Seruan kepada Tauhid
Surah 3: Ali-‘Imran (64 – 70)
Ayat 64
قُلْ يَـٰٓأَهْلَ ٱلْكِتَـٰبِ تَعَالَوْا۟ إِلَىٰ كَلِمَةٍ سَوَآءٍۭ بَيْنَنَا وَبَيْنَكُمْ أَلَّا نَعْبُدَ إِلَّا ٱللَّهَ وَلَا نُشْرِكَ بِهِۦ شَيْـًٔا وَلَا يَتَّخِذَ بَعْضُنَا بَعْضًا أَرْبَابًا مِّن دُونِ ٱللَّهِ ۚ فَإِن تَوَلَّوْا۟ فَقُولُوا۟ ٱشْهَدُوا۟ بِأَنَّا مُسْلِمُونَ
Katakanlah (wahai Muhammad): “Wahai Ahli Kitab, marilah kepada satu Kalimah yang bersamaan antara kami dengan kamu, iaitu kita semua tidak menyembah melainkan Allah, dan kita tidak sekutukan denganNya sesuatu jua pun; dan jangan pula sebahagian dari kita mengambil akan sebahagian yang lain untuk dijadikan orang-orang yang dipuja dan didewa-dewakan selain dari Allah”. Kemudian jika mereka (Ahli Kitab itu) barpaling (enggan menerimanya) maka katakanlah kepada mereka: “Saksikanlah kamu bahawa sesungguhnya kami adalah orang-orang Islam”.
Ayat ini mengandungi pernyataan tentang keesaan Allah Ta’ala sebagai Al-Ilah iaitu ayat أَلَّا نَعْبُدَ إِلَّا اللَّهَ yang bermaksud ‘kita semua tidak menyembah melainkan Allah,’ Keesaan Allah sebagai Rabb pula ada pada ayat وَلَا يَتَّخِذَ بَعْضُنَا بَعْضًا أَرْبَابًا مِنْ دُونِ اللَّهِ yang bermaksud ‘dan jangan pula sebahagian dari kita mengambil akan sebahagian yang lain untuk dijadikan orang-orang yang dipuja dan didewa-dewakan selain dari Allah.’ Inilah keutamaan kandungan dakwah semua para nabi dan rasul. Firman-firman Allah:
“Dan Kami tidak mengutus seorang rasul pun sebelum kamu melainkan Kami wahyukan kepadanya: “Bahawasanya tidak ada Tuhan (yang hak) melainkan Aku, maka sembahlah olehmu sekalian akan Aku.”
Al-Anbiya’ 21:25
“Dan sungguhnya Kami telah mengutus rasul pada tiap-tiap umat (untuk menyerukan): ‘Sembahlah Allah (sahaja), dan jauhilah taghut itu…………….'”
An-Nahl 16:25
Menjadikan rahib dan orang alim mereka sebagai tuhan, dengan mentaati apa yang mereka perintahkan walaupun menyalahi perintah Allah Swt adalah termasuk perbuatan mempersekutukan Allah Ta’ala. Ini terjadi contohnya ketika para rahib dan orang-orang alim di kalangan mereka mengharamkan sesuatu yang halal dan menghalalkan sesuatu yang haram, mereka mengikutinya. Allah Swt memerintahkan agar mereka taat sepenuhnya kepada-Nya dan Rasul-Nya dan tidak taat kepada makhluk yang bermaksiat kepada-Nya.
Sekiranya mereka berpaling daripada ajakan kepada mentauhidkan Allah Swt dan tetap menyembah selain-Nya maka Allah Ta’ala mengajar Rasulullah saw mengatakan sesungguhnya orang-orang beriman itu adalah benar-benar tunduk taat kepada Allah Ta’ala dan memurnikan agama-Nya, tidak menyembah selain-Nya dan menuruti apa sahaja arahan-Nya sama ada perkara yang dihalalkan atau yang diharamkan.
Ayat 65
يَـٰٓأَهْلَ ٱلْكِتَـٰبِ لِمَ تُحَآجُّونَ فِىٓ إِبْرَٰهِيمَ وَمَآ أُنزِلَتِ ٱلتَّوْرَىٰةُ وَٱلْإِنجِيلُ إِلَّا مِنۢ بَعْدِهِۦٓ ۚ أَفَلَا تَعْقِلُونَ
Wahai Ahli Kitab! Mengapa kamu berani memperdebatkan tentang (agama) Nabi Ibrahim, padahal Taurat dan Injil tidak diturunkan melainkan kemudian daripada (zaman) Ibrahim; patutkah (kamu berdegil sehingga) kamu tidak mahu menggunakan akal?
