Hikmah daripada Kekalahan dalam Perang Uhud
Surah 3: Ali ‘Imran (165 – 168)
Ayat 165
أَوَلَمَّآ أَصَـٰبَتْكُم مُّصِيبَةٌ قَدْ أَصَبْتُم مِّثْلَيْهَا قُلْتُمْ أَنَّىٰ هَـٰذَا ۖ قُلْ هُوَ مِنْ عِندِ أَنفُسِكُمْ ۗ إِنَّ ٱللَّهَ عَلَىٰ كُلِّ شَىْءٍ قَدِيرٌ
(Patutkah kamu melanggar perintah Rasulullah)? dan (kemudiannya) apabila kamu ditimpa kemalangan (dalam peperangan Uhud), yang kamu telahpun memenangi seperti itu sebanyak dua kali ganda (dengan menimpakan kemalangan kepada musuh dalam peperangan Badar), kamu berkata: “Dari mana datangnya (kemalangan) ini? “Katakanlah (wahai Muhammad): “Kemalangan) itu ialah dari kesalahan diri kamu sendiri (melanggar perintah Rasulullah)”. Sesungguhnya Allah Maha Kuasa atas tiap-tiap sesuatu.
Dalam perang Uhud, ramai yang terbunuh, mengalami kecederaan dan kekalahan. Oleh itu, mereka bertanya dari mana datangnya musibah itu sedangkan mereka adalah umat Islam yang berperang pada jalan Allah Swt bersama dengan Rasulullah saw.
Allah Swt menyatakan bahawa sebenarnya mereka telah mendapat kemenangan dua kali ganda pada perang Badar. Ini kerana jumlah kaum Muslimin yang terkorban dalam perang Uhud adalah seramai 70 orang sedangkan jumlah yang terkorban daripada kaum Musyrikin dalam perang Badar seramai 70 orang dan ditambah dengan 70 orang yang lain dapat ditawan.
Oleh itu, Allah Swt memerintahkan Rasulullah saw agar menjawab pertanyaan mereka dengan mengatakan bahawa kekalahan itu adalah disebabkan kesalahan mereka sendiri. Ini kerana mereka mengingkari arahan Baginda iaitu pasukan pemanah tidak mematuhi perintah Baginda dengan meninggalkan medan pertahanan. Mereka lari dari medan peperangan dan meninggalkan peperangan akibat daripada ketidaksabaran mereka. Inilah hukuman Allah Swt kepada mereka.
Allah Maha Berkuasa untuk memenangkan mereka jika mereka sabar dan bertakwa. Dia juga Maha Berkuasa untuk membiarkan mereka kalah jika mereka menyalahi kehendak-Nya dan berbuat maksiat. Ini kerana sudah menjadi sunnah (ketentuan) Allah Swt bahawa segala sesuatu berlaku berdasarkan hukum sebab musabab tanpa membezakan antara kafir atau mukmin.
Ayat 166
وَمَآ أَصَـٰبَكُمْ يَوْمَ ٱلْتَقَى ٱلْجَمْعَانِ فَبِإِذْنِ ٱللَّهِ وَلِيَعْلَمَ ٱلْمُؤْمِنِينَ
Dan apa yang telah menimpa kamu pada hari bertemu dua kumpulan (angkatan tentera – di medan perang Uhud) itu, maka (adalah ia) dengan izin Allah, dan dengan tujuan Allah hendak melahirkan dengan nyata akan orang-orang yang (sebenar-benarnya) beriman.
Allah Swt menghiburkan kaum Mukmin dengan menjelaskan bahawa apa yang menimpa mereka pada hari bertemunya dua golongan ini iaitu golongan Muslimin dan Musyrikin adalah dengan izin-Nya, qadha dan qadar-Nya dan memiliki hikmah di sebaliknya. Semua tunduk kepada kehendak dan hikmah-Nya.
Antara hikmahnya ialah Allah Swt memperlihatkan keadaan kaum Mukminin. Ada di antara mereka yang kuat iman dan ada yang lemah, ada yang sabar dan ada yang sebaliknya.
Ayat 167
وَلِيَعْلَمَ ٱلَّذِينَ نَافَقُوا۟ ۚ وَقِيلَ لَهُمْ تَعَالَوْا۟ قَـٰتِلُوا۟ فِى سَبِيلِ ٱللَّهِ أَوِ ٱدْفَعُوا۟ ۖ قَالُوا۟ لَوْ نَعْلَمُ قِتَالًا لَّٱتَّبَعْنَـٰكُمْ ۗ هُمْ لِلْكُفْرِ يَوْمَئِذٍ أَقْرَبُ مِنْهُمْ لِلْإِيمَـٰنِ ۚ يَقُولُونَ بِأَفْوَٰهِهِم مَّا لَيْسَ فِى قُلُوبِهِمْ ۗ وَٱللَّهُ أَعْلَمُ بِمَا يَكْتُمُونَ
Dan juga dengan tujuan Dia hendak melahirkan dengan nyata akan dikatakan kepada mereka: “Marilah berperang pada jalan Allah (untuk membela Islam), atau pertahankanlah (diri, keluarga dan harta benda kamu)”. Mereka menjawab: “Kalaulah kami faham ada peperangan (dengan sebenar-benarnya), tentulah kami mengikut kamu (turut berperang)”. Mereka ketika (mengeluarkan perkataan) itu lebih dekat kepada kufur dari dekatnya kepada iman. Mereka selalu menyebut dengan mulutnya apa yang tidak ada dalam hatinya. Dan (ingatlah), Allah Maha Mengetahui akan apa yang mereka sembunyikan.
