Keutamaan Nabi Isa as dan Mukjizatnya
Surah 3: Ali ‘Imran (48 – 51)
Nabi Isa as dapat membentuk seekor burung daripada tanah kemudian meniupnya lalu burung itu terbang
Ayat 48
وَيُعَلِّمُهُ ٱلْكِتَـٰبَ وَٱلْحِكْمَةَ وَٱلتَّوْرَىٰةَ وَٱلْإِنجِيلَ
Dan Allah akan mengajarnya ilmu menulis, dan hukum-hukum aturan agama, dan juga kandungan kitab-kitab Taurat dan Injil.
Allah Swt memberitahu Maryam bahawa Dia akan mengajar kepada puteranya (Nabi Isa as) Al-Kitab. Ada pendapat mengatakan yang dimaksudkan dengan Al-Kitab ialah ilmu tulis menulis. Baginda juga akan diajarkan Hikmah yang bermaksud hukum-hukum agama seperti yang telah dibahaskan dalam surah Al-Baqarah. Begitu juga akan diajarkan kepadanya kandungan kitab-kitab Taurat dan Injil.
Ayat 49
وَرَسُولًا إِلَىٰ بَنِىٓ إِسْرَٰٓءِيلَ أَنِّى قَدْ جِئْتُكُم بِـَٔايَةٍ مِّن رَّبِّكُمْ ۖ أَنِّىٓ أَخْلُقُ لَكُم مِّنَ ٱلطِّينِ كَهَيْـَٔةِ ٱلطَّيْرِ فَأَنفُخُ فِيهِ فَيَكُونُ طَيْرًۢا بِإِذْنِ ٱللَّهِ ۖ وَأُبْرِئُ ٱلْأَكْمَهَ وَٱلْأَبْرَصَ وَأُحْىِ ٱلْمَوْتَىٰ بِإِذْنِ ٱللَّهِ ۖ وَأُنَبِّئُكُم بِمَا تَأْكُلُونَ وَمَا تَدَّخِرُونَ فِى بُيُوتِكُمْ ۚ إِنَّ فِى ذَٰلِكَ لَـَٔايَةً لَّكُمْ إِن كُنتُم مُّؤْمِنِينَ
Dan (akan melantiknya) menjadi seorang Rasul kepada Bani Israil, (dengan menegaskan kepada mereka): “Sesungguhnya aku telah datang kepada kamu, dengan membawa satu tanda (mukjizat) dari tuhan kamu, iaitu aku boleh membuat untuk kamu dari tanah liat seperti bentuk burung, kemudian aku tiup padanya lalu menjadilah ia seekor burung (yang hidup) dengan izin Allah; dan juga aku boleh menyembuhkan orang yang buta dan orang yang sopak, dan aku boleh menghidupkan kembali orang-orang yang mati dengan izin Allah; dan juga aku boleh memberitahu kepada kamu tentang apa yang kamu makan dan apa yang kamu simpan di rumah kamu. Sesungguhnya perkara-perkara yang demikian itu, mengandungi satu tanda (mukjizat) bagi kamu (yang membuktikan kebenaran bahawa aku seorang Rasul yang diutus oleh Allah kepada kamu), jika kamu orang-orang yang (mahu) beriman.
Allah Swt menjelaskan bahawa Dia menjadikan Isa bin Maryam sebagai Rasul-Nya kepada Bani Israil dengan membawa beberapa mukjizat:
- Membentuk seekor burung daripada tanah, kemudian meniupnya lalu burung itu terbang dan disaksikan oleh ramai orang.
- Menyembuhkan orang yang buta sejak lahir.
- Menyembuhkan orang yang berpenyakit sopak.
- Menghidupkan orang yang sudah mati.
- Memberitahu apa yang dimakan oleh kaumnya dan apa yang disimpan oleh kaumnya di rumah.
Semua mukjizat tersebut membuktikan kebenaran kerasulan Nabi Isa as bagi orang beriman.
Ayat 50
وَمُصَدِّقًا لِّمَا بَيْنَ يَدَىَّ مِنَ ٱلتَّوْرَىٰةِ وَلِأُحِلَّ لَكُم بَعْضَ ٱلَّذِى حُرِّمَ عَلَيْكُمْ ۚ وَجِئْتُكُم بِـَٔايَةٍ مِّن رَّبِّكُمْ فَٱتَّقُوا۟ ٱللَّهَ وَأَطِيعُونِ
“Dan juga (aku datang kepada kamu ialah untuk) mengesahkan kebenaran Kitab Taurat yang diturunkan dahulu daripadaku, dan untuk menghalalkan bagi kamu sebahagian (dari perkara-perkara) yang telah diharamkan kepada kamu; dan juga aku datang kepada kamu dengan membawa satu mukjizat dari Tuhan kamu. Oleh itu bertakwalah kamu kepada Allah dan taatlah kepadaku.
Nabi Isa as diutuskan kepada Bani Israil membawa hujjah dan bukti yang membenarkan kitab Taurat yang dibawa oleh Nabi Musa as. Seterusnya Baginda menyuruh Bani Israil agar bertakwa kepada Allah Swt dan mematuhi ajaran yang dibawa oleh Baginda.
Ayat 51
إِنَّ ٱللَّهَ رَبِّى وَرَبُّكُمْ فَٱعْبُدُوهُ ۗ هَـٰذَا صِرَٰطٌ مُّسْتَقِيمٌ
“Sesungguhnya Allah ialah Tuhanku dan Tuhan kamu, oleh itu, beribadatlah kamu kepada-Nya. Inilah jalan yang lurus”.
Inilah dakwah Nabi Isa as, iaitu sama seperti dakwah para nabi dan rasul yang lain iaitu mengajak manusia mentauhidkan Allah Ta’ala. Namun kaumnya mendustakan Baginda dan tidak mahu beriman. Dalam ayat ini terdapat bantahan terhadap orang-orang Nasrani yang meyakini triniti (kepercayaan tuhan 3 dalam 1). Maha Suci Allah, dan bahawa yang demikian bukanlah ajaran Nabi Isa as.
Beribadah kepada Allah Swt, bertakwa kepada-Nya dan mentaati Rasul-Nya, bermaksud berada di atas jalan yang menghubungkan seseorang kepada Allah Ta’ala dan kepada Syurga-Nya, sedangkan jalan selain ini akan menghubungkan seseorang ke Neraka.