Surah 3: Ali ‘Imran (199)

Golongan Ahli Kitab yang Beriman

Surah 3: Ali ‘Imran (199)


Ayat 199

وَإِنَّ مِنْ أَهْلِ ٱلْكِتَـٰبِ لَمَن يُؤْمِنُ بِٱللَّهِ وَمَآ أُنزِلَ إِلَيْكُمْ وَمَآ أُنزِلَ إِلَيْهِمْ خَـٰشِعِينَ لِلَّهِ لَا يَشْتَرُونَ بِـَٔايَـٰتِ ٱللَّهِ ثَمَنًا قَلِيلًا ۗ أُو۟لَـٰٓئِكَ لَهُمْ أَجْرُهُمْ عِندَ رَبِّهِمْ ۗ إِنَّ ٱللَّهَ سَرِيعُ ٱلْحِسَابِ

Dan sesungguhnya di antara Ahli Kitab, ada orang yang beriman kepada Allah dan (kepada) apa yang diturunkan kepada kamu (Al-Quran) dan juga (kepada) apa yang diturunkan kepada mereka, sedang mereka khusyuk kepada Allah dengan tidak menukarkan ayat-ayat Allah untuk mengambil keuntungan dunia yang sedikit. Mereka itu beroleh pahalanya di sisi Tuhan mereka. Sesungguhnya Allah Amat segera hitungan hisabNya.

Allah swt menyatakan tentang sebahagian ahli kitab yang mendapat petunjuk daripada Al-Quran dan Rasulullah saw seperti Abdullah bin Salam daripada kaum Yahudi dan Ashamah An-Najasyi daripada kaum Nasrani serta teman-teman mereka yang lain. Dia menjelaskan sifat-sifat istimewa mereka iaitu: 

  • Beriman kepada Allah Ta’ala dengan keimanan yang benar dan sempurna.
  • Beriman kepada Al-Quran yang diturunkan kepada Rasulullah saw.
  • Beriman kepada kitab-kitab yang lain seperti Taurat dan Injil. 
  • Khusyuk, tunduk dan merendahkan diri kepada Allah Ta’ala. 
  • Tidak menukarkan ayat-ayat Allah swt dengan harta dan kesenangan duniawi. Mereka tetap menjaga keaslian dan kesucian wahyu seperti ketika diturunkan tanpa menyembunyikannya sedikit pun atau menghapuskan sebahagian kandungannya. 

Orang-orang yang memiliki sifat-sifat di atas akan mendapat pahala yang sempurna dan Allah swt sangat cepat hisab dan perhitunganNya. Dia mampu menyelesaikan perhitungan terhadap seluruh makhlukNya dalam waktu yang singkat dengan hisab yang sempurna, sangat cermat dan teliti serta tiada sedikit pun kesalahan atau kekeliruan.