Surah 3: Ali-‘Imran (75 – 77)

Buruknya Akhlak Ahli Kitab dalam Bermuamalat

Surah 3: Ali-‘Imran (75 – 77)


Ayat 75

وَمِنْ أَهْلِ ٱلْكِتَـٰبِ مَنْ إِن تَأْمَنْهُ بِقِنطَارٍ يُؤَدِّهِۦٓ إِلَيْكَ وَمِنْهُم مَّنْ إِن تَأْمَنْهُ بِدِينَارٍ لَّا يُؤَدِّهِۦٓ إِلَيْكَ إِلَّا مَا دُمْتَ عَلَيْهِ قَآئِمًا ۗ ذَٰلِكَ بِأَنَّهُمْ قَالُوا۟ لَيْسَ عَلَيْنَا فِى ٱلْأُمِّيِّـۧنَ سَبِيلٌ وَيَقُولُونَ عَلَى ٱللَّهِ ٱلْكَذِبَ وَهُمْ يَعْلَمُونَ

Dan di antara Ahli Kitab, ada orang yang kalau engkau amanahkan dia menyimpan sejumlah besar harta sekalipun, ia akan mengembalikannya (dengan sempurna) kepadamu, dan ada pula di antara mereka yang kalau engkau amanahkan menyimpan sedinar pun, ia tidak akan mengembalikannya kepadamu kecuali kalau engkau selalu menuntutnya. Yang demikian itu ialah kerana mereka mengatakan: “Tidak ada jalannya kami menanggung dosa mengenai orang-orang yang Ummi dan, mereka pula selalu berkata dusta terhadap Allah sedang mereka mengetahui (bahawa mereka adalah berdusta).

Allah swt menyatakan bahawa ada di antara ahli kitab yang memiliki sifat amanah dan boleh dipercayai. Jika mereka diberikan amanah sama ada sedikit ataupun banyak, mereka menunaikannya dengan baik dan jujur. Antaranya adalah Abdullah bin Salam dan Samu’al bin ‘Adiya yang terkenal dengan sifat amanah dan jujur. 

Namun ada juga orang-orang Yahudi yang memiliki sifat khianat. Jika diamanahkan walaupun sedikit, mereka mengkhianati dan tidak menjaganya serta tidak menunaikannya dengan baik. Harta yang diamanahkan kepada mereka sangat susah diminta kembali kecuali berterusan menagihnya dengan terpaksa atau terpaksa membawa bukti-bukti yang kuat sekiranya mereka telah bersikap khianat. Mereka ini adalah seperti Ka’b bin Al-Asyraf atau Fanhash bin ‘Azura yang pernah diamanahkan satu dinar oleh seorang lelaki Quraisy, tetapi dia mengingkarinya. 

Mereka bersikap khianat pada amanah ini kerana menyangka bahawa Taurat membolehkan mereka memakan atau merampas harta orang-orang ummi (orang-orang Arab yang tidak tahu membaca) dan tidaklah berdosa. Pada fahaman mereka, bukan sahaja harta orang-orang Arab bahkan harta sesiapa sahaja bukan daripada kalangan Yahudi halal bagi mereka merampasnya. Ini kerana mereka memiliki fahaman bahawa mereka adalah umat pilihan dan umat yang paling unggul dibandingkan dengan umat-umat yang lain. Mereka juga beranggapan bahawa orang-orang lain selain Yahudi adalah tidak mempunyai kehormatan, tidak bernilai, tidak memiliki hak, dibenci dan dipandang hina di sisi Allah Ta’ala.

Allah swt juga menolak dan membantah mereka dengan mengatakan bahawa mereka telah membuat kebohongan terhadapNya dengan menganggap apa yang mereka katakan itu terdapat dalam kitab suci mereka. Sedangkan mereka mengetahui apa yang mereka katakan itu adalah dusta belaka kerana Taurat sama sekali tidak mengandungi hukum yang tidak adil seperti mengkhianati amanah dan hak-hak orang Arab, bahkan Taurat mengandungi hukum sebaliknya iaitu wajib menunaikan amanah dan janji.  

Ayat 76

بَلَىٰ مَنْ أَوْفَىٰ بِعَهْدِهِۦ وَٱتَّقَىٰ فَإِنَّ ٱللَّهَ يُحِبُّ ٱلْمُتَّقِينَ

Bahkan (mereka berdosa memakan hak orang, kerana), sesiapa yang menyempurnakan janjinya (mengenai hak orang lain) dan bertaqwa, maka sesungguhnya Allah mengasihi orang-orang yang bertaqwa.

Beranggapan tidak ada dosa bagi mereka mengambil harta orang-orang ummi adalah salah, bahkan mereka mendapat dosa yang besar kerana beranggapan sedemikian dan melakukan perbuatan tersebut. 

Sesiapa yang menepati janjinya dan bertakwa kepada Allah Ta’ala dalam menjauhi sifat khianat dan menipu maka Dia mencintai dan meredhainya. Oleh itu, dalam semua kitab suci yang diturunkanNya terdapat perintahNya agar selalu bersikap jujur dan memenuhi janji. 

Ayat 77

إِنَّ ٱلَّذِينَ يَشْتَرُونَ بِعَهْدِ ٱللَّهِ وَأَيْمَـٰنِهِمْ ثَمَنًا قَلِيلًا أُو۟لَـٰٓئِكَ لَا خَلَـٰقَ لَهُمْ فِى ٱلْـَٔاخِرَةِ وَلَا يُكَلِّمُهُمُ ٱللَّهُ وَلَا يَنظُرُ إِلَيْهِمْ يَوْمَ ٱلْقِيَـٰمَةِ وَلَا يُزَكِّيهِمْ وَلَهُمْ عَذَابٌ أَلِيمٌ

Sesungguhnya orang-orang yang mengutamakan keuntungan dunia yang sedikit dengan menolak janji Allah dan mencabuli sumpah mereka, mereka tidak akan mendapat bahagian yang baik pada hari akhirat, dan Allah tidak akan berkata-kata dengan mereka dan tidak akan memandang kepada mereka pada hari Kiamat, dan tidak akan membersihkan mereka (dari dosa), dan mereka pula akan beroleh azab seksa yang tidak terperi sakitnya.

Memenuhi janji dan kesepakatan akad tidak hanya terbatas sesama manusia sahaja, tetapi juga terhadap Allah swt. Menjadi kewajipan muslim untuk memenuhi setiap perintah dan kewajipan agamaNya. Sekiranya orang-orang Yahudi menepati dan menghormati janji-janji mereka, tentu mereka akan beriman kepada Rasulullah saw dan seandainya mereka memang bersikap jujur dan adil tentunya mereka tidak akan bersikap memilih kasih antara hak orang-orang Yahudi dan bukan Yahudi. 

Ayat ini juga merupakan ancaman bagi mereka yang berjanji tetapi mengkhianatinya dan berdusta demi kepentingan kesenangan dan kenikmatan hidup di dunia yang sementara. Mereka tidak akan mendapat bahagian sedikit pun daripada kenikmatan akhirat. Allah swt tidak akan berbicara dengan mereka dan mereka tidak mendapat kebaikan dan rahmat daripadaNya, sebaliknya mereka mendapat murkaNya, terhina di dunia dan mendapat azab seksa yang pedih di akhirat.