Surah 3: Ali ‘Imran (35 – 37)

Kisah Keluarga ‘Imran dan Kelahiran Maryam

Surah 3: Ali ‘Imran (35 – 37)


Kisah Keluarga 'Imran dan Kelahiran Maryam

Mihrab Maryam di Masjid Marwan, salah satu masjid di Aqsa, Palestin

Ayat 35

إِذْ قَالَتِ ٱمْرَأَتُ عِمْرَٰنَ رَبِّ إِنِّى نَذَرْتُ لَكَ مَا فِى بَطْنِى مُحَرَّرًا فَتَقَبَّلْ مِنِّىٓ ۖ إِنَّكَ أَنتَ ٱلسَّمِيعُ ٱلْعَلِيمُ

(Ingatlah) ketika isteri Imran berkata:” Tuhanku! Sesungguhnya aku nazarkan kepada-Mu anak yang ada dalam kandunganku sebagai seorang yang bebas (dari segala urusan dunia untuk berkhidmat kepada-Mu semata-mata), maka terimalah nazarku; sesungguhnya Engkaulah Yang Maha Mendengar, lagi Maha Mengetahui.”

Allah Swt menerangkan kisah isteri ‘Imran yang bernama Hannah binti Faqudz. ‘Imran adalah seorang yang disegani masyarakatnya kerana kesolehannya. Muhammad bin Ishak mengatakan, isterinya adalah seorang wanita yang mandul dan tidak mempunyai anak. Ketika dia melihat burung di halaman rumahnya sedang memberikan makan kepada anak-anaknya, maka dia teringin memiliki seorang anak yang soleh, lalu dia berdoa kepada Allah Ta’ala agar memberikannya seorang anak. 

Doanya dikabulkan dan setelah hamil, dia bernazar agar anak dalam kandungannya itu menjadi anak yang tulus beribadah dan berkhidmat sepenuh masa di Baitul Maqdis. Ketika bernazar, dia masih belum mengetahui apakah anak yang berada di dalam kandungannya itu lelaki ataupun perempuan. 

Ayat 36

فَلَمَّا وَضَعَتْهَا قَالَتْ رَبِّ إِنِّى وَضَعْتُهَآ أُنثَىٰ وَٱللَّهُ أَعْلَمُ بِمَا وَضَعَتْ وَلَيْسَ ٱلذَّكَرُ كَٱلْأُنثَىٰ ۖ وَإِنِّى سَمَّيْتُهَا مَرْيَمَ وَإِنِّىٓ أُعِيذُهَا بِكَ وَذُرِّيَّتَهَا مِنَ ٱلشَّيْطَـٰنِ ٱلرَّجِيمِ

Maka apabila dia melahirkannya, berkatalah dia: “Wahai Tuhanku! Sesungguhnya aku telah melahirkan seorang anak perempuan (sedang yang aku harap-harapkan ialah anak lelaki), dan Allah memang mengetahui akan apa yang dilahirkannya itu dan memanglah tidak sama anak lelaki dengan anak perempuan; dan bahawasanya aku telah menamakannya Maryam, dan aku melindungi dia dengan peliharaan-Mu, demikian juga zuriat keturunannya, dari godaan syaitan yang kena rejam (yang dikutuk dan disingkirkan)”.

Ayat ini mengisahkan kelahiran Maryam. Daripada perkataan isteri ‘Imran, diketahui bahawa isteri ‘Imran ingin melahirkan anak lelaki kerana lebih mampu berkhidmat. Namun Allah Swt lebih mengetahui tentang anak yang akan dilahirkan oleh isteri ‘Imran dan kelak Allah Ta’ala akan kurniakan perkara penting kepadanya. 

Menurut isteri ‘Imran, anak perempuan tidak sesuai berkhidmat di Baitul Maqdis, kerana keadaan perempuan yang lemah dibandingkan dengan lelaki apabila berkhidmat, auratnya lebih tertutup, terkena haid dan sebagainya. 

Dalam ayat ini terdapat dalil kelebihan lelaki berbanding wanita. Selain itu terdapat dalil memberi nama saat anak lahir kerana memberikan nama anak telah disyariatkan kepada orang-orang terdahulu. Rasulullah saw bersabda: 

“Puteraku dilahirkan tadi malam dan aku menamainya dengan nama moyangku, Ibrahim.” 

