Surah 3: Ali ‘Imran (18 – 20) 

Keesaan Allah dalam UluhiyyahNya  

Surah 3: Ali ‘Imran (18 – 20) 


Ayat 18

شَهِدَ ٱللَّهُ أَنَّهُۥ لَآ إِلَـٰهَ إِلَّا هُوَ وَٱلْمَلَـٰٓئِكَةُ وَأُو۟لُوا۟ ٱلْعِلْمِ قَآئِمًۢا بِٱلْقِسْطِ ۚ لَآ إِلَـٰهَ إِلَّا هُوَ ٱلْعَزِيزُ ٱلْحَكِيمُ

Allah menerangkan (kepada sekalian makhlukNya dengan dalil-dalil dan bukti), bahawasanya tiada Tuhan (yang berhak disembah) melainkan Dia, Yang sentiasa mentadbirkan (seluruh alam) dengan keadilan, dan malaikat-malaikat serta orang-orang yang berilmu (mengakui dan menegaskan juga yang demikian); tiada Tuhan (yang berhak disembah) melainkan Dia; Yang Maha Kuasa, lagi Maha Bijaksana.

Allah swt menyatakan bahawa Dia bersaksi dan cukuplah Dia sebagai saksi kerana Dia yang paling jujur sebagai saksi, paling adil serta paling benar perkataanNya bahawa tiada Ilah yang berhak diibadahi melainkan Dia. Dia sahaja yang berhak sebagai Ilah bagi seluruh makhluk. Selain Dia, semua adalah hamba dan ciptaanNya. Semuanya memerlukanNya sedangkan Dia sama sekali tidak memerlukan selainNya. Dia yang menegakkan keadilan dalam segala keadaan. 

Para malaikat juga memberikan kesaksian tentang keesaan Allah Ta’ala dan menyampaikannya kepada para nabi. Begitu juga dengan para nabi dan mereka menyampaikan kepada umat masing-masing. 

Para ulama turut memberikan kesaksian tentang keesaan Allah swt dan menjelaskannya kepada orang ramai dengan bukti dan alasan ilmiah. Ayat ini menunjukkan martabat ulama sangat tinggi kerana mereka diletakkan sejajar dengan para malaikat yang mulia kerana sama-sama memberikan kesaksian terhadap keesaan Allah swt dalam segala hal. 

Allah Maha Perkasa yang tidak dapat dijangkau keagungan dan kebesaranNya. Dia Maha Bijaksana dalam perkataan, perbuatan, syariat dan ketetapanNya. 

Az-Zubair bin Al-‘Awwam berkata bahawa dia pernah mendengar Rasulullah saw ketika berada di ‘Arafah membaca ayat ini, lalu baginda bersabda: 

“Dan terhadap hal itu aku termasuk orang-orang yang memberi kesaksian, wahai Rabbku.” 

(HR. Ahmad) 

Ayat 19

إِنَّ ٱلدِّينَ عِندَ ٱللَّهِ ٱلْإِسْلَـٰمُ ۗ وَمَا ٱخْتَلَفَ ٱلَّذِينَ أُوتُوا۟ ٱلْكِتَـٰبَ إِلَّا مِنۢ بَعْدِ مَا جَآءَهُمُ ٱلْعِلْمُ بَغْيًۢا بَيْنَهُمْ ۗ وَمَن يَكْفُرْ بِـَٔايَـٰتِ ٱللَّهِ فَإِنَّ ٱللَّهَ سَرِيعُ ٱلْحِسَابِ

Sesungguhnya agama (yang benar dan diredai) di sisi Allah ialah Islam. Dan orang-orang (Yahudi dan Nasrani) yang diberikan Kitab itu tidak berselisih (mengenai agama Islam dan enggan menerimanya) melainkan setelah sampai kepada mereka pengetahuan yang sah tentang kebenarannya; (perselisihan itu pula) semata-mata kerana hasad dengki yang ada dalam kalangan mereka. Dan (ingatlah), sesiapa yang kufur ingkar akan ayat-ayat keterangan Allah, maka sesungguhnya Allah amat segera hitungan hisabNya.