Dalam ayat ini dinyatakan lagi hikmah daripada peperangan tersebut iaitu dapat diketahui siapa orang-orang Munafik yang pulang ke Madinah bersama dengan Abdullah bin Ubay sebelum berlakunya peperangan.
Orang-orang Munafik ini jika diajak untuk berperang pada jalan Allah Swt atau ikut membela diri, keluarga dan tanah air, mereka menjawab sekiranya mereka tahu Rasulullah saw dan para sahabat benar-benar melakukan pertempuran itu, tentulah mereka akan ikut berperang. Hal ini jelas menunjukkan kemunafikan mereka. Mereka hanya ingin menyembunyikan kebenaran dan menghina kaum Mukmin.
Diriwayatkan bahawa ayat ini turun berkaitan dengan Abdullah bin Ubay bin Salul dan kawan-kawannya yang ikut keluar dari Madinah bersama seribu pasukan kaum Muslimin.
Namun di tengah perjalanan, Abdullah bin Ubay dan kawan-kawannya mengambil keputusan untuk kembali ke Madinah dan membatalkan niat berperang kerana mereka ingin menghina kaum Muslimin agar kaum Muslimin mengalami kekalahan. Jumlah mereka yang kembali ke Madinah pada waktu itu adalah seramai 300 orang.
Sesungguhnya perkataan mereka ketika itu lebih dekat kepada kekufuran daripada keimanan. Ini kerana munculnya bukti-bukti yang kuat iaitu dengan tindakan mereka kembali ke Madinah dan mereka menginginkan agar kaum Muslimin mengalami kekalahan dalam peperangan tersebut. Sesungguhnya sesiapa yang enggan berjihad pada jalan Allah Swt dan membela tanah air daripada serangan musuh, maka dia bukan termasuk orang-orang yang beriman. Firman Allah:
“Sesungguhnya orang-orang yang beriman itu hanyalah orang-orang yang percaya (beriman) kepada Allah dan Rasul-Nya, kemudian mereka tidak ragu-ragu dan mereka berjuang (berjihad) dengan harta dan jiwa mereka pada jalan Allah. Mereka itulah orang-orang yang benar.”
Al-Hujurat 49:15
Ayat ini menunjukkan bagaimana kaum Munafik itu mengucapkan sesuatu perkataan tanpa menyakini kebenarannya. Mereka tidak mengucapkan apa yang ada dalam hati mereka. Namun, Allah Maha Mengetahui segala yang tersembunyi dan yang nyata.
Ayat 168
ٱلَّذِينَ قَالُوا۟ لِإِخْوَٰنِهِمْ وَقَعَدُوا۟ لَوْ أَطَاعُونَا مَا قُتِلُوا۟ ۗ قُلْ فَٱدْرَءُوا۟ عَنْ أَنفُسِكُمُ ٱلْمَوْتَ إِن كُنتُمْ صَـٰدِقِينَ
Merekalah juga yang mengatakan tentang hal saudara-saudaranya (yang telah terbunuh di medan perang Uhud), sedang mereka sendiri tidak turut berperang: “Kalaulah mereka taatkan kami (turut menarik diri) tentulah mereka tidak terbunuh”. Katakanlah (wahai Muhammad): “Jika demikian, hindarkanlah maut dari diri kamu, jika betul kamu orang-orang yang benar”.
Orang-orang Munafik juga mengatakan bahawa sekiranya orang-orang yang ikut berperang itu mendengar nasihat mereka untuk tetap tinggal di Madinah dan tidak ikut berperang, tentu mereka tidak terbunuh dalam peperangan. Ini adalah ucapan mereka setelah selesai perang Uhud iaitu berkaitan dengan teman-teman mereka yang terkorban dalam peperangan tersebut.
Oleh itu, Rasulullah saw diperintahkan supaya mengatakan kepada mereka bahawa kematian itu pasti mendatangi mereka walau di mana sahaja mereka berada. Sekiranya mereka berada dalam benteng yang kukuh sekali pun kematian pasti menjemput dan mereka sekali-kali tidak dapat menolaknya.