Surah 3: Ali ‘Imran (93 – 95)

Makanan yang Dihalalkan dan Diharamkan kepada Bani Israil

Surah 3: Ali ‘Imran (93 – 95)


Ayat 93

كُلُّ ٱلطَّعَامِ كَانَ حِلًّا لِّبَنِىٓ إِسْرَٰٓءِيلَ إِلَّا مَا حَرَّمَ إِسْرَٰٓءِيلُ عَلَىٰ نَفْسِهِۦ مِن قَبْلِ أَن تُنَزَّلَ ٱلتَّوْرَىٰةُ ۗ قُلْ فَأْتُوا۟ بِٱلتَّوْرَىٰةِ فَٱتْلُوهَآ إِن كُنتُمْ صَـٰدِقِينَ

Segala jenis makanan dahulu adalah halal bagi Bani Israil, kecuali makanan yang diharamkan oleh Israil (Nabi Yaakub) kepada dirinya sendiri sebelum diturunkan Kitab Taurat. Katakanlah (wahai Muhammad): “(Jika ada makanan yang diharamkan kepada kamu – wahai Bani Israil – sebelum Kitab Taurat diturunkan) maka bawalah kamu Kitab Taurat itu kemudian bacalah akan dia, kalau betul kamu orang-orang yang benar.

Ayat ini merupakan bantahan terhadap ahli kitab. Orang-orang Yahudi berkata kepada Rasulullah saw bahawa bagaimana mungkin Baginda mengaku mengikuti agama Nabi Ibrahim as sedangkan Baginda memakan makanan yang diharamkan dalam agamanya iaitu daging unta dan susunya. 

Maka Allah swt membantah pembohongan mereka itu dengan menyatakan bahawa semua makanan yang baik hukumnya adalah halal dimakan dalam agama Nabi Ibrahim as kecuali yang diharamkan secara khusus oleh Nabi Yaakub as untuk dirinya sendiri. Ini kerana Baginda telah bernazar atas penyakit yang menimpanya dan terjadi sebelum diturunkan kitab Taurat. 

Kitab Taurat diturunkan kepada Nabi Musa as beberapa abad setelah wafatnya Nabi Ibrahim as dan Nabi Yaakub as. Setelah kitab Taurat diturunkan, Allah swt mengharamkan ke atas Bani Israil beberapa jenis makanan yang sebelumnya halal bagi mereka. Ini adalah disebabkan oleh perbuatan zalim dan sikap mereka yang melampaui batas. Firman-firman Allah: 

“Maka disebabkan kezaliman orang-orang Yahudi, kami haramkan atas mereka (memakan makanan) yang baik-baik (yang dahulunya) dihalalkan bagi mereka, dan kerana mereka banyak menghalang (manusia) dari jalan Allah” 

An-Nisa’ 4:160 

“Dan kepada orang-orang Yahudi, Kami haramkan segala binatang yang berkuku dan daripada lembu dan kambing, Kami haramkan ke atas mereka lemak daripada kedua-dua binatang itu, selain lemak yang melekat di punggung kedua-duanya atau yang di perut besar dan usus atau yang bercampur dengan tulang. Demikianlah Kami hukum mereka disebabkan kederhakaan mereka; dan sesungguhnya Kami adalah Maha Benar.” 

Al-An’am 6:146 

Ayat 94

فَمَنِ ٱفْتَرَىٰ عَلَى ٱللَّهِ ٱلْكَذِبَ مِنۢ بَعْدِ ذَٰلِكَ فَأُو۟لَـٰٓئِكَ هُمُ ٱلظَّـٰلِمُونَ

(Jika tidak) maka sesiapa yang mereka-reka kata-kata dusta terhadap Allah sesudah yang demikian itu, maka mereka itulah orang-orang yang zalim.

Semua makanan yang sebelum turunnya Taurat adalah halal bagi Bani Israil. Oleh itu, sesiapa yang berdusta dengan mengatakan bahawa sebelum Taurat diturunkan, Allah swt telah mengharamkan beberapa makanan kepada Bani Israil, mereka itu adalah orang-orang yang zalim kerana berdusta atas nama Allah Ta’ala. 

Ayat 95

قُلْ صَدَقَ ٱللَّهُ ۗ فَٱتَّبِعُوا۟ مِلَّةَ إِبْرَٰهِيمَ حَنِيفًا وَمَا كَانَ مِنَ ٱلْمُشْرِكِينَ

Katakanlah (wahai Muhammad): “Benarlah (apa yang difirmankan oleh) Allah, maka ikutilah kamu akan agama Nabi Ibrahim yang ikhlas (berdasarkan Tauhid), dan bukanlah ia dari orang-orang musyrik.

Allah swt memerintahkan Rasulullah saw mengatakan kepada mereka bahawa Allah Maha Benar tentang berita yang disampaikanNya. Begitu juga dengan apa yang dikhabarkan oleh Baginda adalah semata-mata kebenaran yang datang daripadaNya. 

Oleh itu, kaum Yahudi mestilah mengikuti agama Nabi Ibrahim as yang lurus, yang disyariatkan oleh Allah swt di dalam Al-Quran melalui lisan Nabi Muhammad saw. Ini kerana Al-Quran itu benar dan tidak ada keraguan di dalamnya. Al-Quran juga adalah jalan petunjuk yang tidak ada seorang Nabi pun yang datang membawa yang lebih sempurna, lebih jelas dan lebih lengkap daripadanya. Nabi Ibrahim as bukanlah termasuk orang-orang yang menyekutukan sesuatu dengan Allah Ta’ala dalam tauhid dan ibadah kepadaNya. Firman-firmanNya: 

“Katakanlah: ‘Sesungguhnya aku telah ditunjuki oleh Rabbku kepada jalan yang lurus, (iaitu) agama yang benar, agama Ibrahim yang lurus, dan Ibrahim itu bukanlah termasuk orang-orang musyrik.'” 

Al-An’am 6:161 

“Kemudian Kami wahyukan kepadamu (Muhammad): “Ikutilah agama Ibrahim seorang yang hanif (berdiri teguh di atas jalan yang benar),” dan dia bukanlah termasuk orang-orang musyrik.” 

An-Nahl 16:123