Ayat ini turun ketika orang-orang Yahudi mengatakan bahawa Nabi Ibrahim as beragama Yahudi, sedangkan orang-orang Nasrani mengatakan bahawa Nabi Ibrahim as beragama Nasrani. Maka Allah Swt membantah mereka dengan tiga alasan:
- Perdebatan mereka tentang Nabi Ibrahim as merupakan perdebatan yang tidak memiliki ilmu tentangnya.
- Nabi Ibrahim as telah diutuskan pada zaman sebelum Allah swt menurunkan Taurat dan Injil. Oleh itu, tidak mungkin Baginda berada bersama-sama mereka.
- Allah Ta’ala menyucikan Baginda daripada orang-orang Yahudi, Nasrani dan orang-orang musyrik, serta menjadikan Baginda sebagai seorang yang hanif (bertauhid) lagi muslim (patuh dan menyerah diri). Di samping itu, agama Yahudi dan Nasrani muncul setelah zaman Baginda telah lama berlalu.
Ayat 66
هَـٰٓأَنتُمْ هَـٰٓؤُلَآءِ حَـٰجَجْتُمْ فِيمَا لَكُم بِهِۦ عِلْمٌ فَلِمَ تُحَآجُّونَ فِيمَا لَيْسَ لَكُم بِهِۦ عِلْمٌ ۚ وَٱللَّهُ يَعْلَمُ وَأَنتُمْ لَا تَعْلَمُونَ
Ingatlah! Kamu ini orang-orang (bodoh), kamu telah memajukan bantahan tentang perkara yang kamu ada pengetahuan mengenainya (yang diterangkan perihalnya dalam Kitab Taurat), maka mengapa kamu membuat bantahan tentang perkara yang tidak ada pada kamu sedikit pengetahuan pun bersabit dengannya? Dan (ingatlah), Allah mengetahui (hakikat yang sebenarnya) sedang kamu tidak mengetahuinya.
Allah Swt mencela sikap orang-orang yang saling berbantah-bantahan. Mereka boleh berbantah-bantahan tentang agama dan kitab mereka berdasarkan ilmu pengetahuan yang mereka miliki tetapi mengapa mereka berbantah-bantahan tentang sesuatu yang mereka tidak ada ilmu tentangnya. Sememangnya mereka tidak berhak membicarakan sesuatu yang tidak mereka ketahui.
Ayat ini juga merupakan perintah kepada mereka untuk mengembalikan apa yang mereka tidak mempunyai pengetahuan tentangnya kepada Zat Yang Maha Mengetahui hal-hal yang ghaib dan yang jelas kelihatan, Zat Yang Mengetahui segala sesuatu dengan sebenarnya.
Ayat 67
مَا كَانَ إِبْرَٰهِيمُ يَهُودِيًّا وَلَا نَصْرَانِيًّا وَلَـٰكِن كَانَ حَنِيفًا مُّسْلِمًا وَمَا كَانَ مِنَ ٱلْمُشْرِكِينَ
Bukanlah Nabi Ibrahim itu seorang pemeluk agama Yahudi, dan bukanlah dia seorang pemeluk agama Kristian, tetapi dia seorang yang tetap di atas dasar Tauhid sebagai seorang Muslim (yang taat dan berserah bulat-bulat kepada Allah), dan dia pula bukanlah dari orang-orang musyrik.
Allah Swt menyatakan dengan tegas bahawa Nabi Ibrahim as bukanlah seorang Yahudi atau Nasrani. Baginda adalah seorang yang hanif iaitu lurus dan tunduk patuh pada perintah-Nya serta menjauhi larangan-Nya. Baginda adalah orang yang benar manakala Yahudi dan Nasrani adalah pendusta.
Lurus bererti jauh daripada syirik (mempersekutukan Allah Swt) dan jauh daripada kesesatan.
