Nabi Isa as Diangkatkan ke Langit
Surah 3: Ali ‘Imran (54 – 58)
Allah Ta’ala mengangkat Nabi Isa as ke langit dalam keadaan hidup roh dan jasadnya
Ayat 54
وَمَكَرُوا۟ وَمَكَرَ ٱللَّهُ ۖ وَٱللَّهُ خَيْرُ ٱلْمَـٰكِرِينَ
Dan orang-orang (Yahudi yang kafir) itupun merancangkan tipu daya (hendak membunuh Nabi Isa), dan Allah pula membalas tipu daya (mereka); dan (ingatlah), Allah sebijak-bijak yang membalas (dan menggagalkan segala jenis) tipu daya.
Allah Ta’ala menceritakan tentang percubaan Bani Israil membunuh Nabi Isa as. Mereka memulakannya dengan mengadu perkara yang tidak benar tentang Nabi Isa as kepada raja yang waktu itu adalah seorang kafir. Mereka melaporkan bahawa Baginda berusaha menyesatkan rakyat dan melarang mentaati raja, merosakkan hubungan antara orang tua dengan anak serta tuduhan-tuduhan keji yang lain. Ini adalah antara tipu daya dan rancangan mereka untuk membunuh Baginda. Aduan mereka ini berjaya menimbulkan kemarahan raja.
Raja tersebut telah mengutuskan beberapa pasukannya untuk mencari dan menangkap Nabi Isa as untuk diseksa dan disalib. Namun Allah Ta’ala telah menggagalkan rancangan jahat mereka. Ketika mereka telah mengepung rumah Nabi Isa as dan menyangka akan berjaya menangkapnya, Dia telah mengangkat Nabi Isa as ke langit dan menjadikan rupa salah seorang antara orang-orang yang bersama-sama Nabi Isa as mirip dengan Baginda. Orang-orang Bani Israil meyakini bahawa orang itu adalah Nabi Isa as. Mereka pun menangkap, menyalib dan menyeksanya. Begitulah Allah Swt menggagalkan tipu daya dan rancangan buruk orang-orang yang ingkar terhadap agamaNya. Firman-Nya:
“Sesungguhnya orang-orang munafik itu menipu Allah, dan Allah akan membalas tipuan mereka…………..”
An-Nisa’ 4:142
Dalam ayat ini, terdapat penetapan sifat Al-Makr (berbuat tipu daya atau membalas tipu daya) bagi Allah Ta’ala adalah sesuai dengan keagungan dan kesempurnaan-Nya. Ini kerana perbuatan-Nya merupakan tipu daya (makar) yang berdasarkan kebenaran dan untuk membalas tipu daya orang-orang yang membuat perancangan jahat. Sesungguhnya Allah Swt adalah sebaik-baik pembuat rencana dan paling berkuasa untuk merealisasikannya.
Ayat 55
إِذْ قَالَ ٱللَّهُ يَـٰعِيسَىٰٓ إِنِّى مُتَوَفِّيكَ وَرَافِعُكَ إِلَىَّ وَمُطَهِّرُكَ مِنَ ٱلَّذِينَ كَفَرُوا۟ وَجَاعِلُ ٱلَّذِينَ ٱتَّبَعُوكَ فَوْقَ ٱلَّذِينَ كَفَرُوٓا۟ إِلَىٰ يَوْمِ ٱلْقِيَـٰمَةِ ۖ ثُمَّ إِلَىَّ مَرْجِعُكُمْ فَأَحْكُمُ بَيْنَكُمْ فِيمَا كُنتُمْ فِيهِ تَخْتَلِفُونَ
(Ingatlah) ketika Allah berfirman: “Wahai Isa! Sesungguhnya Aku akan mengambilmu dengan sempurna, dan akan mengangkatmu ke sisi-Ku, dan akan membersihkanmu dari orang-orang kafir, dan juga akan menjadikan orang-orang yang mengikutmu mengatasi orang-orang kafir (yang tidak beriman kepadamu), hingga ke hari kiamat. Kemudian kepada Aku-lah tempat kembalinya kamu, lalu Aku menghukum (memberi keputusan) tentang apa yang kamu perselisihkan”.
