Surah 3: Ali ‘Imran (190 – 195)

Dalil-dalil Keesaan Allah dan Sifat serta Doa Ulul Albab

Surah 3: Ali ‘Imran (190 – 195)


Ayat 190

إِنَّ فِى خَلْقِ ٱلسَّمَـٰوَٰتِ وَٱلْأَرْضِ وَٱخْتِلَـٰفِ ٱلَّيْلِ وَٱلنَّهَارِ لَـَٔايَـٰتٍ لِّأُو۟لِى ٱلْأَلْبَـٰبِ

Sesungguhnya pada kejadian langit dan bumi dan pada pertukaran malam dan siang, ada tanda-tanda (kekuasaan, kebijaksanaan, dan keluasan rahmat Allah) bagi orang-orang yang berakal;

Allah swt menyebutkan bahawa  pada penciptaan langit dan bumi terdapat beberapa tanda kekuasaanNya yang agung. Ini dapat disaksikan pada kedua-duanya terdapat bintang-bintang, daratan dan lautan, gunung-ganang, tanah subur dan gersang, tumbuh-tumbuhan, binatang dan pelbagai lagi. Penciptaan langit dan bumi ini pula tanpa ada contoh sebelumnya. Selain itu, ada malam dan siang yang panjang dan pendeknya bagi kedua-dua waktu itu. Gelap dan terangnya serta pergantian antara kedua-duanya itu benar-benar merupakan petunjuk dan bukti keagungan, keesaanNya bagi orang-orang yang berakal. 

Ahli-ahli tafsir hampir keseluruhannya bersepakat menyatakan perkataan ‘Ulul Albab’ iaitu orang-orang yang berakal dalam ayat ini merujuk kepada golongan yang memiliki akal dan kefahaman yang sempurna sehingga mampu membuat penilaian yang tepat. 

Mereka menggunakan akal mereka memikirkan kebesaran Allah swt melalui ciptaan-ciptaanNya dan menemui hakikat kebenaran yang akan menyelamatkan kehidupan mereka di dunia dan di akhirat. Mereka mengetahui banyak perkara secara jelas dan nyata dan mereka bukanlah orang-orang yang “buta” dan “tuli” seperti dalam firmanNya: 

“Dan sesungguhnya Kami jadikan untuk (isi Neraka Jahannam) kebanyakan daripada jin dan manusia, mereka mempunyai hati, tetapi tidak dipergunakannya untuk memahami (ayat-ayat Allah) dan mereka mempunyai mata (tetapi) tidak dipergunakannya untuk melihat (tanda-tanda kekuasaan Allah), dan mereka mempunyai telinga (tetapi) tidak dipergunakannya untuk mendengar (ayat-ayat Allah). Mereka itu seperti binatang ternak, bahkan mereka lebih sesat lagi. Mereka itulah orang-orang yang lalai.” 

Al-A’raf 7:179 

Ayat 191

ٱلَّذِينَ يَذْكُرُونَ ٱللَّهَ قِيَـٰمًا وَقُعُودًا وَعَلَىٰ جُنُوبِهِمْ وَيَتَفَكَّرُونَ فِى خَلْقِ ٱلسَّمَـٰوَٰتِ وَٱلْأَرْضِ رَبَّنَا مَا خَلَقْتَ هَـٰذَا بَـٰطِلًا سُبْحَـٰنَكَ فَقِنَا عَذَابَ ٱلنَّارِ

(Iaitu) orang-orang yang menyebut dan mengingati Allah semasa mereka berdiri dan duduk dan semasa mereka berbaring mengiring, dan mereka pula memikirkan tentang kejadian langit dan bumi (sambil berkata): “Wahai Tuhan kami! Tidaklah Engkau menjadikan benda-benda ini dengan sia-sia, Maha Suci Engkau, maka peliharalah kami dari azab neraka.

Dalam ayat ini hingga ayat 194 berikutnya, Allah swt menyebutkan sifat-sifat Ulul Albab iaitu orang-orang yang berakal. Antaranya, mereka tidak henti-henti berzikir (mengingati Allah), baik dengan hati mahupun dengan lisan mereka. Selain itu, mereka sentiasa memikirkan tentang penciptaan langit dan bumi dengan memahami hikmah yang terdapat pada kedua-duanya yang menunjukkan keagungan Pencipta, kekuasaan, keluasan ilmu, perbuatan dan rahmatNya. 

