kisah Luqman yang Diberikan Hikmah dan Nasihat kepada Anaknya

Surah 31: Luqman (12 – 19)


Ayat 12

وَلَقَدْ ءَاتَيْنَا لُقْمَـٰنَ ٱلْحِكْمَةَ أَنِ ٱشْكُرْ لِلَّهِ ۚ وَمَن يَشْكُرْ فَإِنَّمَا يَشْكُرُ لِنَفْسِهِۦ ۖ وَمَن كَفَرَ فَإِنَّ ٱللَّهَ غَنِىٌّ حَمِيدٌ

Dan sesungguhnya telah Kami berikan hikmah kepada Luqman, iaitu, “Bersyukurlah kepada Allah.” Sesiapa bersyukur (kepada Allah), sesungguhnya dia bersyukur untuk dirinya sendiri dan sesiapa yang tidak bersyukur (kufur), maka sesungguhnya Allah Maha Kaya lagi Maha Terpuji.

Allah Ta’ala menyatakan bahawa Dia telah memberikan hikmah kepada hamba-Nya yang soleh iaitu Luqman. Maksud hikmah dalam ayat ini ialah pemahaman yang mendalam dan ilmu yang luas serta cara pengungkapan perkataan yang baik.

Allah Ta’ala memerintahkan Luqman agar bersyukur kepada-Nya atas anugerah yang telah dilimpahkan secara khusus kepadanya yang tidak diberikan kepada manusia lain sezaman dengannya.

Sesiapa yang bersyukur kepada Allah Ta’ala atas apa yang telah Dia anugerahkan sehingga dia melakukan ketaatan kepada-Nya dengan menunaikan segala kewajipan yang ditetapkan-Nya, maka ini bererti manfaat dan pahala daripada kesyukurannya adalah untuk dirinya sendiri. Allah Ta’ala akan memberikannya pahala dan menyelamatkan dirinya daripada azab.

Firman-Nya dalam ayat yang lain:

“Sesiapa kafir maka dia sendiri yang menanggung (akibat) kekafirannya itu, dan sesiapa mengerjakan kebajikan maka mereka menyiapkan untuk diri mereka sendiri (tempat yang menyenangkan).”

Ar-Rum 30:44

Sesungguhnya Allah Ta’ala Maha Kaya tidak memerlukan kesyukuran daripada para hamba-Nya, bahkan kesyukuran para hamba-Nya tidak akan menambahkan besarnya kekuasan-Nya dan keingkaran mereka tidak mengurangi kerajaan-Nya. Dia sentiasa terpuji sama ada Dia disyukuri ataupun diingkari oleh hamba-hamba-Nya.

Ayat 13

وَإِذْ قَالَ لُقْمَـٰنُ لِٱبْنِهِۦ وَهُوَ يَعِظُهُۥ يَـٰبُنَىَّ لَا تُشْرِكْ بِٱللَّهِ ۖ إِنَّ ٱلشِّرْكَ لَظُلْمٌ عَظِيمٌ

Dan (ingatlah) ketika Luqman berkata kepada anaknya, sewaktu dia memberi pengajaran kepadanya, “Wahai anakku, janganlah engkau menyekutukan Allah, sesungguhnya menyekutukan (Allah) adalah benar-benar kezaliman yang besar.”

Kemudian Allah Ta’ala menceritakan wasiat, nasihat dan pesanan Luqman kepada anaknya sebagai satu bentuk kasih sayang kepada anaknya.

Nasihat Luqman yang pertama kepada anaknya ialah agar anaknya hanya semata-mata menyembah Allah Ta’ala dan tidak sekali-kali menyekutukan-Nya dengan sesuatu pun. Ini kerana mensyirikkan-Nya adalah satu kezaliman yang besar.

Firman Allah Ta’ala yang menyatakan tentang bahayanya dosa syirik dalam ayat-ayat yang lain:

“Sesungguhnya Allah tidak akan mengampuni dosa syirik, dan Dia mengampuni segala dosa yang selain dari (syirik) itu, bagi sesiapa yang dikehendaki-Nya. Sesiapa yang menyekutukan Allah, maka sungguh dia telah berbuat dosa yang besar.”

An-Nisa’ 4:48

“Itulah petunjuk Allah, yang dengannya Dia memberi petunjuk kepada siapa yang dikehendaki-Nya di antara hamba-hamba-Nya. Seandainya mereka mempersekutukan Allah, niscaya lenyaplah daripada mereka amalan yang telah mereka kerjakan.”