Kebanyakan ulama mentafsirkan ayat ini dengan menyatakan bahawa Allah Ta’ala mengangkat Nabi Isa as ke langit dalam keadaan hidup roh dan jasadnya. Pada akhir zaman nanti, Baginda akan diturunkan kembali ke dunia oleh Allah Swt untuk menegakkan syariat-Nya. Kemudian Dia akan mematikannya. Pentafsiran ulama ini bersesuaian dengan beberapa hadis sahih, antaranya Rasulullah saw bersabda:
“Sungguh demi Allah, putera Maryam akan turun ke bumi menjadi seorang penguasa yang adil, dia akan menghancurkan salib, membunuh babi, menghapuskan jizyah (tidak menerima jizyah daripada orang-orang kafir). Ketika itu unta-unta muda dibiarkan begitu sahaja, tidak ada seorang pun yang menginginkannya, perasaan marah, saling benci, saling berdendam dan saling hasut hilang. Orang-orang diajak kepada harta, namun tidak ada seorang pun yang bersedia menerimanya.”
(HR. Muslim)
Imam Bukhari dan Muslim meriwayatkan hadis bahawa Nabi Isa as nanti akan turun ke bumi menjelang hari kiamat. Baginda akan berhukum menggunakan syariat Nabi Muhammad saw, membunuh Dajjal, mematahkan salib dan menghapuskan jizyah (cukai).
Ayat 56
فَأَمَّا ٱلَّذِينَ كَفَرُوا۟ فَأُعَذِّبُهُمْ عَذَابًا شَدِيدًا فِى ٱلدُّنْيَا وَٱلْـَٔاخِرَةِ وَمَا لَهُم مِّن نَّـٰصِرِينَ
Adapun orang-orang kafir, maka Aku (Allah) akan menyeksa mereka dengan azab yang amat berat di dunia dan di akhirat, dan mereka pula tidak akan beroleh sesiapa pun yang dapat menolong.
Allah Ta’ala akan menyeksa orang-orang Yahudi yang mendustakan Nabi Isa as berupa pembunuhan beramai-ramai dan juga penawanan ke atas mereka. Di samping itu mereka juga direndahkan dan dihinakan oleh pelbagai bangsa selagi mereka berada di dunia.
Manakala di akhirat kelak mereka akan menderita kerana diseksa dalam api neraka yang tiada siapa pun dapat menolong meringankan seksaan yang mereka terima.
Ayat 57
وَأَمَّا ٱلَّذِينَ ءَامَنُوا۟ وَعَمِلُوا۟ ٱلصَّـٰلِحَـٰتِ فَيُوَفِّيهِمْ أُجُورَهُمْ ۗ وَٱللَّهُ لَا يُحِبُّ ٱلظَّـٰلِمِينَ
Adapun orang-orang yang beriman dan mengerjakan amal-amal soleh, maka Allah akan menyempurnakan pahala mereka; dan (ingatlah), Allah tidak suka kepada orang-orang yang zalim.
Amal soleh yang dimaksudkan dalam ayat ini ialah yang berkaitan dengan hati, lisan ataupun anggota badan yang diajarkan oleh para Rasul. Mereka melakukannya dengan niat mendapatkan keredhaan Allah swt.
Ayat ini menunjukkan bahawa orang-orang yang beriman akan mendapat pahala terhadap amal mereka di dunia, iaitu dimuliakan, ditolong dan mendapat kemenangan serta kehidupan yang bahagia. Pahala secara sempurna akan diberikan pada hari kiamat. Mereka akan mendapat Syurga sebagai balasan terhadap apa yang mereka telah lakukan.
Ayat 58
ذَٰلِكَ نَتْلُوهُ عَلَيْكَ مِنَ ٱلْـَٔايَـٰتِ وَٱلذِّكْرِ ٱلْحَكِيمِ
Demikianlah (perihal Nabi Isa), yang Kami membacakannya kepadamu (wahai Muhammad, adalah dia) sebahagian dari hujah-hujah keterangan (yang membuktikan kebenarannya), dan dari Al-Quran yang penuh dengan hikmat-hikmat (pengetahuan yang tepat, lagi sentiasa terpelihara).
Allah Swt menyatakan bahawa apa yang diceritakan kepada Rasulullah saw tentang Nabi Isa as dari saat kelahirannya sehingga diangkat ke langit, semuanya merupakan wahyu daripada-Nya yang diturunkan kepada Rasulullah saw dari Lauh Mahfuz. Ini juga merupakan bukti yang jelas dan kuat tentang kenabian Rasulullah saw. Oleh itu, tiada pertentangan tentang Nabi Isa as dan tiada pula keraguan tentangnya. Orang-orang beriman mendapat petunjuk kepada kebenaran dan pengetahuan tentang rahsia syariat dan inti ajaran agama. Firman Allah:
“Itulah Isa putera Maryam, yang mengatakan perkataan yang benar, yang mereka berbantah-bantahan tentang kebenarannya. Tidak layak bagi Allah mempunyai anak, Maha Suci Dia. Apabila Dia telah menetapkan sesuatu, maka Dia hanya berkata kepadanya: “Jadilah”, maka jadilah dia.”
Maryam 19:34-35