Surah 3: Ali ‘Imran (152 – 153)

Sebab Kekalahan dalam Perang Uhud

Surah 3: Ali ‘Imran (152 – 153)


Bukit ditempatkan pemanah ketika Perang Uhud

Bukit di mana Rasulullah saw menempatkan pasukan pemanah ketika Perang Uhud

Ayat 152

وَلَقَدْ صَدَقَكُمُ ٱللَّهُ وَعْدَهُۥٓ إِذْ تَحُسُّونَهُم بِإِذْنِهِۦ ۖ حَتَّىٰٓ إِذَا فَشِلْتُمْ وَتَنَـٰزَعْتُمْ فِى ٱلْأَمْرِ وَعَصَيْتُم مِّنۢ بَعْدِ مَآ أَرَىٰكُم مَّا تُحِبُّونَ ۚ مِنكُم مَّن يُرِيدُ ٱلدُّنْيَا وَمِنكُم مَّن يُرِيدُ ٱلْـَٔاخِرَةَ ۚ ثُمَّ صَرَفَكُمْ عَنْهُمْ لِيَبْتَلِيَكُمْ ۖ وَلَقَدْ عَفَا عَنكُمْ ۗ وَٱللَّهُ ذُو فَضْلٍ عَلَى ٱلْمُؤْمِنِينَ

Dan demi sesungguhnya, Allah telah menepati janji-Nya (memberikan pertolongan) kepada kamu ketika kamu (berjaya) membunuh mereka (beramai-ramai) dengan izin-Nya, sehingga ke masa kamu lemah (hilang semangat untuk meneruskan perjuangan) dan kamu berbalah dalam urusan (perang) itu, serta kamu pula menderhaka (melanggar perintah Rasulullah) sesudah Allah perlihatkan kepada kamu akan apa yang kamu sukai (kemenangan dan harta rampasan perang). Di antara kamu ada yang menghendaki keuntungan dunia semata-mata, dan di antara kamu ada yang menghendaki akhirat, kemudian Allah memalingkan kamu daripada menewaskan mereka untuk menguji (iman dan kesabaran) kamu; dan sesungguhnya Allah telah memaafkan kamu, (semata-mata dengan limpah kurnia-Nya). Dan (ingatlah), Allah sentiasa melimpahkan kurnia-Nya kepada orang-orang yang beriman.

Ketika Rasulullah saw menempatkan pasukan pemanah yang dipimpin oleh Abdullah bin Jubair di atas sebuah bukit, Baginda berpesan supaya jangan sekali-kali mereka meninggalkan tempat pertahanan tersebut walau dalam apa keadaan sekalipun. Baginda menyatakan bahawa mereka akan mendapat kemenangan selagi mereka bertahan di tempat tersebut untuk memanah musuh yang datang dari belakang dan melindungi pasukan mereka yang bertempur di medan perang. 

Oleh itu dalam masa peperangan berlangsung, kaum Muslimin telah dapat melawan kaum Musyrikin sehingga kaum Musyrikin lari tunggang langgang untuk menyelamatkan diri dengan meninggalkan segala perbekalan mereka. Manakala kaum Muslimin pula terus membunuh mereka dengan izin dan pertolonganNya. Inilah maksud ayat “Allah telah menepati janji-Nya” iaitu kemenangan berpihak kepada kaum Muslimin. 

Namun apabila pasukan pemanah menyaksikan kekalahan kaum Musyrikin dan ada sebahagian ahli pasukan Muslimin mula mengumpulkan ghanimah (rampasan perang), lalu mereka mengatakan sesama sendiri apalah gunanya mereka masih tetap berada di atas bukit itu sedangkan tentera Islam di bawah sana sedang mengumpul harta rampasan perang. Maka mereka membuat keputusan untuk meninggalkan tempat tersebut untuk ikut mendapatkan rampasan perang. 

Abdullah bin Jubair merupakan pemimpin mereka mengingatkan mereka tentang pesanan Rasulullah saw. Namun mereka mengelak dengan membuat pelbagai andaian terhadap perintah tersebut. Lalu mereka turun ke tempat peperangan untuk mencari rampasan perang. 

Ketika itu, Khalid bin Walid adalah ketua pasukan berkuda pihak Musyrikin dan beliau belum lagi memeluk Islam. Apabila melihat pasukan pemanah Muslimin sudah mula mengosongkan tempat pertahanan mereka dan tinggal hanya beberapa orang sahaja yang masih bertahan di sana, maka beliau kembali menyerang bersama pasukan berkudanya, sehingga berjaya menduduki tempat pemanah Muslimin dan menyerang pasukan pemanah yang berbaki itu. Beliau dan pasukannya menghujani kaum Muslimin dari arah belakang dengan anak panah sehingga kekuatan kaum Muslimin lemah dan pasukan Musyrikin yang sudah melarikan diri itu berbalik semula  menyerang kaum Muslimin. Maka terjadilah musibah besar kepada kaum Muslimin dan seramai 70 orang Islam terbunuh termasuklah Hamzah bin Abu Mutalib, bapa saudara Rasulullah saw. Bahkan Baginda pun turut tercedera pada bahagian muka dan gigi. 

