Surah 30: Ar-Rum (11 – 16)

Bukti Kebenaran Hari Kebangkitan

Surah 30: Ar-Rum (11 – 16)


Ayat 11

ٱللَّهُ يَبْدَؤُا۟ ٱلْخَلْقَ ثُمَّ يُعِيدُهُۥ ثُمَّ إِلَيْهِ تُرْجَعُونَ

Allah yang memulakan penciptaan (makhluk), kemudian mengulanginya kembali, kemudian kepada-Nya kamu dikembalikan.

Allah Ta’ala menyatakan sebagaimana Dia berkuasa memulai penciptaan manusia, maka Dia juga Maha berkuasa untuk mengulanginya sekali lagi. Kemudian seluruh makhluk akan kembali kepada-Nya. Lalu Dia membalas orang yang berbuat baik dengan kebaikan dan orang yang berbuat buruk dengan keburukan.

Ayat 12

وَيَوْمَ تَقُومُ ٱلسَّاعَةُ يُبْلِسُ ٱلْمُجْرِمُونَ

Dan pada hari (ketika) terjadinya kiamat, orang-orang yang berdosa (kaum musyrik) terdiam berputus asa.

Selanjutnya, Allah Ta’ala menggambarkan keadaan orang-orang yang celaka dan sengsara. Pada Hari Kiamat ketika proses pengadilan dan penghisaban, orang-orang yang berdosa iaitu kaum musyrik, hanya terdiam membisu dan tidak mampu memberikan apa-apa alasan lagi. Mereka berputus asa kerana tidak mampu menyelamatkan diri daripada azab-Nya. Firman-Nya:

“………Sesungguhnya mereka telah berputus asa terhadap Negeri Akhirat sebagaimana orang-orang kafir yang telah berada dalam kubur berputus asa.”

Al-Mumtahanah 60:13

Ayat 13

وَلَمْ يَكُن لَّهُم مِّن شُرَكَآئِهِمْ شُفَعَـٰٓؤُا۟ وَكَانُوا۟ بِشُرَكَآئِهِمْ كَـٰفِرِينَ

Dan tidak mungkin ada pemberi syafaat (pertolongan) bagi mereka daripada sekutu-sekutu mereka, sedangkan mereka mengingkari sekutu-sekutu mereka itu.

Allah Swt menyatakan bahawa kelak pada Hari Kiamat, tidak ada satu pun daripada sekutu-sekutu mereka yang dipuja semasa di dunia dapat membela mereka.

Pada ketika itu jelaslah betapa bodohnya mereka dan betapa palsunya apa yang mereka puja. Begitu juga jelaslah bagi mereka bahawa mereka telah tersesat atau sekutu-sekutu mereka itulah yang memperbodoh-bodohkan mereka. Ini kerana pada waktu itu semua sekutu-sekutu tersebut menolak menolong mereka.

Kesudahannya sekutu-sekutu yang mereka puja itu berlepas diri daripada mereka dan mereka juga berlepas diri daripada sekutu-sekutu tersebut. Ini sebagaimana firman Allah Ta’ala dalam ayat lain:

“(Iaitu) ketika orang-orang yang diikuti itu berlepas diri daripada orang-orang yang mengikutinya, dan mereka melihat seksaan, dan (ketika) segala hubungan antara mereka terputus sama sekali. Dan berkatalah orang-orang yang mengikuti, ‘Seandainya kami dapat kembali (ke dunia), pasti kami akan berlepas diri daripada mereka, sebagaimana mereka berlepas diri daripada kami.’ Demikianlah Allah memperlihatkan kepada mereka amal perbuatannya menjadi sesalan bagi mereka; dan sekali-kali mereka tidak akan keluar dari api neraka.”

Al-Baqarah 2:166-167

Ayat 14

وَيَوْمَ تَقُومُ ٱلسَّاعَةُ يَوْمَئِذٍ يَتَفَرَّقُونَ

Dan pada hari (ketika) terjadinya kiamat, pada hari itu manusia terpecah-pecah (dalam kelompok).

Pada hari terjadinya kiamat, manusia terpisah menjadi beberapa golongan dan tidak akan lagi berkumpul selepas itu. Orang-orang beriman dan berbahagia akan dibawa ke syurga, sementara orang-orang kafir, celaka dan sengsara diheret ke neraka.

Qatadah berkata, “Demi Allah! Itulah perpecahan yang tidak akan bersatu lagi setelahnya.” Maksudnya, bila satu golongan (penghuni syurga) diangkat ke tempat yang tinggi dan golongan lain diseret ke tempat yang paling rendah (neraka) maka itulah akhir pertemuan mereka.

Ayat 15

فَأَمَّا ٱلَّذِينَ ءَامَنُوا۟ وَعَمِلُوا۟ ٱلصَّـٰلِحَـٰتِ فَهُمْ فِى رَوْضَةٍ يُحْبَرُونَ

Maka adapun orang-orang yang beriman dan mengerjakan kebajikan, mereka di dalam taman (syurga) dan bergembira.

Kemudian Allah Ta’ala menyatakan orang-orang yang beriman kepada-Nya, membenarkan apa yang dibawa oleh para Rasul-Nya dan melakukan amal soleh, tempat mereka di syurga. Mereka dimuliakan, berbahagia dan menikmati pelbagai kenikmatan. Mereka bergembira dan berbahagia di dalamnya. Semoga kita termasuk dalam golongan ini, Allahumma aamiin!

Firman Allah Ta’ala dalam ayat yang lain:

“Tiada seorang pun mengetahui pelbagai nikmat yang menanti, yang indah dipandang sebagai balasan bagi mereka, atas apa yang mereka kerjakan.”

As-Sajdah 32:17

Ayat 16

وَأَمَّا ٱلَّذِينَ كَفَرُوا۟ وَكَذَّبُوا۟ بِـَٔايَـٰتِنَا وَلِقَآئِ ٱلْـَٔاخِرَةِ فَأُو۟لَـٰٓئِكَ فِى ٱلْعَذَابِ مُحْضَرُونَ

Dan adapun orang-orang yang kafir dan mendustakan ayat-ayat Kami (Al-Quran) serta (mendustakan) pertemuan dengan Hari Akhirat, mereka tetap berada di dalam azab (neraka).

Allah Ta’ala menyatakan bahawa orang-orang yang kufur dan tidak mengakui keesaan-Nya serta tidak percaya adanya Hari Kebangkitan selepas kematian, mereka itu akan diazab oleh-Nya di dalam neraka. Mereka kekal di dalamnya tidak dapat melepaskan diri.

Firman Allah Ta’ala dalam ayat yang lain:

“Dan orang-orang yang kafir kepada ayat-ayat Allah dan pertemuan dengan-Nya, mereka berputus asa daripada rahmat-Ku, dan mereka itu akan mendapat azab yang pedih.”

Al-‘Ankabut 29:23