An-An’am 6:88

Ayat 14

وَوَصَّيْنَا ٱلْإِنسَـٰنَ بِوَٰلِدَيْهِ حَمَلَتْهُ أُمُّهُۥ وَهْنًا عَلَىٰ وَهْنٍۢ وَفِصَـٰلُهُۥ فِى عَامَيْنِ أَنِ ٱشْكُرْ لِى وَلِوَٰلِدَيْكَ إِلَىَّ ٱلْمَصِيرُ

Dan Kami perintahkan kepada manusia (agar berbuat baik) kepada kedua-dua ibu bapanya. Ibunya mengandungkannya dalam keadaan yang tersangat lemah, dan menyusukannya dalam masa dua tahun. Bersyukurlah kepada-Ku dan kepada kedua-dua ibu bapamu. Hanya kepada Aku kembalimu.

Seterusnya, Allah Ta’ala menggandingkan wasiat Luqman agar anaknya menyembah hanya kepada-Nya dengan wasiat berbakti kepada orang tua.

Perintah berbuat baik ini diutamakan kepada ibu yang telah mengandungkannya. Ibu yang mengandung merasai kesusahan demi kesusahan dalam keadaan semakin hari semakin lemah mulai dari saat mula mengandung kemudian rasa sakit menjelang kelahiran sehinggalah saat bayi dilahirkan. Kesan-kesan lemah itu masih terus dirasai ketika dalam tempoh berpantang (dalam nifas) sehinggalah melepasi waktu tersebut.

Sebaik sahaja bayi dilahirkan, ibu itu perlu menyusukannya yang mengambil masa selama dua tahun. Kemudian menjaga serta mengasuhnya siang dan malam.

Pada akhir ayat ini, Allah Ta’ala memerintahkan manusia agar bersyukur kepada-Nya atas segala nikmat yang telah diberikan-Nya dan berterima kasih kepada kedua orang tua mereka atas segala pengorbanan mereka berdua dan juga orang tua mereka adalah asbab mereka berada di dunia ini. Firman-Nya dalam ayat yang lain:

“Dan Rabb-mu telah memerintahkan agar kamu jangan menyembah selain-Nya dan hendaklah berbuat baik kepada kedua-dua orang tua dengan sebaik-baiknya. Jika salah seorang di antara mereka atau kedua-duanya telah sampai usia tua dalam pemeliharaanmu, maka janganlah sekali-kali kamu mengatakan kepada mereka ‘ah’ dan janganlah kamu membentak mereka, dan ucapkanlah perkataan yang baik-baik kepada mereka. Dan rendahkanlah dirimu terhadap mereka berdua dengan penuh kesayangan dan ucapkanlah, ‘Wahai Rabbku, kasihilah kedua ibu bapaku sebagaimana mereka berdua telah mendidikku sewaktu kecil.’”

Al-Isra’ 17:23-24

Ayat 15

وَإِن جَـٰهَدَاكَ عَلَىٰٓ أَن تُشْرِكَ بِى مَا لَيْسَ لَكَ بِهِۦ عِلْمٌ فَلَا تُطِعْهُمَا ۖ وَصَاحِبْهُمَا فِى ٱلدُّنْيَا مَعْرُوفًا ۖ وَٱتَّبِعْ سَبِيلَ مَنْ أَنَابَ إِلَىَّ ۚ ثُمَّ إِلَىَّ مَرْجِعُكُمْ فَأُنَبِّئُكُم بِمَا كُنتُمْ تَعْمَلُونَ

Dan jika kedua-duanya memaksamu untuk menyekutukan Aku dengan sesuatu yang engkau tidak mempunyai ilmu, maka janganlah engkau mentaati kedua-duanya, tetapi layanlah kedua-duanya di dunia dengan baik, dan ikutilah jalan orang yang kembali kepada-Ku. Hanya kepada-Ku tempat kembalimu, maka akan Aku khabarkan kepadamu apa yang telah kamu kerjakan.

Kemudian Allah Ta’ala memberikan syarat yang membatasi kepatuhan kepada kedua orang tua iaitu jika kedua orang tua memaksa dan mendesak anaknya untuk mengikuti agama mereka yang sesat dengan menyekutukan-Nya maka tidaklah boleh menuruti kemahuan mereka berdua. Sesungguhnya tidak ada kepatuhan kepada makhluk untuk bermaksiat dan derhaka kepada-Nya.

