Peringatan Allah Swt tentang Seksaan-Nya
Surah 3: Ali ‘Imran (30)
Ayat 30
يَوْمَ تَجِدُ كُلُّ نَفْسٍ مَّا عَمِلَتْ مِنْ خَيْرٍ مُّحْضَرًا وَمَا عَمِلَتْ مِن سُوٓءٍ تَوَدُّ لَوْ أَنَّ بَيْنَهَا وَبَيْنَهُۥٓ أَمَدًۢا بَعِيدًا ۗ وَيُحَذِّرُكُمُ ٱللَّهُ نَفْسَهُۥ ۗ وَٱللَّهُ رَءُوفٌۢ بِٱلْعِبَادِ
(Ingatlah) hari (kiamat yang padanya) tiap-tiap seorang akan mendapati apa sahaja kebaikan yang telah dikerjakannya, sedia (dibentangkan kepadanya dalam surat-surat amalnya); dan demikian juga apa sahaja kejahatan yang telah dikerjakannya. (ketika itu tiap-tiap orang yang bersalah) ingin kalau ada jarak yang jauh di antaranya dengan amalnya yang jahat itu. Dan Allah perintahkan supaya kamu beringat-ingat terhadap kekuasaan diri-Nya (menyeksa kamu). Dan (ingatlah juga), Allah amat belas kasihan kepada hamba-hamba-Nya.
Pada hari kiamat kelak, setiap manusia akan ditunjukkan semua amal yang telah dilakukan sama ada baik ataupun buruk. Firman Allah Swt:
“Pada hari itu diberitakan kepada manusia apa yang telah dikerjakannya dan apa yang dilalaikannya.”
Al-Qiyamah 75:13
Sesiapa yang mendapati keburukan pada amalannya maka itu akan menyedihkannya dan berkeinginan untuk berlepas diri serta berharap dapat menjauhkan dirinya daripada perbuatan buruknya.
Allah Swt mengingatkan hamba-hamba-Nya akan seksaan-Nya dan memberi dorongan agar tidak berputus asa daripada rahmat-Nya kerana Dia Maha Pengampun lagi Maha Penyayang. Firman-Nya:
“Katakanlah: “Wahai hamba-hamba-Ku yang melampaui batas terhadap diri mereka sendiri, janganlah kamu berputus asa daripada rahmat Allah. Sesungguhnya Allah mengampuni dosa-dosa semuanya. Sesungguhnya Dia Yang Maha Pengampun lagi Maha Penyayang.'”
Az-Zumar 39:53