Surah 30: Ar-Rum (20 – 27)

Antara Tanda Kekuasan Allah Swt

Surah 30: Ar-Rum (20 – 27)


Ayat 20

وَمِنْ ءَايَـٰتِهِۦٓ أَنْ خَلَقَكُم مِّن تُرَابٍۢ ثُمَّ إِذَآ أَنتُم بَشَرٌ تَنتَشِرُونَ

Dan di antara tanda-tanda (kebesaran-Nya) ialah Dia menciptakan kamu daripada tanah, kemudian tiba-tiba kamu (menjadi) manusia yang hidup bertebaran (di muka bumi).

Dalam ayat 20-27, Allah Ta’ala menyebutkan keagungan dan kesempurnaan kekuasaan-Nya, antaranya:

▪️    Dia menciptakan moyang manusia iaitu Nabi Adam as daripada tanah, kemudian daripadanya manusia berkembang biak.

Daripada Abu Musa ra, Rasulullah saw bersabda:

“Sesungguhnya Allah menciptakan Adam daripada segenggam tanah yang Dia ambil dari seluruh penjuru bumi. Kemudian jadilah anak-anak Adam sesuai dengan kandungan tanah itu. Ada di antara mereka yang berkulit putih, ada yang berkulit merah, dan ada yang berkulit hitam serta ada yang campuran di antara warna-warna tersebut. Ada yang berperilaku buruk, ada yang baik, ada yang senang kehidupannya, ada yang selalu menghadapi kesusahan dan ada yang di antara dua keadaan itu.”

(HR. Ahmad)

Ayat 21

وَمِنْ ءَايَـٰتِهِۦٓ أَنْ خَلَقَ لَكُم مِّنْ أَنفُسِكُمْ أَزْوَٰجًا لِّتَسْكُنُوٓا۟ إِلَيْهَا وَجَعَلَ بَيْنَكُم مَّوَدَّةً وَرَحْمَةً ۚ إِنَّ فِى ذَٰلِكَ لَـَٔايَـٰتٍ لِّقَوْمٍ يَتَفَكَّرُونَ

Dan di antara tanda-tanda kekuasaan-Nya ialah Dia menciptakan untukmu pasangan-pasangan daripada jenismu sendiri, supaya kamu cenderung dan berasa tenteram kepadanya, dan dijadikan-Nya di antaramu rasa kasih dan sayang. Sesungguhnya pada yang demikian itu benar-benar terdapat tanda-tanda kebesaran Allah bagi kaum yang berfikir.

▪️   Allah Ta’ala menciptakan pasangan-pasangan untuk manusia daripada jenis mereka sendiri. Seandainya Dia menjadikan lelaki daripada manusia kemudian menjadikan wanita daripada golongan jin atau haiwan nescaya tidak ada keserasian antara pasangan-pasangan tersebut.

Selain menjadikan pasangan-pasangan daripada jenis yang sama, Allah Ta’ala juga menciptakan pada masing-masing pasangan rasa cinta dan kasih sayang.

Firman Allah Ta’ala dalam ayat lain:

“Dia-lah yang menciptakan kamu daripada jiwa yang satu (Adam) dan daripadanya Dia menciptakan pasangannya agar dia berasa senang kepadanya……….”

Al-A’raf 7:189

Ayat 22

وَمِنْ ءَايَـٰتِهِۦ خَلْقُ ٱلسَّمَـٰوَٰتِ وَٱلْأَرْضِ وَٱخْتِلَـٰفُ أَلْسِنَتِكُمْ وَأَلْوَٰنِكُمْ ۚ إِنَّ فِى ذَٰلِكَ لَـَٔايَـٰتٍ لِّلْعَـٰلِمِينَ

Dan di antara tanda-tanda kekuasaan-Nya ialah penciptaan langit dan bumi dan berlainan bahasa serta warna kulitmu. Sesungguhnya pada yang demikian itu benar-benar terdapat tanda-tanda bagi orang-orang yang mengetahui.

▪️   Allah Ta’ala menciptakan langit yang tinggi, luas lagi kukuh dan dihiasi bintang-bintang yang bergemerlapan, baik yang beredar mahupun yang tetap. Dia juga yang menciptakan bumi, ada yang mendatar lagi padat dan ada yang bergunung-ganang. Padanya juga terdapat lembah-lembah, lautan, padang pasir, haiwan-haiwan dan pohon-pohon.

