Surah 3: Ali ‘Imran (90 – 91)

Ancaman Allah terhadap Orang Murtad

Surah 3: Ali ‘Imran (90 – 91)


Ayat 90

إِنَّ ٱلَّذِينَ كَفَرُوا۟ بَعْدَ إِيمَـٰنِهِمْ ثُمَّ ٱزْدَادُوا۟ كُفْرًا لَّن تُقْبَلَ تَوْبَتُهُمْ وَأُو۟لَـٰٓئِكَ هُمُ ٱلضَّآلُّونَ

Sesungguhnya orang-orang yang kafir sesudah mereka beriman, kemudian mereka bertambah kufur lagi, tidak sekali-kali akan diterima taubat mereka, dan mereka itulah orang-orang yang sesat.

Al-Bazzar meriwayatkan daripada Ibnu Abbas ra, bahawa ada satu kaum yang masuk Islam, kemudian murtad, lalu masuk Islam lagi, kemudian murtad lagi. Kemudian mereka mengirim utusan kepada Nabi Muhammad saw untuk bertanyakan hal ini. Lalu turunlah ayat ini. 

Ayat ini merupakan peringatan dan ancaman Allah Ta’ala kepada orang yang murtad setelah beriman, kemudian bertambah kekafirannya dan terus menerus dalam kekafirannya sehingga mati. Allah swt juga menyatakan bahawa taubat mereka menjelang kematian tidak akan pernah diterima. Begitu juga dengan orang-orang yang mati sedangkan dia dalam kekafiran. FirmanNya: 

“Dan tidaklah taubat itu diterima Allah daripada orang-orang yang mengerjakan kejahatan (yang) hingga apabila datang ajal kepada seseorang di antara mereka, (barulah) dia mengatakan: “Sesungguhnya saya bertaubat sekarang.” Dan tidak (pula diterima taubat) orang-orang yang mati sedang mereka di dalam kekafiran. Bagi orang-orang itu telah Kami sediakan seksa yang pedih.” 

An-Nisa’ 4:18 

Sabda Rasulullah saw: 

“Sesungguhnya Allah swt menerima taubat setiap hamba selagi dia belum sakarat.” 

(HR. Ahmad) 

Ayat 91

إِنَّ ٱلَّذِينَ كَفَرُوا۟ وَمَاتُوا۟ وَهُمْ كُفَّارٌ فَلَن يُقْبَلَ مِنْ أَحَدِهِم مِّلْءُ ٱلْأَرْضِ ذَهَبًا وَلَوِ ٱفْتَدَىٰ بِهِۦٓ ۗ أُو۟لَـٰٓئِكَ لَهُمْ عَذَابٌ أَلِيمٌ وَمَا لَهُم مِّن نَّـٰصِرِينَ

Sesungguhnya orang-orang yang kafir, lalu mati sedang mereka tetap kafir, maka tidak sekali-kali akan diterima dari seseorang di antara mereka: emas sepenuh bumi, walaupun ia menebus dirinya dengan (emas yang sebanyak) itu. Mereka itu akan mendapat azab seksa yang tidak terperi sakitnya, dan mereka pula tidak akan beroleh seorang penolong pun.

Barangsiapa yang mati dalam keadaan kufur kepada Allah Ta’ala dan seandainya mereka memiliki tebusan berupa emas sepenuh bumi di akhirat, lalu mereka menawarkannya sebagai tebusan untuk menyelamatkan diri mereka daripada seksaan neraka, maka tebusan itu sekali-kali tidak akan diterima. Mereka juga tidak akan mendapat seorang pun penolong daripada seksaan tersebut atau untuk meringankannya. Firman Allah: 

“Maka pada hari ini tidak diterima tebusan daripada kamu dan tidak pula daripada orang-orang kafir. Tempat kamu ialah neraka. Dia tempat berlindungmu. Dan dia adalah sejahat-jahat tempat kembali.” 

Al-Hadid 57:15 

Rasulullah saw bersabda: 

“Allah akan berkata kepada penghuni neraka yang paling ringan seksanya, ‘Bagaimana jika sekiranya kamu memiliki segala sesuatu yang ada di bumi, mahukah kamu menebus dirimu dengannya?’ Dia menjawab, ‘Ya’, Allah berfirman, ‘Sesungguhnya Aku telah menawarkan kepadamu yang lebih ringan daripada itu ketika kamu dalam tulang sulbi Adam, iaitu agar kamu tidak menyekutukan Aku, namun kamu menolaknya dan malah berbuat syirik.’” 

(HR. Al-Bukhari)