Namun begitu, walaupun seseorang anak itu tidak boleh mematuhi orang tuanya dalam desakan mensyirikkan Allah Ta’ala, ini tidak pula menghalangnya untuk terus berbuat baik dan berkhidmat kepada mereka. Bahkan Islam mengajar agar terus menjalin hubungan baik dengan mereka, memberikan khidmat dan menunjukkan akhlak yang mulia untuk memenuhi tanggungjawab sebagai seorang anak dan juga sebagai satu usaha dakwah menarik mereka kepada agama Islam.

Daripada Asma’ binti Abu Bakar ra, dia bertanya kepada Rasulullah saw, adakah dia boleh berhubung dengan ibunya yang masih seorang musyrik. Dia menceritakan, “Ibuku menemuiku saat itu dia masih musyrik ketika Quraisy muslimin mengikat perjanjian dengan Rasulullah saw dan ayahnya, lalu aku meminta pendapat kepada Rasulullah saw. Lalu dia bertanya kepada Rasulullah saw, ‘Wahai Rasulullah, ibuku (yang musyrik) datang kepadaku dan dia sangat ingin (aku berbuat baik kepadanya), apakah aku boleh tetap menjalin hubungan dengan ibuku?’ Baginda menjawab:

‘Ya, sambunglah silaturrahim dengannya.’”

(HR. Al-Bukhari dan Muslim)

Kemudian pada akhir ayat ini, Allah Ta’ala menyatakan bahawa hanya kepada-Nya-lah mereka semua akan dikembalikan dan Dia akan membalas segala amalan yang mereka kerjakan.

Firman-firman Allah Ta’ala di dalam surah yang lain:

“Dan Kami wajibkan kepada manusia agar (membuat) kebaikan kepada kedua orang tuanya. Dan jika kedua-duanya memaksamu menyekutukan Aku dengan sesuatu yang engkau tidak mempunyai ilmu, maka janganlah engkau patuh kepada kedua-duanya……….”

Al-‘Ankabut 29:8

“Orang-orang yang beriman tidak akan mencampuradukkan iman mereka dengan syirik, mereka itu adalah orang-orang yang mendapat rasa aman dan mereka mendapat petunjuk.”

Al-An’am 6:82

Ayat 16

يَـٰبُنَىَّ إِنَّهَآ إِن تَكُ مِثْقَالَ حَبَّةٍ مِّنْ خَرْدَلٍ فَتَكُن فِى صَخْرَةٍ أَوْ فِى ٱلسَّمَـٰوَٰتِ أَوْ فِى ٱلْأَرْضِ يَأْتِ بِهَا ٱللَّهُ ۚ إِنَّ ٱللَّهَ لَطِيفٌ خَبِيرٌ

(Luqman berkata), “Wahai anakku, sesungguhnya, jika ada (sesuatu perbuatan) seberat biji sawi, dan berada dalam batu atau di langit atau di bumi, nescaya Allah akan memberikannya (balasan). Sesungguhnya Allah Maha Halus lagi Maha Mengetahui.

Allah Ta’ala menyatakan tentang pesanan Luqman yang seterusnya kepada anaknya bahawa setiap keburukan dan kebaikan, sekalipun sekecil biji sawi (maksudnya sangat kecil) dan berada di tempat paling tersembunyi seperti dalam sebongkah batu atau dalam perut gunung atau di mana sahaja baik di di langit mahupun di bumi, nescaya Dia akan menghadirkan kesalahan atau kebaikan itu pada hari kiamat kelak untuk dihisab.

Sesungguhnya, ilmu Allah itu meliputi segala sesuatu walau sekecil apa pun amalan yang dilakukan. Dia Maha Lembut kepada hamba-hamba-Nya dan Maha Teliti terhadap perbuatan-perbuatan mereka.

Firman-firman Allah Ta’ala dalam surah yang lain:

“Dan Kami akan memasang timbangan yang tepat pada Hari Kiamat maka tidak seorang pun dirugikan walau sedikit, sekalipun hanya seberat biji sawi, pasti Kami mendatangkannya pahala. Dan cukuplah Kami sebagai Pembuat perhitungan.”

