Surah 3: Ali ‘Imran (7) 

Keterangan Ayat-ayat Muhkamat dan Mutasyabihat dalam Al-Quran 

Surah 3: Ali ‘Imran (7) 


Ayat 7

هُوَ ٱلَّذِىٓ أَنزَلَ عَلَيْكَ ٱلْكِتَـٰبَ مِنْهُ ءَايَـٰتٌ مُّحْكَمَـٰتٌ هُنَّ أُمُّ ٱلْكِتَـٰبِ وَأُخَرُ مُتَشَـٰبِهَـٰتٌ ۖ فَأَمَّا ٱلَّذِينَ فِى قُلُوبِهِمْ زَيْغٌ فَيَتَّبِعُونَ مَا تَشَـٰبَهَ مِنْهُ ٱبْتِغَآءَ ٱلْفِتْنَةِ وَٱبْتِغَآءَ تَأْوِيلِهِۦ ۗ وَمَا يَعْلَمُ تَأْوِيلَهُۥٓ إِلَّا ٱللَّهُ ۗ وَٱلرَّٰسِخُونَ فِى ٱلْعِلْمِ يَقُولُونَ ءَامَنَّا بِهِۦ كُلٌّ مِّنْ عِندِ رَبِّنَا ۗ وَمَا يَذَّكَّرُ إِلَّآ أُو۟لُوا۟ ٱلْأَلْبَـٰبِ

Dia-lah yang menurunkan kepadamu (wahai Muhammad) Kitab Suci Al-Quran. Sebahagian besar dari Al-Quran itu ialah ayat-ayat “Muhkamaat” (yang tetap, tegas dan nyata maknanya serta jelas maksudnya); ayat-ayat Muhkamaat itu ialah ibu (atau pokok) isi Al-Quran. Dan yang lain lagi ialah ayat-ayat “Mutasyaabihaat” (yang samar-samar, tidak terang maksudnya). Oleh sebab itu (timbulah faham yang berlainan menurut kandungan hati masing-masing) – adapun orang-orang yang ada dalam hatinya kecenderungan ke arah kesesatan, maka mereka selalu menurut apa yang samar-samar dari Al-Quran untuk mencari fitnah dan mencari-cari Takwilnya (memutarkan maksudnya menurut yang disukainya). Padahal tidak ada yang mengetahui Takwilnya (tafsir maksudnya yang sebenar) melainkan Allah. Dan orang-orang yang tetap teguh serta mendalam pengetahuannya dalam ilmu-ilmu agama, berkata:” Kami beriman kepadanya, semuanya itu datangnya dari sisi Tuhan kami” Dan tiadalah yang mengambil pelajaran dan peringatan melainkan orang-orang yang berfikiran.

Allah Swt menyatakan bahawa di dalam Al-Quran terdapat ayat-ayat muhkamat iaitu ayat-ayat yang jelas maksudnya, dapat difahami dengan mudah. Itulah kitab yang mempunyai keterangan dan dalil yang jelas serta tidak samar bagi sesiapa pun. 

Selain itu, Al-Quran juga terdapat ayat-ayat mutasyabihat iaitu ayat-ayat yang maknanya masih samar bagi kebanyakan orang. Ini adalah disebabkan terdapat perbezaan antara zahir kalimah dan makna yang dimaksudkan oleh ayat tersebut ataupun pengertian ayat tersebut hanya Allah Ta’ala sahaja yang mengetahuinya. 

Sesiapa merujuk kepada ayat-ayat yang jelas, sesungguhnya dia telah mendapat petunjuk. Sekiranya dia melakukan yang sebaliknya maka dia mendapat akibat yang sebaliknya pula. 

Orang-orang yang berpenyakit hati kerana niatnya yang buruk berusaha mencari ayat-ayat mutasyabihat untuk menimbulkan syubhat di tengah-tengah manusia agar dapat menyesatkan mereka. Di samping itu, mereka mentakwilkan ayat-ayat mutasyabihat untuk menguatkan pemahaman mereka yang batil itu. 

Imam Bukhari dan Muslim meriwayatkan daripada ‘Aisyah ra bahawa Rasulullah saw pernah membacakan ayat di atas dan bersabda: 

“Apabila kalian melihat orang-orang berbantah-bantah tentang ayat-ayat mutasyabihat dalam Al-Quran, mereka itulah orang-orang yang dimaksudkan oleh Allah (cenderung kepada kesesatan), maka berhati-hatilah terhadap mereka.” 

Ayat-ayat muhkamat dan mutasyabihat semuanya datang daripada Allah Ta’ala. Semuanya adalah benar dan kedua-duanya saling menguatkan dan membenarkan serta tidak ada sesuatu pun yang datang daripadaNya bertentangan antara satu sama lain. 

Hanya orang-orang yang memiliki akal yang sihat dan pemahaman yang lurus sahaja dapat memahami dan merenungi makna-makna seperti yang dikehendaki secara benar. Rasulullah saw bersabda tentang orang-orang yang mendalam ilmunya: 

“Orang yang benar sumpahnya, jujur lisannya dan lurus hatinya, dan orang yang menjaga perut dan kemaluannya daripada perkara-perkara yang diharamkan, maka itu adalah termasuk orang yang mendalam ilmunya.” 

(HR. Ibnu Abi Hatim)