Selain itu, Allah Ta’ala menciptakan bahasa pertuturan manusia yang berbeza-beza. Perbezaan bahasa ini menjadikan manusia bersuku-suku yang tidak terkira banyaknya. Di samping itu Dia menciptakan manusia dalam pelbagai bentuk rupa dan warna kulit yang berbeza.

Ayat 23

وَمِنْ ءَايَـٰتِهِۦ مَنَامُكُم بِٱلَّيْلِ وَٱلنَّهَارِ وَٱبْتِغَآؤُكُم مِّن فَضْلِهِۦٓ ۚ إِنَّ فِى ذَٰلِكَ لَـَٔايَـٰتٍ لِّقَوْمٍ يَسْمَعُونَ

Dan di antara tanda-tanda kekuasaan-Nya ialah tidur kamu pada waktu malam dan pada siang hari, dan usaha kamu mencari sebahagian daripada kurniaan-Nya. Sesungguhnya pada yang demikian itu benar-benar terdapat tanda-tanda bagi kaum yang mendengar (nasihat pengajaran).

▪️   Allah Ta’ala menjadikan tidur pada malam dan siang hari yang dengan tidur itu tubuh dapat beristirehat menghilangkan kepenatan. Dia juga menjadikan waktu siang untuk manusia berusaha mencari sebahagian daripada kurniaan-Nya.

Ayat 24

وَمِنْ ءَايَـٰتِهِۦ يُرِيكُمُ ٱلْبَرْقَ خَوْفًا وَطَمَعًا وَيُنَزِّلُ مِنَ ٱلسَّمَآءِ مَآءً فَيُحْىِۦ بِهِ ٱلْأَرْضَ بَعْدَ مَوْتِهَآ ۚ إِنَّ فِى ذَٰلِكَ لَـَٔايَـٰتٍ لِّقَوْمٍ يَعْقِلُونَ

Dan di antara tanda-tanda kekuasaan-Nya, Dia memperlihatkan kepada kamu kilat untuk (menimbulkan) ketakutan dan harapan, dan Dia menurunkan hujan dari langit, lalu menghidupkan bumi dengan air itu sesudah mati (kering). Sesungguhnya pada yang demikian itu benar-benar terdapat tanda-tanda bagi kaum yang menggunakan akalnya.

▪️   Allah Ta’ala memperlihatkan kepada manusia kilat yang dahsyat untuk menimbulkan ketakutan dan harapan sebelum Dia menurunkan hujan dari langit. Apabila hujan turun maka suburlah tanah yang gersang sebelum ini, kemudian menumbuhkan pelbagai tumbuh-tumbuhan.

Ayat 25

وَمِنْ ءَايَـٰتِهِۦٓ أَن تَقُومَ ٱلسَّمَآءُ وَٱلْأَرْضُ بِأَمْرِهِۦ ۚ ثُمَّ إِذَا دَعَاكُمْ دَعْوَةً مِّنَ ٱلْأَرْضِ إِذَآ أَنتُمْ تَخْرُجُونَ

Dan di antara tanda-tanda kekuasaan-Nya ialah berdirinya langit dan bumi dengan kehendak-Nya. Kemudian apabila Dia memanggil kamu dengan satu panggilan dari bumi, seketika itu (juga) kamu keluar (dari kubur).

▪️   Allah Ta’ala mencipta langit yang tinggi tanpa tiang penyangga, dihiasi bintang-bintang dan planet-planet. Dia juga mencipta bumi dengan lapisan-lapisannya yang dilimpahi dengan sumber kekayaan alam.

Langit dan bumi akan tetap dalam keadaannya sehingga tiba waktunya yang telah ditentukan iaitu kiamat. Semuanya ini adalah kehendak-Nya dan tiada siapa pun yang boleh membantahnya. Firman Allah Ta’ala dalam surah-surah yang lain:

“………Dan dia menahan benda-benda di langit agar tidak jatuh ke bumi melainkan dengan izin-Nya……….”

Al-Hajj 22:65

“Sesungguhnya Allah yang menahan langit dan bumi agar tidak lenyap……”

Fatir 35:41

Apabila berlaku kiamat dan sangkakala ditiup oleh malaikat, dengan serta merta manusia akan keluar dari kubur masing-masing dan tiada seorang pun yang ketinggalan memenuhi panggilan-Nya untuk mendapatkan perhitungan dan pembalasan. Ini sebagaimana firman-Nya:

“Pengembalian itu hanyalah dengan sekali tiupan sahaja. Maka serta merta mereka hidup kembali di muka bumi yang putih dan rata (baru).”