Apabila memikirkan tentang ciptaan Allah Yang Maha Esa, orang-orang yang berakal ini mengakui bahawa ciptaanNya adalah benar dan adil. Mereka memuji dan mensucikanNya bahawa tiada satupun ciptaanNya yang sia-sia. Mereka juga memohon agar dilindungi daripada segala dosa dan memohon taufik agar didorong melakukan amal soleh yang dapat menghindarkan mereka daripada azab api Neraka yang sangat pedih. 

Ayat 192

رَبَّنَآ إِنَّكَ مَن تُدْخِلِ ٱلنَّارَ فَقَدْ أَخْزَيْتَهُۥ ۖ وَمَا لِلظَّـٰلِمِينَ مِنْ أَنصَارٍ

Wahai Tuhan kami! Sebenarnya sesiapa yang Engkau masukkan ke dalam neraka maka sesungguhnya Engkau telah menghinakannya, dan orang-orang yang zalim tidak akan beroleh seorang penolong pun;

Mereka memohon agar dihindarkan daripada azab api Neraka kerana mereka yakin sesiapa yang dimasukkan ke dalamnya, bermakna Allah swt telah merendahkan dan menghinakannya dengan memperlihatkan kepada seluruh makhluk segala keburukan amalnya. Sekiranya berlaku seperti itu, tiada siapa pun yang dapat menolongnya untuk menghindarkan diri daripada penghinaan tersebut. 

Ayat 193

رَّبَّنَآ إِنَّنَا سَمِعْنَا مُنَادِيًا يُنَادِى لِلْإِيمَـٰنِ أَنْ ءَامِنُوا۟ بِرَبِّكُمْ فَـَٔامَنَّا ۚ رَبَّنَا فَٱغْفِرْ لَنَا ذُنُوبَنَا وَكَفِّرْ عَنَّا سَيِّـَٔاتِنَا وَتَوَفَّنَا مَعَ ٱلْأَبْرَارِ

Wahai Tuhan kami! Sesungguhnya kami telah mendengar seorang Penyeru (Rasul) yang menyeru kepada iman, katanya: ` Berimanlah kamu kepada Tuhan kamu ‘, maka kami pun beriman. Wahai Tuhan kami, ampunkanlah dosa-dosa kami, dan hapuskanlah daripada kami kesalahan-kesalahan kami, dan matikanlah kami bersama orang-orang yang berbakti;

Mereka mengaku bahawa mereka mendengar seruan Rasulullah saw supaya beriman kepada Allah swt dan mengakui keesaanNya serta beramal dengan syariatNya. Lalu mereka menyahut seruan dakwahnya dan mengimani risalah yang dibawanya. Oleh itu, mereka memohon agar Allah swt menutup dan menghapuskan dosa-dosa mereka serta mematikan dan mengumpulkan mereka bersama dengan orang-orang yang soleh. 

Ayat 194

رَبَّنَا وَءَاتِنَا مَا وَعَدتَّنَا عَلَىٰ رُسُلِكَ وَلَا تُخْزِنَا يَوْمَ ٱلْقِيَـٰمَةِ ۗ إِنَّكَ لَا تُخْلِفُ ٱلْمِيعَادَ

Wahai Tuhan kami! Berikanlah kepada kami pahala yang telah Engkau janjikan kepada kami melalui Rasul-rasulMu, dan janganlah Engkau hinakan kami pada hari kiamat; sesungguhnya Engkau tidak memungkiri janji”.

Mereka juga memohon kepada Allah Ta’ala agar memberikan apa yang telah dijanjikanNya kepada mereka melalui lisan para rasulNya iaitu berupa kemenangan, kekuasaan, hidayah dan taufik dalam menjalani kehidupan di dunia dan tidak dihinakan di akhirat kelak dengan azab Neraka. 

Dalam sebuah hadis, dijelaskan bahawa Rasulullah saw membaca sepuluh ayat terakhir daripada Surah Ali ‘Imran ini jika Baginda bangun malam untuk mengerjakan Solat Tahajud. 

Imam Al-Bukhari meriwayatkan daripada Ibnu ‘Abbas ra, dia telah bermalam di rumah Maimunah ra isteri Nabi, juga ibu saudaranya. Rasulullah saw berbincang dengan isterinya beberapa saat. Kemudian Baginda tidur. Apabila tiba sepertiga akhir malam Rasulullah saw bangun dari tidurnya, lalu Baginda mengusap wajahnya dengan tangannya. Kemudian Baginda membaca sepuluh ayat terakhir daripada Surah Ali ‘Imran. Selanjutnya Baginda menuju ke tempat air yang tergantung di dinding dan Baginda berwudhu’ dan menyempurnakannya. Setelah itu Baginda mengerjakan solat. 

