Surah 3: Ali-‘Imran (71 – 74)

Larangan Mencampurkan Hak dan Batil

Surah 3: Ali-‘Imran (71 – 74)


Ayat 71

يَـٰٓأَهْلَ ٱلْكِتَـٰبِ لِمَ تَلْبِسُونَ ٱلْحَقَّ بِٱلْبَـٰطِلِ وَتَكْتُمُونَ ٱلْحَقَّ وَأَنتُمْ تَعْلَمُونَ

Wahai Ahli Kitab! Mengapa kamu campur adukkan yang benar dengan yang salah, dan kamu pula menyembunyikan kebenaran padahal kamu mengetahuinya?

Allah Swt mencela ahli kitab yang mencampuradukkan kebenaran yang dibawa oleh para nabi dengan kebatilan dan pendustaan yang diada-adakan oleh pendeta-pendeta mereka. Mereka mengubah ayat-ayat Allah Ta’ala dan menggantikannya dengan perkataan mereka sehingga mengelirukan. 

Mereka juga menyembunyikan kebenaran tentang kerasulan Rasulullah saw yang terdapat dalam kitab-kitab mereka iaitu Taurat dan Injil. Ini kerana terdapat perasaan dengki dan benci dalam hati mereka kepada Baginda. 

Ayat 72

وَقَالَت طَّآئِفَةٌ مِّنْ أَهْلِ ٱلْكِتَـٰبِ ءَامِنُوا۟ بِٱلَّذِىٓ أُنزِلَ عَلَى ٱلَّذِينَ ءَامَنُوا۟ وَجْهَ ٱلنَّهَارِ وَٱكْفُرُوٓا۟ ءَاخِرَهُۥ لَعَلَّهُمْ يَرْجِعُونَ

Dan berkatalah segolongan dari Ahli Kitab (sesama sendiri): “Berimanlah kamu kepada Al-Quran yang diturunkan kepada orang-orang yang beriman itu: pada sebelah pagi, dan kufurlah (ingkarlah) pada petangnya, supaya mereka (merasa ragu-ragu, lalu) kembali menjadi kafir semula”.

Allah Swt menyatakan bentuk tipu daya yang dilakukan oleh sebahagian daripada orang-orang Yahudi. Antaranya ialah dengan menampakkan keislaman mereka pada awal hari dengan melakukan solat subuh bersama dengan kaum muslimin tetapi pada petangnya mereka kembali kufur. Hal ini dilakukan untuk menimbulkan kesamaran kepada orang-orang yang lemah dan bodoh dalam beragama. 

Pada pandangan mereka, orang-orang Islam boleh dipujuk untuk keluar daripada agama Islam dan kembali kepada kekufuran sekiranya orang-orang Islam mendapati kekurangan dalam agama Islam. Namun mereka tidak menyedari bahawa sesiapa yang telah menemukan kebenaran maka dia tidak akan meninggalkannya. 

Ayat 73

وَلَا تُؤْمِنُوٓا۟ إِلَّا لِمَن تَبِعَ دِينَكُمْ قُلْ إِنَّ ٱلْهُدَىٰ هُدَى ٱللَّهِ أَن يُؤْتَىٰٓ أَحَدٌ مِّثْلَ مَآ أُوتِيتُمْ أَوْ يُحَآجُّوكُمْ عِندَ رَبِّكُمْ ۗ قُلْ إِنَّ ٱلْفَضْلَ بِيَدِ ٱللَّهِ يُؤْتِيهِ مَن يَشَآءُ ۗ وَٱللَّهُ وَٰسِعٌ عَلِيمٌ

Dan (mereka berkata lagi): “Janganlah kamu percaya melainkan kepada orang-orang yang mengikut agama kamu”. Katakanlah (wahai Muhammad): “Sesungguhnya petunjuk yang sebenar-benarnya ialah petunjuk Allah”. (Mereka berkata pula: “Janganlah kamu percaya) bahawa akan diberi kepada sesiapa seperti apa yang telah diberikan kepada kamu, atau mereka akan dapat mengalahkan hujah kamu di sisi Tuhan kamu”. Katakanlah (wahai Muhammad): “Sesungguhnya limpah kurnia itu adalah di tangan Allah, diberikan-Nya kepada sesiapa yang dikehendaki-Nya; dan Allah Maha Luas limpah kurnia-Nya, lagi Meliputi pengetahuan-Nya.

Allah Swt menyatakan bahawa sebahagian daripada ahli kitab melarang sebahagian yang lain memperlihatkan seperti mereka membenarkan kaum muslimin dan mereka juga diberi kitab suci oleh Allah. Ini kerana mereka menyangka bahawa kenabian hanya diberikan kepada golongan mereka sahaja, juga agar tidak menjadi pendorong kepada kaum musyrik untuk masuk Islam. 

Orang-orang Yahudi juga melarang kaum mereka dan orang-orang musyrik mempercayai apa yang diperkatakan oleh kaum muslimin. Ini adalah usaha mereka untuk menghalang orang lain daripada menerima Islam. 

Namun Allah Swt membantah perbuatan orang-orang Yahudi itu dengan memerintahkan Rasulullah saw agar mengatakan bahawa segala sesuatu berada di bawah kekuasaan-Nya. Dia yang memberi dan menahan, menganugerahkan keimanan, ilmu dan pemahaman yang sempurna kepada sesiapa sahaja yang Dia kehendaki. Petunjuk dan bimbingan kepada kebenaran itu adalah milik Allah Ta’ala. 

Ayat 74

يَخْتَصُّ بِرَحْمَتِهِۦ مَن يَشَآءُ ۗ وَٱللَّهُ ذُو ٱلْفَضْلِ ٱلْعَظِيمِ

Allah menentukan pemberian rahmat-Nya itu kepada sesiapa yang dikehendaki-Nya; dan (ingatlah), Allah mempunyai limpah kurnia yang besar.

Allah Ta’ala telah mengkhususkan kurniaan-Nya yang tak terhingga dan tidak dapat digambarkan kepada orang-orang yang beriman, iaitu mereka diberikan kemuliaan dengan menganugerahkan kepada mereka Nabi Muhammad saw yang mengatasi semua nabi yang lain. Allah Swt memberikan mereka petunjuk kepada syariat yang sempurna.