Surah 3: Ali-‘Imran (79 – 80)

Pembohongan oleh Ahli Kitab terhadap Para Nabi

Surah 3: Ali-‘Imran (79 – 80)


Ayat 79

مَا كَانَ لِبَشَرٍ أَن يُؤْتِيَهُ ٱللَّهُ ٱلْكِتَـٰبَ وَٱلْحُكْمَ وَٱلنُّبُوَّةَ ثُمَّ يَقُولَ لِلنَّاسِ كُونُوا۟ عِبَادًا لِّى مِن دُونِ ٱللَّهِ وَلَـٰكِن كُونُوا۟ رَبَّـٰنِيِّـۧنَ بِمَا كُنتُمْ تُعَلِّمُونَ ٱلْكِتَـٰبَ وَبِمَا كُنتُمْ تَدْرُسُونَ

Tidaklah patut bagi seseorang manusia yang Allah berikan kepadanya Kitab agama dan hikmat serta pangkat Nabi, kemudian ia tergamak mengatakan kepada orang ramai: “Hendaklah kamu menjadi orang-orang yang menyembahku dengan meninggalkan perbuatan menyembah Allah”. Tetapi (sepatutnya ia berkata): “Hendaklah kamu menjadi orang-orang Rabbaniyin (yang hanya menyembah Allah Taala – dengan ilmu dan amal yang sempurna), kerana kamu sentiasa mengajarkan isi Kitab Allah itu, dan kerana kamu selalu mempelajarinya.

Ayat ini merupakan bantahan kepada kaum Nasrani yang mengatakan Nabi Isa as adalah tuhan. Sesungguhnya adalah sesuatu yang melampau bagi seseorang yang Allah Ta’ala telah turunkan kitab suci kepadanya, mengajar kepadanya hikmah iaitu memahami agama dan syariat-syariat serta memberinya kenabian dan kerasulan, kemudian selepas itu dia mengajak manusia agar menyembah dirinya dan bukan Allah Yang Maha Esa. 

Hal seperti ini tidak pernah terjadi dan tidak akan terjadi sampai bila-bila. Malah para rasul semuanya menyeru mereka agar menjadi orang-orang rabbani iaitu menjadi ulama dan fuqaha’ yang mengamalkan apa yang diperintahkan oleh Allah Ta’ala dengan ketaatan yang sebenar. 

Ayat 80

وَلَا يَأْمُرَكُمْ أَن تَتَّخِذُوا۟ ٱلْمَلَـٰٓئِكَةَ وَٱلنَّبِيِّـۧنَ أَرْبَابًا ۗ أَيَأْمُرُكُم بِٱلْكُفْرِ بَعْدَ إِذْ أَنتُم مُّسْلِمُونَ

Dan ia tidak pula patut menyuruh kamu menjadikan malaikat dan Nabi-nabi sebagai tuhan-tuhan. Patutkah ia menyuruh kamu dengan kekufuran sesudah kamu menjadi orang Islam?

Allah Swt menyatakan tentang Rasulullah saw. Baginda tidak menyuruh umatnya menyembah selain Allah Yang Maha Tinggi sekalipun kepada malaikat yang mulia atau para rasul yang diutus-Nya. 

Adalah tidak masuk akal apabila seorang nabi dan rasul menyuruh umatnya menyembah selain Allah Ta’ala. Semua ini jelas bertentangan dengan seluruh risalah yang dibawa oleh para nabi yang memerintahkan untuk hanya semata-mata menyembah Allah Ta’ala. Firman-firman Allah: 

“Dan sesungguhnya Kami telah mengutus rasul pada tiap-tiap umat (untuk menyerukan): ‘Sembahlah Allah (sahaja), dan jauhilah taghut itu…………'” 

An-Nahl 16:36 

“Dan Kami tidak mengutus seorang rasul pun sebelum kamu melainkan Kami wahyukan kepadanya: ‘Bahawasanya tidak ada Ilah (yang berhak diibadahi) melainkan Aku, maka sembahlah olehmu sekalian akan Aku.'” 

Al-Anbiya’ 21:25