Celaan kepada Ahli Kitab
Surah 3: Ali ‘Imran (187 – 189)
Ayat 187
وَإِذْ أَخَذَ ٱللَّهُ مِيثَـٰقَ ٱلَّذِينَ أُوتُوا۟ ٱلْكِتَـٰبَ لَتُبَيِّنُنَّهُۥ لِلنَّاسِ وَلَا تَكْتُمُونَهُۥ فَنَبَذُوهُ وَرَآءَ ظُهُورِهِمْ وَٱشْتَرَوْا۟ بِهِۦ ثَمَنًا قَلِيلًا ۖ فَبِئْسَ مَا يَشْتَرُونَ
Dan (ingatlah) ketika Allah mengambil perjanjian setia dari orang-orang yang telah diberikan Kitab (iaitu): “Demi sesungguhnya! Hendaklah kamu menerangkan isi Kitab itu kepada umat manusia, dan jangan sekali-kali kamu menyembunyikannya”. Kemudian mereka membuang (perjanjian setia) itu ke belakang mereka, serta mereka menukarnya dengan mengambil faedah dunia yang sedikit. Maka amatlah buruknya apa yang mereka dapati dari penukaran (Kalamullah dan janji-Nya) itu.
Ayat ini merupakan suatu bentuk celaan dan ancaman kepada ahli kitab iaitu daripada kalangan orang-orang Yahudi yang diberikan kitab Taurat dan Nasrani yang diberikan Injil. Allah Ta’ala menyatakan kepada Rasulullah saw bahawa Dia telah mengambil sumpah atau janji daripada mereka melalui lisan para nabi mereka, agar mereka beriman kepada kitab masing-masing dan melaksanakan apa sahaja yang terkandung dalam kitab tersebut dan menjelaskannya serta tidak menyembunyikannya kepada sekalian manusia. Antara isi kitab mereka ialah perintah supaya beriman kepada Rasulullah saw dan apa yang disampaikannya.
Namun apabila Allah Swt mengutus Rasulullah saw, mereka melanggar perjanjian tersebut. Mereka meninggalkan ajaran-ajaran daripada kitab-kitab mereka dan tidak mahu beriman kepada Baginda. Ada di antara mereka yang membawa kitab suci tersebut namun tidak memahami maksud kandungannya. Ada sebahagian pula mengubah isi kandungannya, mentafsirkannya dengan cara yang tidak benar bagi menyembunyikan kebenaran tersebut demi mendapatkan imbalan yang sedikit nilainya.
Hakikatnya mereka adalah orang-orang yang tertipu dalam pembelian dan penukaran ini kerana mereka sanggup melepaskan sesuatu yang bernilai iaitu kebahagiaan di dunia dan di akhirat serta memilih sesuatu yang rendah nilainya dan boleh membawa azab kepada mereka. Inilah seburuk-buruk pertukaran yang mereka lakukan kerana menukarkan nikmat yang kekal kepada yang sementara.
Ayat ini juga merupakan peringatan kepada para ulama agar tidak meniru perbuatan ahli kitab. Setiap ulama wajib menyampaikan ilmu yang benar dan sekali-kali tidak boleh menyembunyikannya. Rasulullah saw bersabda:
“Sesiapa yang ditanya tentang suatu ilmu yang memang dia miliki, namun dia menyembunyikannya, maka kelak pada Hari Kiamat, dia akan dipasang tali pengendali kuda yang dibuat daripada api Neraka.”
(HR. Ahmad)
Ayat 188
لَا تَحْسَبَنَّ ٱلَّذِينَ يَفْرَحُونَ بِمَآ أَتَوا۟ وَّيُحِبُّونَ أَن يُحْمَدُوا۟ بِمَا لَمْ يَفْعَلُوا۟ فَلَا تَحْسَبَنَّهُم بِمَفَازَةٍ مِّنَ ٱلْعَذَابِ ۖ وَلَهُمْ عَذَابٌ أَلِيمٌ
Jangan sekali-kali engkau menyangka (wahai Muhammad, bahawa) orang-orang yang bergembira dengan apa yang mereka telah lakukan, dan mereka pula suka dipuji dengan apa yang mereka tidak lakukan – jangan sekali-kali engkau menyangka mereka akan terselamat dari seksa, dan mereka pula akan beroleh azab yang tidak terperi sakitnya.
Allah mengingatkan Rasulullah saw agar tidak sekali-kali menyangka bahawa ahli kitab dan orang-orang Munafik akan terselamat daripada seksaan Allah Swt di dunia dan di akhirat. Sememangnya mereka kelak pasti akan mendapat seksaan yang amat pedih.
Ahli kitab gembira dengan perbuatan buruk yang mereka lakukan iaitu menyelewengkan ayat-ayat-Nya dan mengubah isi kandungan dalam kitab mereka, manakala orang-orang Munafik pula memberikan pelbagai alasan untuk tidak ikut berperang.
Selain itu, ahli kitab dan orang-orang Munafik ini suka berbuat riya’, ingin dipuji dengan sesuatu yang tidak mereka lakukan. Rasulullah saw bersabda:
“Barangsiapa yang mengaku dengan suatu pengakuan dusta agar banyak dipuji dengan sesuatu yang tidak terdapat pada dirinya, maka Allah Ta’ala tidak akan menambahkan (apa pun) baginya kecuali kekurangan.”
(HR. Al-Bukhari dan Muslim)
Oleh itu, mereka tidak akan terselamat daripada azab Allah Swt yang amat pedih pada Hari Kiamat disebabkan oleh buruknya perbuatan mereka.
Ayat 189
وَلِلَّهِ مُلْكُ ٱلسَّمَـٰوَٰتِ وَٱلْأَرْضِ ۗ وَٱللَّهُ عَلَىٰ كُلِّ شَىْءٍ قَدِيرٌ
Dan bagi Allah jualah kuasa pemerintah langit dan bumi, dan Allah Maha Kuasa atas tiap-tiap sesuatu.
Allah Swt adalah pemilik yang berkuasa atas segala sesuatu dan tidak ada sesuatu pun yang dapat menentang-Nya. Dia Maha Agung, tiada siapa yang lebih agung daripada-Nya dan Dia Maha Berkuasa, tidak ada yang lebih berkuasa daripada-Nya. Oleh itu, jauhilah kemurkaan dan seksaan-Nya.