Orang Kafir Diumpamakan sebagai Orang yang Mati, Tuli dan Bisu
Surah 30: Ar-Rum (52 – 53)
Ayat 52
فَإِنَّكَ لَا تُسْمِعُ ٱلْمَوْتَىٰ وَلَا تُسْمِعُ ٱلصُّمَّ ٱلدُّعَآءَ إِذَا وَلَّوْا۟ مُدْبِرِينَ
Maka sesungguhnya engkau tidak akan mampu menjadikan orang-orang yang mati itu mendengar, dan menjadikan orang-orang yang tuli dapat mendengar seruan, apabila mereka berpaling ke belakang.
Allah Ta’ala menyifatkan orang-orang yang berterusan kufur itu sama seperti orang-orang yang telah mati. Lalu dijelaskan-Nya kepada Rasulullah saw bahawa baginda tidak mungkin dapat memberikan pengajaran kepada orang-orang yang kufur itu sebagaimana baginda tidak dapat memberikan pengajaran kepada orang-orang yang telah mati kerana mereka sama sekali tidak dapat mendengar.
Begitu jugalah baginda tidak dapat memperdengarkan pengajarannya kepada orang-orang yang tuli yang tidak dapat mendengar panggilan sama sekali apabila mereka telah berpaling ke belakang. Orang-orang yang mensyirikkan Allah Ta’ala ini telah dipekakkan oleh-Nya, tidak dapat lagi mendengar ayat-ayat-Nya dan nasihat-nasihat.
Firman Allah Swt dalam ayat yang lain:
“Dan siapakah yang lebih zalim daripada orang yang telah diperingatkan dengan ayat-ayat Rabbmu lalu dia berpaling darinya dan melupakan apa yang telah dilakukan oleh kedua-dua tangannya? Sesungguhnya Kami telah menjadikan hati mereka tertutup (sehingga mereka tidak) memahaminya, dan (Kami letakkan pula) sumbatan di telinga mereka. Walaupun engkau (Muhammad) menyeru mereka kepada petunjuk, nescaya mereka tidak akan mendapat petunjuk untuk selama-lamanya.”
Al-Kahfi 18:57
Ayat 53
وَمَآ أَنتَ بِهَـٰدِ ٱلْعُمْىِ عَن ضَلَـٰلَتِهِمْ ۖ إِن تُسْمِعُ إِلَّا مَن يُؤْمِنُ بِـَٔايَـٰتِنَا فَهُم مُّسْلِمُونَ
Dan engkau tidak akan dapat memberi petunjuk kepada orang-orang yang buta (mata hatinya) daripada kesesatan. Dan engkau tidak dapat memperdengarkan (petunjuk Allah) kecuali kepada orang-orang yang beriman dengan ayat-ayat Kami, maka mereka itulah orang-orang yang berserah diri (kepada Kami).
Seterusnya, Allah Ta’ala mengatakan bahawa Nabi Muhammad saw tidak akan mampu memberi petunjuk kepada umatnya yang mata hatinya telah dibutakan daripada menerima kebenaran. Ini kerana mereka telah berpaling daripada kebenaran tersebut kecuali mereka yang mahu beriman kepada ayat-ayat-Nya.
Orang-orang yang mahu beriman kepada ayat-ayat-Nya inilah yang mendapat manfaat daripada apa yang disampaikan oleh baginda. Mereka adalah orang-orang yang beriman dan berserah diri, tunduk serta patuh melakukan ketaatan kepada-Nya. Sesungguhnya Dia memberi petunjuk kepada sesiapa yang Dia kehendaki dan menyesatkan sesiapa yang dikehendaki-Nya.
Firman Allah Ta’ala dalam ayat-ayat yang lain:
“Sesungguhnya engkau (Muhammad) tidak akan dapat memberi hidayah (petunjuk) kepada orang yang engkau kasihi, tetapi Allah memberi hidayah kepada orang yang Dia kehendaki, dan Allah lebih mengetahui orang-orang yang mahu menerima petunjuk.”
Al-Qasas 28:56
“Hanya orang-orang yang mendengar sahaja yang mematuhi (seruan Allah), dan orang-orang yang mati, kelak akan dibangkitkan oleh Allah, kemudian kepada-Nya mereka dikembalikan.”
Al-An’am 6:36