An-Nazi’at 79:13-14

Ayat 26

وَلَهُۥ مَن فِى ٱلسَّمَـٰوَٰتِ وَٱلْأَرْضِ ۖ كُلٌّ لَّهُۥ قَـٰنِتُونَ

Dan milik-Nya apa yang di langit dan di bumi. Semuanya tunduk hanya kepada-Nya.

▪️   Semua yang ada di langit dan di bumi ini adalah milik Allah Ta’ala. Semuanya berada dalam keadaan tunduk, patuh dan khusyuk kepada kekuasaan dan peraturan-Nya. Ketundukan ini adalah sama ada secara sukarela ataupun secara terpaksa.

Ayat 27

وَهُوَ ٱلَّذِى يَبْدَؤُا۟ ٱلْخَلْقَ ثُمَّ يُعِيدُهُۥ وَهُوَ أَهْوَنُ عَلَيْهِ ۚ وَلَهُ ٱلْمَثَلُ ٱلْأَعْلَىٰ فِى ٱلسَّمَـٰوَٰتِ وَٱلْأَرْضِ ۚ وَهُوَ ٱلْعَزِيزُ ٱلْحَكِيمُ

Dan Dia-lah yang memulakan penciptaan, kemudian mengulanginya kembali, dan itu lebih mudah bagi-Nya. Dia memiliki sifat yang Maha Tinggi di langit dan di bumi. Dan Dia-lah Yang Maha Perkasa lagi Maha Bijaksana.

▪️   Allah Ta’ala mencipta makhluk daripada permulaan tanpa ada contoh sebelumnya. Kemudian Dia mematikan dan seterusnya Dia mengembalikannya lagi seperti pada permulaannya. Hal yang demikian ini bagi-Nya mudah sahaja mengadakan nya. Bahkan mengulangi kejadian makhluk itu lebih mudah berbanding pertama kalinya pada pandangan orang-orang yang berakal. Padahal segala perkara itu adalah mudah bagi Allah. Firman-Nya:

“Sesungguhnya keadaan-Nya apabila Dia menghendaki sesuatu hanyalah berkata kepadanya, “Jadilah,” maka terjadilah ia.”

Yasin 36:82

Allah Ta’ala memiliki sifat Yang Maha Tinggi di langit dan di bumi. Dengan sifat-sifat yang Dia miliki ini, tidak ada sesuatu apa pun yang layak diibadahi selain Dia. Sesungguhnya Allah Ta’ala Maha Perkasa dan Maha Bijaksana dalam perbuatan dan pengurusan makhluk-makhluk-Nya.

Hadis diriwayatkan oleh Imam Bukhari, Rasulullah saw bersabda:

“Allah berfirman, ‘Anak Adam (manusia) telah mendustakan Aku, padahal tidak patut baginya mendustakan-Ku. Mereka pun telah mencaci maki Aku. Padahal mereka tidak boleh melakukan hal itu. Adapun pendustaan mereka terhadap-Ku adalah ucapan mereka, ‘Allah tidak akan mengembalikan aku wujud semula, sebagaimana Dia telah memulai penciptaan terhadapku.’ Padahal awal penciptaan itu tidak lebih mudah bagi-Ku daripada mengembalikannya kepada bentuk yang asal. Adapun caci maki mereka terhadap-Ku adalah ucapan mereka bahawa Allah memiliki anak. Padahal Aku ini Maha Esa, tempat bergantung semua makhluk, tidak beranak dan tidak diperanakkan, dan tidak ada satu makhluk pun yang setara dengan-Ku.”

(HR. Bukhari)

‘Ali bin Abi Talhah meriwayatkan daripada Ibnu ‘Abbas ra, dia berkata, firman Allah Ta’ala di atas adalah sama maksudnya dengan firman-Nya:

“……………Tidak ada sesuatupun yang serupa dengan Dia, dan Dia-lah yang Maha Mendengar dan Melihat.”

Asy-Syura 42:11

Qatadah pula mengatakan bahawa ayat ini sama makna dengan ucapan, “Tidak ada Ilah yang berhak diibadahi dengan benar selain Allah dan tidak ada Rabb yang mengatur alam ini kecuali Dia.”