Allah Ta’ala menegaskan dalam ayat ini bahawa satu-satunya agama yang diredhaiNya hanyalah Islam iaitu agama Tauhid, agama yang mengesakan Allah. Agama Islam ialah agama yang dibawa oleh para rasul dari masa ke masa sehinggalah kepada Rasul terakhir iaitu Nabi Muhammad saw. Islam maksudnya berserah diri kepada Allah Yang Maha Esa serta menjunjung tinggi segala perintahNya. 

Allah swt menyatakan bahawa orang-orang yang diberi kitab sebelumnya, telah berselisih pendapat setelah datangnya kebenaran dan pengetahuan tentang Rasulullah saw dan apa yang disampaikannya. Ini adalah disebabkan oleh dorongan perasaan dengki dan benci sebahagian mereka kepada sebahagian yang lain lalu menentang seluruh ucapan dan perbuatan lawan mereka meskipun benar. Firman Allah: 

“Orang-orang (Yahudi dan Nasrani) yang telah Kami beri Al-Kitab (Taurat dan Injil) mengenal Muhammad seperti mereka mengenal anak-anaknya sendiri. Dan sesungguhnya sebahagian di antara mereka menyembunyikan kebenaran, padahal mereka mengetahui.” 

Al-Baqarah 2:146 

Allah swt mengingatkan pada akhir ayat ini bahawa Dia sangat cepat menghukum orang yang ingkar terhadap ayat-ayatNya. 

Ayat 20

فَإِنْ حَآجُّوكَ فَقُلْ أَسْلَمْتُ وَجْهِىَ لِلَّهِ وَمَنِ ٱتَّبَعَنِ ۗ وَقُل لِّلَّذِينَ أُوتُوا۟ ٱلْكِتَـٰبَ وَٱلْأُمِّيِّـۧنَ ءَأَسْلَمْتُمْ ۚ فَإِنْ أَسْلَمُوا۟ فَقَدِ ٱهْتَدَوا۟ ۖ وَّإِن تَوَلَّوْا۟ فَإِنَّمَا عَلَيْكَ ٱلْبَلَـٰغُ ۗ وَٱللَّهُ بَصِيرٌۢ بِٱلْعِبَادِ

Oleh sebab itu jika mereka berhujah (menyangkal dan) membantahmu (Wahai Muhammad), maka katakanlah: “Aku telah berserah diriku kepada Allah dan demikian juga orang-orang yang mengikutku”. Dan bertanyalah (Wahai Muhammad) kepada orang-orang (Yahudi dan Nasrani) yang diberi Kitab, dan orang-orang yang “Ummi” (orang-orang musyrik Arab): “Sudahkah kamu mematuhi dan menurut (agama Islam yang aku bawa itu)?” Kemudian jika mereka memeluk Islam, maka sebenarnya mereka telah memperoleh petunjuk; dan jika mereka berpaling (tidak mahu menerima Islam), maka sesungguhnya kewajipanmu hanyalah menyampaikan (dakwah Islam itu). Dan (ingatlah), Allah sentiasa Melihat (tingkah laku) sekalian hambaNya.

Allah Ta’ala mengajar Nabi Muhammad saw mengatakan kepada ahli kitab sekiranya mereka masih memperdebatkan perkara yang sudah nyata kebenarannya, Baginda dan orang-orang yang mengikutinya menyerahkan dirinya hanya kepada Allah serta mengikhlaskan penghambaan (ibadah) hanya kepadaNya Yang Maha Esa. 

Seterusnya, Allah swt  memerintahkan Rasulullah saw mengajak ahli kitab sama ada Yahudi mahupun Nasrani dan orang-orang musyrik Arab kepada agamaNya. Sekiranya mereka menerima dan masuk Islam, maka mereka telah mendapat petunjuk ke jalan yang lurus dan meninggalkan kesesatan. Namun jika mereka berpaling, maka tidak ada sesuatu yang merugikan buat Baginda kerana kewajipannya hanyalah menyampaikan risalahNya. 

Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui antara hamba-hambaNya siapa yang berhak mendapat hidayah dan siapa yang berhak mendapat kesesatan. Oleh itu, Dia akan membuat perhitungan dan memberikan balasan kepada mereka.