Oleh itu, Allah Swt menyatakan bahawa ada di kalangan kaum Muslimin yang mengharapkan dunia dengan melanggar perintah Rasulullah saw iaitu meninggalkan tempat pertahanan mereka dan turun ke medan perang untuk mengumpul ghanimah. Namun ada juga di antara mereka yang mengharapkan pahala akhirat seperti Abdullah bin Jubair beserta orang-orang yang bersabar bertahan di kubu pertahanan mereka sehingga syahid. 

Kaum Muslimin mula meninggalkan medan peperangan kerana kelemahan yang menimpa mereka setelah melihat mereka telah terkepung antara pasukan pemanah kaum Musyrikin dengan pasukan yang menyerang mereka. Oleh itu, mereka lari menuju ke lembah Uhud untuk menyelamatkan diri. 

Hikmah daripada peristiwa ini adalah dapat diketahui siapa di kalangan mereka yang benar-benar beriman dan yang lemah imannya. Selain itu, dapat juga diketahui orang-orang yang sabar dan yang mengeluh dengan keadaan ketika itu. 

Namun sesungguhnya Allah Swt telah memaafkan dan menyelamatkan mereka. Padahal Dia boleh menyeksa mereka disebabkan tidak mematuhi perintah nabi mereka sehingga pihak tentera Musyrikin dapat menguasai dan membunuh mereka keseluruhannya. 

Ayat 153

إِذْ تُصْعِدُونَ وَلَا تَلْوُۥنَ عَلَىٰٓ أَحَدٍ وَٱلرَّسُولُ يَدْعُوكُمْ فِىٓ أُخْرَىٰكُمْ فَأَثَـٰبَكُمْ غَمًّۢا بِغَمٍّ لِّكَيْلَا تَحْزَنُوا۟ عَلَىٰ مَا فَاتَكُمْ وَلَا مَآ أَصَـٰبَكُمْ ۗ وَٱللَّهُ خَبِيرٌۢ بِمَا تَعْمَلُونَ

(Ingatlah) ketika kamu berundur lari dan tidak menoleh kepada sesiapa pun, sedang Rasulullah (yang masih berjuang dengan gagahnya) memanggil kamu dari kumpulan yang tinggal di belakang kamu (untuk berjuang terus tetapi kamu tidak mematuhinya). Oleh sebab itu Allah membalas kamu (dengan peristiwa) yang mendukacitakan (kekalahan), dengan sebab perbuatan (kamu menderhaka) yang mendukacitakan (Rasulullah) itu, supaya kamu tidak bersedih hati akan apa yang telah luput dari kamu, dan tidak (pula bersedih) akan apa yang menimpa kamu. Dan (ingatlah), Allah Maha Mengetahui dengan mendalam akan apa jua yang kamu lakukan.

Allah Swt menyatakan keadaan kaum Muslimin selepas kekalahan mereka. Dia memaafkan orang-orang beriman yang melarikan diri daripada musuh ketika Rasulullah saw memanggil-manggil mereka dari arah belakang agar mereka kembali ke medan peperangan. Namun mereka terus berlari dan tidak menoleh kepada sesiapa pun. Lalu Allah Swt timpakan kepada mereka kekalahan sebagai balasan perbuatan mereka mengingkari perintah Rasulullah saw. Mereka mengalami kesedihan atas kesedihan sebagai balasan perbuatan mereka. 

Kesedihan pertama adalah mereka kalah dalam peperangan dan tidak mendapat ghanimah (harta rampasan) perang. Kesedihan yang kedua pula adalah ramainya sahabat mereka yang terbunuh dan mengalami luka-luka terutama luka-luka yang dialami Nabi mereka dan tersiarnya berita Baginda telah terbunuh. Bahkan kesedihan yang kedua ini lebih menyedihkan daripada kekalahan. 

Allah Maha Mengetahui segala yang terjadi kepada mereka sama ada perbuatan mengingkari arahan Rasulullah saw, perselisihan antara mereka dan meninggalkan tempat pertahanan, meninggalkan Baginda di medan perang sehingga mereka pun mendapat kekalahan dan kesedihan. Allah Swt mengetahui semuanya dan akan memberikan balasan kepada orang yang berbuat baik atas amalan baik dan balasan buruk atas perbuatan buruk atau memaafkan mereka kerana Dia Maha Pemaaf lagi Maha Mulia.