Penolong-penolong Nabi Isa as
Surah 3: Ali ‘Imran (52 – 53)
Al-Hawariyyun (para sahabat atau pengikut setia atau para penolong) mengikuti dan mentaati rasul-Nya iaitu Nabi Isa as
Ayat 52
فَلَمَّآ أَحَسَّ عِيسَىٰ مِنْهُمُ ٱلْكُفْرَ قَالَ مَنْ أَنصَارِىٓ إِلَى ٱللَّهِ ۖ قَالَ ٱلْحَوَارِيُّونَ نَحْنُ أَنصَارُ ٱللَّهِ ءَامَنَّا بِٱللَّهِ وَٱشْهَدْ بِأَنَّا مُسْلِمُونَ
Maka ketika Nabi Isa merasa (serta mengetahui dengan yakin) akan kekufuran dari mereka (kaum Yahudi), berkatalah dia:” Siapakah penolong-penolongku (dalam perjalananku) kepada Allah (dengan menegakkan agama-Nya)?”. Orang-orang “Hawariyyuun” (Penyokong-penyokong Nabi Isa) berkata: “Kamilah penolong-penolong (utusan) Allah. Kami telah beriman kepada Allah, dan saksikanlah (wahai Nabi Allah) sesungguhnya kami ialah orang-orang Islam (yang berserah bulat-bulat kepada Allah).
Walaupun kebanyakan Bani Israil mengingkari Nabi Isa as dan tetap bernekad membunuhnya, terdapat sebilangan kecil yang mempercayai dan menjadi penyokongnya untuk mengajak beriman kepada Allah Swt. Rasulullah saw bersabda:
“Setiap nabi mempunyai penolong (hawariy), sedangkan penolongku adalah Az-Zubair.”
(HR. Al-Bukhari dan Muslim)
Ayat 53
رَبَّنَآ ءَامَنَّا بِمَآ أَنزَلْتَ وَٱتَّبَعْنَا ٱلرَّسُولَ فَٱكْتُبْنَا مَعَ ٱلشَّـٰهِدِينَ
“Wahai Tuhan kami! Kami telah beriman kepada apa yang telah Engkau turunkan, dan kami mengikut Rasul-Mu; oleh itu suratkanlah kami beserta orang-orang yang menjadi saksi (yang mengakui keesaan-Mu dan kebenaran Rasul-Mu)”.
Allah Swt menyatakan bahawa Al-Hawariyyun (para sahabat atau pengikut setia atau para penolong Nabi Isa as) mengikuti dan mentaati rasul-Nya iaitu Nabi Isa as. Ini membuktikan kebenaran keimanan mereka kerana keimanan memerlukan seseorang itu mengamalkan apa yang diperintahkan.
Oleh itu, mereka memohon agar Allah Swt memasukkan mereka ke dalam golongan orang-orang yang menjadi saksi (yang bersaksi) bahawa Dia adalah satu-satunya Tuhan yang berhak disembah dan mereka juga bersaksi terhadap kebenaran para rasul-Nya.