Kisah Perang Hamra’ul Asad
Surah 3: Ali ‘Imran (172 – 175)
Ayat 172
ٱلَّذِينَ ٱسْتَجَابُوا۟ لِلَّهِ وَٱلرَّسُولِ مِنۢ بَعْدِ مَآ أَصَابَهُمُ ٱلْقَرْحُ ۚ لِلَّذِينَ أَحْسَنُوا۟ مِنْهُمْ وَٱتَّقَوْا۟ أَجْرٌ عَظِيمٌ
Iaitu orang-orang yang menjunjung perintah Allah dan Rasul-Nya (supaya keluar menentang musuh yang menceroboh), sesudah mereka mendapat luka (tercedera di medan perang Uhud). Untuk orang-orang yang telah berbuat baik di antara mereka dan yang bertakwa, ada balasan yang amat besar.
Terdapat beberapa riwayat berkaitan dengan ayat ini, antaranya ialah seperti yang ditulis dalam Kitab Tafsir Al-Munir, diriwayatkan bahawa Abu Sufyan dan kawan-kawannya ketika dalam perjalanan pulang dari Uhud, mereka berasa menyesal dan berkeinginan untuk kembali menyerang dan membinasakan penduduk Madinah.
Hal ini diketahui orang Rasulullah saw, lalu Baginda mengajak para sahabat yang turut serta dalam perang Uhud agar menyusul orang-orang Musyrikin tersebut. Ini bertujuan untuk menakut-nakutkan mereka dan menunjukkan bahawa kaum Muslimin masih memiliki kekuatan dan kemampuan untuk berperang.
Para sahabat pun berangkat bersama-sama Rasulullah saw untuk menentang kaum Musyrikin sampai di Hamra’ul Asad iaitu sebuah daerah yang berjarak lapan batu dari Madinah. Padahal para sahabat yang ikut pergi itu masih mengalami luka dan dalam keadaan letih. Mereka tetap bertahan dan memaksakan diri memenuhi seruan Baginda, sebagai tanda ketaatan mereka kepada Allah Swt dan Rasul-Nya dan tidak mahu kehilangan pahala yang besar iaitu ganjarannya Syurga apabila mereka berbuat kebaikan dan bertakwa.
Waktu itu, Allah Swt meletakkkan rasa takut ke dalam hati orang-orang Musyrikin sehingga mereka cepat-cepat kembali pulang ke Mekah. Lalu turunlah ayat ini. Kejadian ini dikenali sebagai perang Hamra’ul Asad sebagai lanjutan daripada perang Uhud.
Ayat 173
ٱلَّذِينَ قَالَ لَهُمُ ٱلنَّاسُ إِنَّ ٱلنَّاسَ قَدْ جَمَعُوا۟ لَكُمْ فَٱخْشَوْهُمْ فَزَادَهُمْ إِيمَـٰنًا وَقَالُوا۟ حَسْبُنَا ٱللَّهُ وَنِعْمَ ٱلْوَكِيلُ
Mereka juga ialah yang diberitahu oleh orang-orang (pembawa berita) kepada mereka: “Bahawa kaum (kafir musyrik) telah mengumpulkan tentera untuk memerangi kamu, oleh itu hendaklah kamu gerun kepadanya”. Maka berita itu makin menambahkan iman mereka lalu berkata: “Cukuplah untuk (menolong) kami, dan Ia sebaik-baik pengurus (yang terserah kepada-Nya segala urusan kami)”.
Sebahagian daripada kaum Musyrikin berkata kepada kaum Muslimin bahawa Abu Sufyan dan tenteranya telah nekad untuk kembali menyerang mereka. Kaum Musyrikin ini juga menasihatkan kaum Muslimin agar takut kepada mereka disebabkan kaum Muslimin pasti tidak akan mampu melawan mereka.
Namun hal ini tidak menjadikan kaum Muslimin takut, sebaliknya semakin bertambah keyakinan mereka terhadap janji-janji Allah Swt. Mereka berangkat menuju ke tempat Abu Sufyan dan tenteranya serta mereka memohon pertolongan-Nya dengan mengatakan cukuplah Allah Swt bagi mereka. Allah Swt adalah sebaik-baik pelindung dan kepada-Nya diserahkan segala urusan.
