Surah 30: Ar-Rum (1 – 7)

Berita Kekalahan Bangsa Rom

Surah 30: Ar-Rum (1 – 7)


Ayat 1

الٓمٓ

Alif Lam Mim.

Ayat 2

غُلِبَتِ ٱلرُّومُ

Bangsa Rom telah dikalahkan.

Ayat ini turun ketika Raja Parsi berjaya mengalahkan tentera Rom dan menakluki negeri-negeri Syam serta bahagian lainnya yang termasuk ke dalam wilayah kerajaan Rom dari tanah Jazirah Arab, juga sebahagian besar wilayah kerajaan Rom, sehingga Raja Rom iaitu Heraklius terpaksa mundur ke kota Konstantinopel (Istanbul).

Ayat 3

فِىٓ أَدْنَى ٱلْأَرْضِ وَهُم مِّنۢ بَعْدِ غَلَبِهِمْ سَيَغْلِبُونَ

Di negeri yang terdekat dan mereka sesudah dikalahkan itu akan menang.

“Di negeri yang terdekat” bermaksud kawasan yang berdekatan dengan tanah Arab, iaitu Syria dan Palestin, yang mana sebelumnya kedua-duanya menjadi negeri di bawah jajahan kerajaan Rom Timur.

Pada waktu ayat ini diturunkan, bangsa Rom adalah bangsa yang beragama Nasrani yang memiliki kitab suci. Manakala bangsa Parsi pula beragama Majusi yang menyembah api dan berhala (musyrik). Kedua-dua bangsa itu berperang dan kedua-dua kerajaan ini merupakan dua kerajaan yang besar pada zaman itu.

Ketika tersebar berita tentang kerajaan Rom kalah kepada kerajaan Parsi di tanah Arab, kaum musyrikin Mekah menyambutnya dengan penuh kegembiraan kerana kemenangan berpihak kepada orang musyrikin Parsi yang sama-sama menyembah berhala seperti mereka. Sedangkan kaum muslimin berdukacita dengan kekalahan kerajaan Rom. Ini kerana mereka menginginkan kemenangan berpihak kepada kerajaan Rom yang secara umum bangsanya terdiri daripada ahli kitab dan mereka lebih dekat kepada orang-orang mukmin berbanding kaum Majusi.

Kemudian turun ayat ini dan ayat berikutnya yang menyatakan bahawa bangsa Rom setelah kalah itu akan menang dalam masa beberapa tahun sahaja. Hal itu benar-benar terjadi kerana beberapa tahun kemudian, menanglah bangsa Rom dan kalahlah bangsa Parsi.

Setelah berlakunya kejadian ini, nyatalah kebenaran Nabi Muhammad saw sebagai Nabi dan Rasul serta kebenaran Al-Quran yang merupakan firman Allah Swt.

Ayat 4

فِى بِضْعِ سِنِينَ ۗ لِلَّهِ ٱلْأَمْرُ مِن قَبْلُ وَمِنۢ بَعْدُ ۚ وَيَوْمَئِذٍ يَفْرَحُ ٱلْمُؤْمِنُونَ

Dalam beberapa tahun (lagi). Bagi Allah-lah urusan sebelum dan setelah (mereka menang). Dan pada hari (kemenangan bangsa Rom) itu bergembiralah orang-orang yang beriman.

Kemenangan bangsa Rom diramalkan berlaku dalam tempoh antara 3 hingga 9 tahun selepas ayat kedua surah ini diturunkan. Abu Bakar ra bertaruh dengan golongan kafir Quraisy bahawa kemenangan akan terjadi dalam masa 6 tahun. Pada ketika ini pertaruhan masih lagi belum diharamkan. Namun begitu jarak waktu sebenar antara kekalahan bangsa Rom (tahun 614-615M) dengan kemenangannya (622M) ialah kira-kira 7 tahun.

Dalam sebuah hadis yang diriwayatkan Imam At-Tirmidzi, Ibnu Jarir, Ibnu Abi Hatim dan Al-Bazzar daripada Abu Sa’id, dia berkata, “Pada hari terjadinya perang Badar, tentera Rom mengalahkan bangsa Parsi.” Hal ini membuatkan kaum mukmin sangat gembira. Allah Ta’ala kemudian menurunkan ayat ini dan ayat seterusnya.

Ayat 5

بِنَصْرِ ٱللَّهِ ۚ يَنصُرُ مَن يَشَآءُ ۖ وَهُوَ ٱلْعَزِيزُ ٱلرَّحِيمُ

Dengan pertolongan Allah. Dia menolong siapa yang Dia kehendaki. Dan Dia Maha Perkasa lagi Maha Penyayang.

Sesungguhnya hanya Allah Swt Maha Kuat dan Maha Perkasa dalam menjatuhkan sesuatu kaum sebagaimana Dia Maha Penyayang terhadap orang-orang yang taat. Dia-lah satu-satunya Zat yang memiliki kekuasaan yang menyeluruh dan segala janji-janji-Nya pasti terlaksana.

Ayat 6

وَعْدَ ٱللَّهِ ۖ لَا يُخْلِفُ ٱللَّهُ وَعْدَهُۥ وَلَـٰكِنَّ أَكْثَرَ ٱلنَّاسِ لَا يَعْلَمُونَ

(Itulah) janji Allah. Allah tidak (pernah) memungkiri janji-Nya, tetapi kebanyakan manusia tidak mengetahui.

Allah Ta’ala memberitahu Nabi Muhammad saw bahawa kemenangan kerajaan Rom terhadap kerajaan Parsi adalah janji-Nya yang nyata dan pasti terjadi.

Ini adalah ketetapan Allah Ta’ala bahawa Dia akan menolong golongan yang paling mendekati kebenaran di antara dua golongan yang berperang. Namun manusia tidak mengetahui ketentuan-Nya yang telah ditetapkan dalam ciptaan-Nya. Mereka juga tidak memahami kebijaksanaan dan keadilan-Nya disebabkan kejahilan mereka.

Ayat 7

يَعْلَمُونَ ظَـٰهِرًا مِّنَ ٱلْحَيَوٰةِ ٱلدُّنْيَا وَهُمْ عَنِ ٱلْـَٔاخِرَةِ هُمْ غَـٰفِلُونَ

Mereka hanya mengetahui yang zahir (sahaja) daripada kehidupan dunia, sedang terhadap (kehidupan) akhirat mereka lalai.

Seterusnya, Allah Ta’ala menyatakan kebanyakan manusia tidak memiliki pengetahuan selain urusan dunia dan bagaimana mencari serta mendapatkannya. Manakala dalam hal-hal keagamaan dan akhirat, mereka lalai serta tidak memikirkan untuk beramal sebagai bekalan kehidupan mereka di akhirat kelak.

Firman Allah Ta’ala dalam ayat-ayat yang lain:

“Dan tidaklah kehidupan dunia ini, kecuali permainan dan senda gurau. Dan sungguh kampung akhirat itu lebih baik bagi orang-orang yang bertakwa. Maka tidakkah kamu mengerti?”

Al-An’am 6:32

“Maka berpalinglah (wahai Muhammad) dari orang yang berpaling daripada peringatan Kami, dan hanya menginginkan kehidupan dunia. Sekadar itulah ilmu (pengetahuan) mereka……….”

An-Najm 53:29-30