(HR. Al-Bukhari dan Muslim) 

Ibu Maryam juga berdoa memohon kepada Allah Swt agar anaknya, Maryam dan keturunannya diberikan perlindungan daripada syaitan yang terkutuk. Allah Ta’ala mengabulkan doanya. Ini sebagaimana yang diriwayatkan oleh Abu Hurairah ra, dia berkata Rasulullah saw bersabda: 

“Tidak ada seorang bayi pun yang lahir kecuali disentuh oleh syaitan ketika saat lahirnya, sehingga dia menangis kuat kecuali Maryam dan puteranya (Isa as).” Kemudian Abu Hurairah ra membaca surah Ali Imran ayat 36 di atas. 

‎”Dan aku mohon perlindungan untuknya dan anak-anak keturunannya kepada (pemeliharaan) Engkau daripada syaitan yang terkutuk.” 

(HR. Bukhari dan Muslim) 

Ayat 37

فَتَقَبَّلَهَا رَبُّهَا بِقَبُولٍ حَسَنٍ وَأَنۢبَتَهَا نَبَاتًا حَسَنًا وَكَفَّلَهَا زَكَرِيَّا ۖ كُلَّمَا دَخَلَ عَلَيْهَا زَكَرِيَّا ٱلْمِحْرَابَ وَجَدَ عِندَهَا رِزْقًا ۖ قَالَ يَـٰمَرْيَمُ أَنَّىٰ لَكِ هَـٰذَا ۖ قَالَتْ هُوَ مِنْ عِندِ ٱللَّهِ ۖ إِنَّ ٱللَّهَ يَرْزُقُ مَن يَشَآءُ بِغَيْرِ حِسَابٍ

Maka dia (Maryam yang dinazarkan oleh ibunya) diterima oleh Tuhannya dengan penerimaan yang baik, dan dibesarkannya dengan didikan yang baik, serta diserahkannya untuk dipelihara oleh Nabi Zakaria. Tiap-tiap kali Nabi Zakaria masuk untuk menemui Maryam di Mihrab, dia dapati rezeki (buah-buahanan yang luar biasa) di sisinya. Nabi Zakaria bertanya:” Wahai Maryam dari mana engkau dapati (buah-buahan) ini?” Maryam menjawab; “Ialah dari Allah, sesungguhnya Allah memberikan rezeki kepada sesiapa yang dikehendaki-Nya dengan tidak dikira”.

Allah Swt menerima Maryam sebagai nazar disebabkan permohonan ibunya. Allah Ta’ala meredhainya untuk menjadikannya orang yang mengabdikan diri beribadah dan berkhidmat di Baitul Maqdis. Allah Swt memelihara dan mendidik Maryam dengan sebaik-baiknya. Pendidikan yang diberikan oleh Allah Ta’ala meliputi pendidikan rohani dan jasmani dan Allah telah menjadikan Nabi Zakaria as sebagai pengasuh dan pelindungnya. 

Perkara ini termasuk kelembutan Allah Swt. Nabi Zakaria membesarkan Maryam dalam keadaan yang sempurna, beribadah kepada Allah Ta’ala dan mengungguli semua wanita, menyibukkan dirinya dengan beribadah serta menetap di mihrab (tempat solatnya). 

Berlaku peristiwa aneh iaitu setiap kali Nabi Zakaria as masuk menemui Maryam di mihrab, dia mendapati pelbagai jenis makanan yang bukan pada musimnya. Ulama’ berpendapat makanan tersebut adalah buah-buahan. Ini menjadikan Baginda kehairanan dan bertanya kepadanya dari mana segala buah-buahan itu datang. Lalu dijawab oleh Maryam bahawa semuanya itu adalah dari sisi Allah Ta’ala, Zat yang memberi rezeki. 

Sesungguhnya Allah Swt memberi rezeki kepada sesiapa yang Dia kehendaki tanpa batas dan tanpa bersusah payah. Hal ini menjadi pendorong kepada Nabi Zakaria as berdoa kepada-Nya agar dikurniakannya anak.