Ayat 174
فَٱنقَلَبُوا۟ بِنِعْمَةٍ مِّنَ ٱللَّهِ وَفَضْلٍ لَّمْ يَمْسَسْهُمْ سُوٓءٌ وَٱتَّبَعُوا۟ رِضْوَٰنَ ٱللَّهِ ۗ وَٱللَّهُ ذُو فَضْلٍ عَظِيمٍ
Setelah (pergi mengejar musuh), mereka kembali dengan mendapat nikmat dan limpah kurnia dari Allah, mereka tidak disentuh oleh sesuatu bencana pun, serta mereka pula menurut keredhaan Allah. Dan ingatlah), Allah mempunyai limpah kurnia yang amat besar.
Rasulullah saw dan para sahabat pulang meninggalkan Hamra’ul Asad kerana Allah Swt telah meletakkan perasaan takut ke dalam hati Abu Sufyan dan pasukannya sehingga mereka lari dan kalah.
Kaum Muslimin pulang bersama-sama Rasulullah saw dengan memperoleh nikmat berupa pahala yang besar dan keimanan semakin meningkat. Mereka berjaya menghinakan musuh-musuh Allah Swt dan memperoleh keselamatan serta kemenangan. Selain itu, mereka mendapat tambahan anugerah daripada Allah Swt iaitu ketika dalam perjalanan tersebut mereka sempat berdagang pada waktu yang bertepatan dengan musim pasar dan mereka mendapat keuntungan yang banyak.
Ayat ini memberikan pengajaran bahawa ketika mereka benar-benar bertawakkal kepada Allah Swt dan mengikuti perintah-Nya untuk mendapatkan keredhaan-Nya, maka mereka pun diberikan kecukupan daripada pelbagai perkara yang membuatkan mereka gelisah serta dihindarkan daripada serangan orang-orang yang hendak menipu mereka, sehingga mereka selamat kembali ke negeri mereka sendiri.
Ayat 175
إِنَّمَا ذَٰلِكُمُ ٱلشَّيْطَـٰنُ يُخَوِّفُ أَوْلِيَآءَهُۥ فَلَا تَخَافُوهُمْ وَخَافُونِ إِن كُنتُم مُّؤْمِنِينَ
Sesungguhnya (pembawa berita) yang demikian itu ialah syaitan yang (bertujuan) menakut-nakutkan (kamu terhadap) pengikut-pengikutnya (kaum kafir musyrik). Oleh itu, janganlah kamu takut kepada mereka, tetapi takutlah kepada-Ku (jangan cuaikan perintah-Ku), jika betul kamu orang-orang yang beriman.
Allah Swt melarang orang-orang beriman untuk takut kepada syaitan dan teman-temannya. Ini kerana syaitan itu menakut-nakutkan mereka serta menanamkan perasaan dalam diri mereka bahawa orang-orang musyrik itu memiliki kekuatan dan pengaruh. Sebaliknya Dia memerintahkan mereka untuk hanya takut dan bertawakkal kepada-Nya serta berlindung kepada-Nya, kerana cukuplah Dia sebagai Pelindung dan Penolong bagi mereka. Firman-firman-Nya:
“Bukankah Allah cukup untuk melindungi hamba-hambaNya. Dan mereka mempertakuti kamu dengan (sembahan-sembahan) yang selain Allah? Dan sesiapa yang disesatkan Allah maka tidak seorang pun pemberi petunjuk baginya.”
Az-Zumar 39:36
“Sesungguhnya Kami menolong Rasul-Rasul Kami dan orang-orang yang beriman dalam kehidupan dunia dan pada hari berdirinya saksi-saksi (hari kiamat), (iaitu) hari yang tidak berguna bagi orang-orang zalim permintaan maafnya dan bagi merekalah laknat dan bagi merekalah tempat tinggal yang buruk.”
Ghafir 40:51-52