Al-Anbiya’ 21:47

“Maka sesiapa mengerjakan kebaikan seberat zarah, nescaya dia akan mendapat (balasan)nya. Dan sesiapa mengerjakan kejahatan seberat zarah, nescaya dia akan melihat (balasan)nya.”

Az-Zalzalah 99:7-8

Ayat 17

يَـٰبُنَىَّ أَقِمِ ٱلصَّلَوٰةَ وَأْمُرْ بِٱلْمَعْرُوفِ وَٱنْهَ عَنِ ٱلْمُنكَرِ وَٱصْبِرْ عَلَىٰ مَآ أَصَابَكَ ۖ إِنَّ ذَٰلِكَ مِنْ عَزْمِ ٱلْأُمُورِ

Wahai anakku, laksanakanlah solat dan suruhlah (manusia) berbuat yang makruf dan cegahlah (mereka) daripada yang mungkar dan bersabarlah terhadap apa yang menimpa kamu. Sesungguhnya yang demikian itu termasuk perkara-perkara yang diwajibkan (oleh Allah).

Kemudian Luqman meneruskan pesanannya dengan menyuruh anaknya mendirikan solat sempurna dengan rukun-rukun dan syarat-syaratnya.

Luqman juga menyuruh anaknya melakukan amar makruf dan nahi mungkar. Amar makruf bermaksud menyeru orang lain kepada mengerjakan kebaikan dengan cara lemah lembut dan berhikmah sesuai dengan kekuatan dan kemampuan yang dimiliki. Manakala nahi mungkar pula bermaksud mencegah orang lain melakukan perkara-perkara yang dilarang Allah Ta’ala.

Luqman juga menasihati anaknya agar tabah dan sabar dalam menghadapi pelbagai gangguan, rintangan dan kesulitan dalam menjalani perintah-perintah Allah Swt.

Ayat 18

وَلَا تُصَعِّرْ خَدَّكَ لِلنَّاسِ وَلَا تَمْشِ فِى ٱلْأَرْضِ مَرَحًا ۖ إِنَّ ٱللَّهَ لَا يُحِبُّ كُلَّ مُخْتَالٍ فَخُورٍ

Dan janganlah kamu memalingkan wajahmu daripada manusia (kerana sombong) dan janganlah berjalan di bumi dengan angkuh. Sesungguhnya, Allah tidak menyukai orang-orang yang sombong lagi membanggakan diri.

Kemudian Luqman melarang anaknya dalam beberapa hal iaitu:

▪️   Jangan memalingkan muka daripada manusia apabila berbicara dengan mereka atau mereka berbicara dengannya kerana merendahkan atau meremehkan mereka ataupun kerana menyombongkan diri kepada mereka.

▪️   Jangan berjalan di atas muka bumi dengan penuh kesombongan dan keangkuhan.

Sesungguhnya Allah Ta’ala tidak menyukai setiap orang yang sombong dan membanggakan diri dalam penampilan serta ucapannya. Firman-Nya dalam surah yang lain:

“Dan janganlah kamu berjalan di muka bumi ini dengan sombong, kerana sesungguhnya kamu tidak akan dapat menembus bumi dan tidak akan mampu menjulang setinggi gunung.”

Al-Isra’ 17:37

Ayat 19

وَٱقْصِدْ فِى مَشْيِكَ وَٱغْضُضْ مِن صَوْتِكَ ۚ إِنَّ أَنكَرَ ٱلْأَصْوَٰتِ لَصَوْتُ ٱلْحَمِيرِ

Dan sederhanakanlah dalam berjalan dan lunakkanlah suaramu. Sesungguhnya seburuk-buruk suara ialah suara keldai.”

Ayat ini bermaksud, berjalanlah dengan sikap yang santun dan sederhana, tidak terlalu cepat dan tidak pula terlalu lambat. Janganlah bersikap keterlaluan dalam berbicara dan hendaklah tidak mengeraskan suara pada pembicaraan yang tidak memiliki apa-apa faedah.

Nasihat-nasihat yang terdapat dalam rangkaian ayat-ayat di atas adalah wasiat Luqman yang sangat berguna. Allah Ta’ala sebutkan sebagai sebahagian kisah ini dalam Al-Quran agar umat manusia dapat menjadikannya sebagai panduan dan teladan serta mengamalkannya.