Ayat 195

فَٱسْتَجَابَ لَهُمْ رَبُّهُمْ أَنِّى لَآ أُضِيعُ عَمَلَ عَـٰمِلٍ مِّنكُم مِّن ذَكَرٍ أَوْ أُنثَىٰ ۖ بَعْضُكُم مِّنۢ بَعْضٍ ۖ فَٱلَّذِينَ هَاجَرُوا۟ وَأُخْرِجُوا۟ مِن دِيَـٰرِهِمْ وَأُوذُوا۟ فِى سَبِيلِى وَقَـٰتَلُوا۟ وَقُتِلُوا۟ لَأُكَفِّرَنَّ عَنْهُمْ سَيِّـَٔاتِهِمْ وَلَأُدْخِلَنَّهُمْ جَنَّـٰتٍ تَجْرِى مِن تَحْتِهَا ٱلْأَنْهَـٰرُ ثَوَابًا مِّنْ عِندِ ٱللَّهِ ۗ وَٱللَّهُ عِندَهُۥ حُسْنُ ٱلثَّوَابِ

Maka Tuhan mereka perkenankan doa mereka (dengan firmanNya): “Sesungguhnya Aku tidak akan sia-siakan amal orang-orang yang beramal dari kalangan kamu, sama ada lelaki atau perempuan, (kerana) setengah kamu (adalah keturunan) dari setengahnya yang lain; maka orang-orang yang berhijrah (kerana menyelamatkan agamanya), dan yang diusir ke luar dari tempat tinggalnya, dan juga yang disakiti (dengan berbagai-bagai gangguan) kerana menjalankan agamaKu, dan yang berperang (untuk mempertahankan Islam), dan yang terbunuh (gugur Syahid dalam perang Sabil) – sesungguhnya Aku akan hapuskan kesalahan-kesalahan mereka, dan sesungguhnya Aku akan masukkan mereka ke dalam Syurga yang mengalir di bawahnya beberapa sungai, sebagai pahala dari sisi Allah. Dan di sisi Allah jualah pahala yang sebaik-baiknya (bagi mereka yang beramal soleh)”.

Daripada ‘Amr bin Dinar, daripada Salamah, seorang daripada ahli keluarga Ummu Salamah, dia mengatakan, Ummu Salamah pernah berkata: “Ya Rasulullah, kami tidak mendengar Allah menyebut kaum wanita sedikit pun dalam hal hijrah.” Maka Allah swt menurunkan ayat ini. 

Dalam ayat 194, telah disebutkan bahawa orang-orang beriman yang berakal memohon kepada Allah swt agar dihapuskan segala dosa dan tidak dihinakan dengan dimasukkan ke dalam Neraka dan lain-lain lagi. Dalam ayat ini pula, dinyatakan bahawa permohonan mereka itu diperkenankan oleh Rabb mereka. Ini adalah disebabkan mereka benar-benar beriman. FirmanNya: 

“Dan apabila hamba-hambaKu bertanya kepadamu tentang Aku, maka (jawablah) sesungguhnya Aku dekat. Aku mengabulkan permohonan orang yang berdoa apabila dia memohon kepadaKu. Maka hendaklah mereka itu memenuhi (segala perintah)Ku dan beriman kepadaKu, agar mereka selalu berada dalam kebenaran.“ 

Al-Baqarah 2:186 

Allah swt memberitahu bahawa Dia tidak akan mensia-siakan amalan mereka, bahkan Dia akan memberikan balasan kepada mereka dengan sempurna sesuai dengan amal perbuatan masing-masing, baik lelaki mahupun perempuan kerana mereka berasal daripada keturunan yang sama. Antara orang-orang yang akan menerima balasan pahala adalah seperti berikut: 

  • Berhijrah pada permulaan Islam dari Mekah ke Madinah. Mereka meninggalkan kampung halaman yang penuh dengan kesyirikan menuju ke kampung yang penuh keimanan. Mereka rela meninggalkan anak isteri yang dicintai, sanak saudara dan para tetangga demi membela dan menguatkan Islam dan perjuangan Rasulullah saw. 
  • Diusir dan dikeluarkan dari rumah dan kampung halaman. 
  • Ditakut-takutkan dan diberikan tekanan serta disakiti oleh orang-orang Musyrik sehingga mereka meninggalkan tempat tinggal mereka. 
  • Berperang pada jalan Allah swt. 
  • Gugur atau mati ketika berperang pada jalan Allah swt. 

Allah swt akan menghapuskan kesalahan-kesalahan mereka dan memasukkan mereka ke dalam Syurga yang di bawahnya mengalir sungai-sungai, mereka kekal di dalamnya. Hanya di sisi Allah swt sahaja pahala yang baik iaitu Syurga.