Kisah Nabi Zakaria as Mendapat Anak (Nabi Yahya as) pada Usia yang Lanjut
Surah 3: Ali ‘Imran (38 – 41)
Malaikat Jibril menyampaikan khabar gembira kepada Nabi Zakaria as bahawa isterinya akan melahirkan seorang anak lelaki yang diberi nama Yahya
Ayat 38
هُنَالِكَ دَعَا زَكَرِيَّا رَبَّهُۥ ۖ قَالَ رَبِّ هَبْ لِى مِن لَّدُنكَ ذُرِّيَّةً طَيِّبَةً ۖ إِنَّكَ سَمِيعُ ٱلدُّعَآءِ
Ketika itu Nabi Zakaria berdoa kepada Tuhannya, katanya:” Wahai Tuhanku! Kurniakanlah kepadaku dari sisi-Mu zuriat keturunan yang baik; sesungguhnya Engkau sentiasa Mendengar (menerima) doa permohonan”.
Ketika Nabi Zakaria as memperhatikan bahawa Allah Ta’ala memberikan rezeki kepada Maryam as berupa buah-buahan musim dingin pada musim panas dan buah-buahan musim panas pada musim dingin, maka Baginda pun amat teringin mendapat seorang anak meskipun Baginda telah lanjut usia, tulangnya sudah mulai rapuh, rambutnya telah memutih dan isterinya juga sudah tua lagi mandul. Namun demikian Baginda tetap memohon kepada Allah Ta’ala dalam keadaan merendah diri dengan berdoa seperti dalam ayat ini.
Ayat 39
فَنَادَتْهُ ٱلْمَلَـٰٓئِكَةُ وَهُوَ قَآئِمٌ يُصَلِّى فِى ٱلْمِحْرَابِ أَنَّ ٱللَّهَ يُبَشِّرُكَ بِيَحْيَىٰ مُصَدِّقًۢا بِكَلِمَةٍ مِّنَ ٱللَّهِ وَسَيِّدًا وَحَصُورًا وَنَبِيًّا مِّنَ ٱلصَّـٰلِحِينَ
Lalu dia diseru oleh malaikat sedang dia berdiri sembahyang di Mihrab, (katanya): “Bahawasanya Allah memberi khabar yang mengembirakanmu, dengan (mengurniakanmu seorang anak lelaki bernama) Yahya, yang akan beriman kepada Kalimah dari Allah, dan akan menjadi ketua, dan juga akan menahan diri dari berkahwin, dan akan menjadi seorang Nabi dari orang-orang yang soleh”.
Ketika Nabi Zakaria as sedang berdiri menunaikan solatnya di mihrab, tempat Baginda bermunajat kepada Allah Ta’ala, Baginda mendengar seruan malaikat. Malaikat itu menyampaikan khabar gembira kepadanya bahawa isterinya akan melahirkan seorang anak lelaki yang diberi nama Yahya. Firman Allah:
“Wahai Zakaria, sesungguhnya Kami memberi khabar gembira kepadamu akan (beroleh) seorang anak yang namanya Yahya, yang sebelumnya Kami belum pernah menciptakan orang yang serupa dengannya.”
Maryam 19:7
Dalam ayat ini, Allah Ta’ala menyatakan beberapa sifat yang ada pada Nabi Yahya as:
- Membenarkan kalimat yang datang daripada-Nya iaitu membenarkan Nabi Isa as, putera Maryam.
- Akan menjadi pemimpin dan ikutan kepada kaumnya. Baginda mempunyai kedudukan atau martabat yang tinggi.
- Sentiasa menjaga diri daripada melakukan dosa dan tidak menurut nafsu dan syahwat yang memudaratkan.
- Akan menjadi seorang nabi daripada keturunan orang-orang yang soleh yang telah mencapai puncak kesolehannya.
Ayat 40
قَالَ رَبِّ أَنَّىٰ يَكُونُ لِى غُلَـٰمٌ وَقَدْ بَلَغَنِىَ ٱلْكِبَرُ وَٱمْرَأَتِى عَاقِرٌ ۖ قَالَ كَذَٰلِكَ ٱللَّهُ يَفْعَلُ مَا يَشَآءُ
Nabi Zakaria berkata: “Wahai Tuhanku! Bagaimanakah aku akan beroleh seorang anak, padahal sebenarnya aku telah tua dan isteriku pula mandul?”, Allah berfirman: “Demikianlah keadaannya, Allah melakukan apa yang dikehendaki-Nya”.
Ketika menerima berita gembira tersebut, Nabi Zakaria as berasa hairan memikirkan bagaimana Baginda yang sudah lanjut usia dan isterinya pula seorang yang mandul dapat melahirkan anak.
Lalu Allah Swt mengatakan bahawa Dia boleh berbuat apa sahaja yang Dia kehendaki sama ada melalui sebab perantara atau pun tidak. Demikianlah urusan Allah Yang Agung, tidak ada sesuatupun yang melemahkan-Nya dan tidak ada suatu urusan yang berat bagi-Nya.
Ayat 41
قَالَ رَبِّ ٱجْعَل لِّىٓ ءَايَةً ۖ قَالَ ءَايَتُكَ أَلَّا تُكَلِّمَ ٱلنَّاسَ ثَلَـٰثَةَ أَيَّامٍ إِلَّا رَمْزًا ۗ وَٱذْكُر رَّبَّكَ كَثِيرًا وَسَبِّحْ بِٱلْعَشِىِّ وَٱلْإِبْكَـٰرِ
Nabi Zakaria berkata lagi: “Wahai Tuhanku! Jadikanlah bagiku satu tanda (yang menunjukkan isteriku mengandung)”. Allah berfirman: “Tandamu itu ialah engkau tidak akan dapat berkata-kata dengan orang ramai selama tiga hari (tiga malam) melainkan dengan isyarat sahaja; dan ingatlah kepada Tuhanmu (dengan berzikir) banyak-banyak, dan bertasbihlah memuji Allah (dengan mengerjakan sembahyang), pada waktu malam dan pada waktu pagi”.
Nabi Zakaria as meminta kepada Allah Swt agar ditunjukkan suatu petanda yang menunjukkan isterinya sudah hamil. Lalu Allah Ta’ala menjadikan petanda tersebut dalam bentuk dirinya tidak mampu berbicara kepada orang kecuali dengan bahasa isyarat menggunakan tangan atau kepala atau yang lainnya selama tiga hari berturut-turut walaupun Baginda berada dalam keadaan sihat. Allah Ta’ala juga menyuruh Nabi Zakaria as memperbanyakkan zikir, takbir dan tasbih pada waktu pagi dan petang.