Ayat 68
إِنَّ أَوْلَى ٱلنَّاسِ بِإِبْرَٰهِيمَ لَلَّذِينَ ٱتَّبَعُوهُ وَهَـٰذَا ٱلنَّبِىُّ وَٱلَّذِينَ ءَامَنُوا۟ ۗ وَٱللَّهُ وَلِىُّ ٱلْمُؤْمِنِينَ
Sesungguhnya orang-orang yang hampir sekali kepada Nabi Ibrahim (dan berhak mewarisi agamanya) ialah orang-orang yang mengikutinya dan juga Nabi (Muhammad) ini serta orang-orang yang beriman (umatnya – umat Islam). Dan (ingatlah), Allah ialah Pelindung dan Penolong sekalian orang-orang yang beriman.
Sesungguhnya orang yang paling berhak disebut sebagai pengikut Nabi Ibrahim as adalah orang-orang yang beriman kepada Allah Ta’ala, memurnikan ketaatan kepada-Nya, beriman kepada Baginda as dan Rasulullah saw.
Kebanyakan syariat Nabi Muhammad saw sama dengan syariat Nabi Ibrahim as. Oleh itu, Nabi Muhammad saw dan pengikutnya yang beriman inilah yang lebih layak mengatakan bahawa mereka di atas agama Nabi Ibrahim as. Orang-orang yang membelakangkan agama seperti orang-orang Yahudi, Nasrani dan orang-orang musyrik ini bukanlah di atas agama Nabi Ibrahim as dan Baginda berlepas diri daripada mereka. Allah Swt adalah pelindung dan penolong bagi orang-orang mukmin. Dia yang menguatkan dan memenangkan mereka.
Daripada ayat 65-68 dapat diambil beberapa kesimpulan, antaranya:
- Larangan berdebat dalam perkara yang kita tidak memiliki ilmu tentangnya.
- Anjuran untuk mengetahui sejarah kerana dengan mengetahui sejarah dapatlah menggunakan pengetahuan tersebut untuk membantah perkataan-perkataan yang batil dan dakwaan yang menyalahi sejarah.
Ayat 69
وَدَّت طَّآئِفَةٌ مِّنْ أَهْلِ ٱلْكِتَـٰبِ لَوْ يُضِلُّونَكُمْ وَمَا يُضِلُّونَ إِلَّآ أَنفُسَهُمْ وَمَا يَشْعُرُونَ
Segolongan dari Ahli Kitab suka dan berangan-angan kiranya mereka dapat menyesatkan kamu; padahal mereka tidak akan menyesatkan melainkan dirinya sendiri, dan mereka pula tidak menyedari (akibat yang buruk itu).
Para rahib dan pemimpin ahli kitab sangat ingin menyebarkan kesesatan di kalangan kaum muslimin dengan pelbagai cara agar orang-orang Islam keluar daripada agama Islam dan masuk agama mereka.
Mereka sebenarnya menyesatkan dan merugikan diri sendiri yang menyebabkan mereka terjatuh ke lembah dosa dan kemaksiatan. Namun mereka tidak menyedarinya. Firman Allah:
“Sebahagian besar ahli kitab menginginkan agar mereka dapat mengembalikan kamu kepada kekafiran setelah kamu beriman, kerana dengki yang (timbul) daripada diri mereka sendiri, setelah nyata bagi mereka kebenaran………………”
Al-Baqarah 2:109
Usaha mereka menyesatkan kaum mukmin, tidaklah menimpa selain kepada diri mereka sendiri, menjadikan mereka semakin sesat dan bertambah azabnya. Allah Ta’ala berfirman:
“Orang-orang yang kafir dan menghalang (manusia) dari jalan Allah, Kami tambahkan kepada mereka seksaan di atas seksaan disebabkan mereka selalu berbuat kerosakan.”
An-Nahl 16:88
Ayat 70
يَـٰٓأَهْلَ ٱلْكِتَـٰبِ لِمَ تَكْفُرُونَ بِـَٔايَـٰتِ ٱللَّهِ وَأَنتُمْ تَشْهَدُونَ
Wahai Ahli Kitab! Mengapa kamu kufurkan (ingkarkan) ayat-ayat keterangan Allah padahal kamu menyaksikan kebenaran-Nya?
Pertanyaan Allah Swt dengan tujuan mencela ahli kitab mengapa mereka mengingkari keterangan-keterangan yang Dia turunkan dalam kitab Taurat dan Injil tentang kebenaran Rasulullah saw sedangkan mereka yakin akan kebenarannya. Bukankah ia adalah sikap yang buruk dan akibatnya akan menimpa diri mereka sendiri.