Kekuasaan Mutlak adalah Milik Allah Swt
Surah 3: Ali ‘Imran (26 – 27)
Ayat 26
قُلِ ٱللَّهُمَّ مَـٰلِكَ ٱلْمُلْكِ تُؤْتِى ٱلْمُلْكَ مَن تَشَآءُ وَتَنزِعُ ٱلْمُلْكَ مِمَّن تَشَآءُ وَتُعِزُّ مَن تَشَآءُ وَتُذِلُّ مَن تَشَآءُ ۖ بِيَدِكَ ٱلْخَيْرُ ۖ إِنَّكَ عَلَىٰ كُلِّ شَىْءٍ قَدِيرٌ
Katakanlah (wahai Muhammad): “Wahai Tuhan yang mempunyai kuasa pemerintahan! Engkaulah yang memberi kuasa pemerintahan kepada sesiapa yang Engkau kehendaki, dan Engkaulah yang mencabut kuasa pemerintahan dari sesiapa yang Engkau kehendaki. Engkaulah juga yang memuliakan sesiapa yang Engkau kehendaki, dan Engkaulah yang menghina sesiapa yang Engkau kehendaki. Dalam kekuasaan Engkaulah sahaja adanya segala kebaikan. Sesungguhnya Engkau Maha Kuasa atas tiap-tiap sesuatu.
Ibnu ‘Abbas ra dan Anas bin Malik ra mengatakan ketika Rasulullah saw telah berjaya menguasai kota Mekah, Baginda menjanjikan kepada umatnya bahawa kerajaan Rom dan Parsi juga akan berjaya dikuasai. Lalu orang-orang munafik dan orang-orang Yahudi berkata dengan nada mengejek bahawa bagaimana mungkin Baginda boleh menguasai kerajaan Rom dan Parsi kerana kedua-dua kerajaan itu jauh lebih kuat daripada Baginda dan tenteranya. Tidakkah Baginda berasa puas setelah menguasai Mekah dan Madinah sehingga masih ingin menguasai kedua-dua kerajaan tersebut. Lalu Allah menurunkan ayat 26 dan 27 ini.
Ayat ini merupakan peringatan dan bimbingan kepada Rasulullah saw dan umatnya agar sentiasa mensyukuri nikmat-Nya. Allah Swt telah mengalihkan kenabian Bani Israil kepada Baginda daripada keturunan Arab dan menjadi nabi penutup seluruh rasul secara mutlak. Baginda juga adalah rasul yang diutuskan untuk seluruh manusia dan jin. Allah Ta’ala juga telah mengumpulkan pelbagai kebaikan dalam diri Baginda melebihi nabi-nabi dan rasul-rasul terdahulu. Dia memberikan pengetahuan kepada Baginda tentang perkara-perkara ghaib baik yang telah terjadi mahupun yang belum terjadi. Selain itu, Allah Swt menyingkapkan kepada Baginda segala rahsia dan hakikat alam akhirat. Umatnya pula tersebar ke seluruh timur dan barat dan Allah juga memenangkan agama dan syariat yang dibawa oleh Baginda atas semua ajaran lain. Semoga selawat dan salam sentiasa tercurah ke atas Baginda sehingga ke hari Kiamat.
Allah Swt bebas berbuat apa sahaja terhadap makhluk-makhluk-Nya tanpa sesiapa pun dapat menghalang-Nya. Dia dengan hikmah-Nya serta hujjah-Nya memberikan kuasa kepada sesiapa yang Dia kehendaki dan mencabutnya setelah diberikan kepada manusia dengan cara apa sekalipun dan bila-bila masa sahaja. Demikian juga dalam hal pemberian pangkat kenabian. Dia memberikannya kepada sesiapa yang dikehendaki-Nya. Firman-Nya:
“…………Allah lebih mengetahui di mana Dia menempatkan tugas kerasulan……….”
Al-An’am 6:124
Allah Swt juga boleh memuliakan orang yang pada awalnya dipandang hina dan menghina orang yang pada mulanya dipandang mulia, hanya pada-Nya segala kebaikan. Firman-firman-Nya:
“Mereka berkata: “Sesungguhnya jika kita telah kembali ke Madinah, benar-benar orang yang kuat akan mengusir orang-orang yang lemah dari padanya”. Padahal kekuatan itu hanyalah bagi Allah, bagi Rasul-Nya dan bagi orang-orang mukmin, tetapi orang-orang munafik itu tiada mengetahui.”
Al-Munafiqun 63:8
“Perhatikanlah bagaimana Kami lebihkan sebahagian daripada mereka atas sebahagian (yang lain)…………….”
Al-Isra’ 17:21
Ayat 27
تُولِجُ ٱلَّيْلَ فِى ٱلنَّهَارِ وَتُولِجُ ٱلنَّهَارَ فِى ٱلَّيْلِ ۖ وَتُخْرِجُ ٱلْحَىَّ مِنَ ٱلْمَيِّتِ وَتُخْرِجُ ٱلْمَيِّتَ مِنَ ٱلْحَىِّ ۖ وَتَرْزُقُ مَن تَشَآءُ بِغَيْرِ حِسَابٍ
“Engkaulah (wahai Tuhan) yang memasukkan waktu malam ke dalam waktu siang, dan Engkaulah yang memasukkan waktu siang ke dalam waktu malam. Engkaulah juga yang mengeluarkan sesuatu yang hidup dari benda yang mati, dan Engkaulah yang mengeluarkan benda yang mati dari sesuatu yang hidup. Engkau jualah yang memberi rezeki kepada sesiapa yang Engkau kehendaki, dengan tiada hitungan hisabnya”.
Antara kekuasaan Allah Ta’ala dan bukti kesempurnaan kerajaan serta keagungan-Nya ialah Dia memasukkan waktu malam ke dalam waktu siang. Ada kalanya Dia menjadikan waktu siang menjadi lebih panjang, manakala waktu malamnya pendek dan begitulah sebaliknya. Ada beberapa tempat mempunyai beberapa musim dan ada yang waktu siangnya sama panjang dengan waktu malam. Semuanya dalam genggaman kekuasaan-Nya. Firman Allah:
“Dan mereka tidak mengagungkan Allah dengan pengagungan yang semestinya padahal bumi seluruhnya dalam genggaman-Nya pada hari kiamat dan langit digulung dengan tangan kanan-Nya. Maha Suci Tuhan dan Maha Tinggi Dia daripada apa yang mereka persekutukan.”
Az-Zumar 39:67
Allah Swt mengeluarkan yang hidup daripada yang mati seperti manusia daripada air mani dan tumbuh-tumbuhan daripada biji benih. Dia juga boleh mengeluarkan yang mati daripada yang hidup seperti sperma daripada manusia dan telur ayam daripada ayam betina. Ini semua menunjukkan kekuasaan dan kebijaksanaan-Nya.
Allah Swt juga berhak memberikan harta yang banyak kepada sesiapa sahaja yang dikehendaki-Nya dan menahannya daripada sesiapa yang dikehendaki-Nya. Dia memiliki hikmah, kehendak dan juga keadilan.