Surah 3: Ali ‘Imran (144 – 148)

Dakwah Wajib Diteruskan setelah Kewafatan Rasulullah saw

Surah 3: Ali ‘Imran (144 – 148)


Ayat 144

وَمَا مُحَمَّدٌ إِلَّا رَسُولٌ قَدْ خَلَتْ مِن قَبْلِهِ ٱلرُّسُلُ ۚ أَفَإِي۟ن مَّاتَ أَوْ قُتِلَ ٱنقَلَبْتُمْ عَلَىٰٓ أَعْقَـٰبِكُمْ ۚ وَمَن يَنقَلِبْ عَلَىٰ عَقِبَيْهِ فَلَن يَضُرَّ ٱللَّهَ شَيْـًٔا ۗ وَسَيَجْزِى ٱللَّهُ ٱلشَّـٰكِرِينَ

Dan Muhammad itu tidak lain hanyalah seorang Rasul yang sudahpun didahului oleh beberapa orang Rasul (yang telah mati atau terbunuh). Jika demikian, kalau ia pula mati atau terbunuh, (patutkah) kamu berbalik (berpaling tadah menjadi kafir)? Dan (ingatlah), sesiapa yang berbalik (menjadi kafir) maka ia tidak akan mendatangkan mudarat kepada Allah sedikitpun; dan (sebaliknya) Allah akan memberi balasan pahala kepada orang-orang yang bersyukur (akan nikmat Islam yang tidak ada bandingannya itu).

Ketika berkecamuknya perang Uhud, maka tersebarlah berita bahawa Rasulullah saw mati terbunuh. Berita ini menggusarkan kaum muslimin, sehingga ada yang berniat meminta perlindungan kepada Abu Sufyan (pemimpin kaum Quraisy). Sementara itu orang-orang munafik mengatakan bahawa kalau Baginda itu seorang Nabi tentulah dia tidak akan mati terbunuh. Maka Allah swt menurunkan ayat ini untuk mententeramkan hati kaum muslimin dan membantah kata-kata orang-orang munafik itu. 

Rasulullah saw adalah seorang manusia yang diangkat Allah swt menjadi rasul. Rasul-rasul sebelumnya juga telah wafat. Ada yang wafat kerana terbunuh dan ada pula kerana sakit biasa. Oleh itu, Baginda juga wafat seperti juga rasul-rasul yang terdahulu. Walau bagaimanapun, agama Islam tetap ditegakkan dan umat Islam mesti teguh memegang agama mereka. 

Abu Bakar ra juga membacakan ayat ini ketika terjadi kegelisahan di kalangan para sahabat pada hari kewafatan Rasulullah saw. Ini bertujuan mententeramkan Umar Ibnul Khattab ra dan sahabat-sahabat yang tidak percaya tentang kewafatan Baginda. 

Maksud berbalik ke belakang dalam ayat ini ialah orang-orang yang beriman kembali kufur. Ini hanya merugikan diri mereka sendiri kerana Allah swt tidak akan mengalami apa-apa kerugian dan Dia tidak memerlukan mereka. Sebaliknya, agamaNya akan tetap tegak serta Dia akan menguatkan hamba-hambaNya yang Mukmin yang tetap teguh iman dan berpendirian. 

Ayat 145

وَمَا كَانَ لِنَفْسٍ أَن تَمُوتَ إِلَّا بِإِذْنِ ٱللَّهِ كِتَـٰبًا مُّؤَجَّلًا ۗ وَمَن يُرِدْ ثَوَابَ ٱلدُّنْيَا نُؤْتِهِۦ مِنْهَا وَمَن يُرِدْ ثَوَابَ ٱلْـَٔاخِرَةِ نُؤْتِهِۦ مِنْهَا ۚ وَسَنَجْزِى ٱلشَّـٰكِرِينَ

Dan (tiap-tiap) makhluk yang bernyawa tidak akan mati melainkan dengan izin Allah, iaitu ketetapan (ajal) yang tertentu masanya (yang telah ditetapkan oleh Allah). Dan (dengan yang demikian) sesiapa yang menghendaki balasan dunia, kami berikan bahagiannya dari balasan dunia itu, dan sesiapa yang menghendaki balasan akhirat, kami berikan behagiannya dari balasan akhirat itu; dan Kami pula akan beri balasan pahala kepada orang-orang yang bersyukur.

Allah swt menjelaskan bahawa tidak ada seorang pun yang mati kecuali atas ketentuanNya. Dia yang menentukan batas waktu makhlukNya dan tidak pernah tercepat atau terlambat. Berapa ramai yang pergi berperang tetapi selamat kembali dari peperangan tersebut. Namun berapa ramai yang takut berjihad dan hanya bersembunyi di dalam rumah tetapi mati terlebih dahulu. Firman-firmanNya: 

“………..Dan sekali-kali tidak dipanjangkan umur seorang yang berumur panjang dan tidak pula dikurangi umurnya, melainkan (sudah ditetapkan) dalam Kitab (Lauh Mahfuzh). Sesungguhnya yang demikian itu bagi Allah adalah mudah.” 

Fatir 35:11 

“……………tetapi Allah menangguhkan mereka sampai kepada waktu yang ditentukan. Maka apabila telah tiba waktunya (yang ditentukan) bagi mereka, tidaklah mereka dapat mengundurkannya walau sesaatpun dan tidak (pula) mendahulukannya.” 

An-Nahl 16:61 

Ayat ini juga merupakan ayat motivasi dan memberi semangat kepada orang-orang yang takut berperang. Keberanian untuk ke medan peperangan tidak akan membuatkan seseorang itu bertambah atau berkurang umurnya. 

Kemudian Allah swt menyatakan tentang tujuan dan keinginan manusia iaitu ada yang menginginkan dunia dan ada yang menginginkan akhirat. Sesiapa yang menjadikan amalnya sebagai matlamat dunia, maka Allah swt akan memberinya namun dia tidak memperoleh bahagiannya di akhirat kelak. Manakala sesiapa yang beramal untuk akhirat maka Dia akan memberinya pahala akhirat dan dia juga akan mendapat bahagiannya di dunia. FirmanNya: 

“Barangsiapa yang menghendaki keuntungan di akhirat akan Kami tambah keuntungan itu baginya dan barangsiapa yang menghendaki keuntungan di dunia Kami berikan kepadanya sebahagian daripada keuntungan dunia dan tidak ada baginya suatu bahagian pun di akhirat.” 

Asy-Syura 42:20 

Ayat 146

وَكَأَيِّن مِّن نَّبِىٍّ قَـٰتَلَ مَعَهُۥ رِبِّيُّونَ كَثِيرٌ فَمَا وَهَنُوا۟ لِمَآ أَصَابَهُمْ فِى سَبِيلِ ٱللَّهِ وَمَا ضَعُفُوا۟ وَمَا ٱسْتَكَانُوا۟ ۗ وَٱللَّهُ يُحِبُّ ٱلصَّـٰبِرِينَ

Dan berapa banyak dari Nabi-nabi (dahulu) telah berperang dengan disertai oleh ramai orang-orang yang taat kepada Allah, maka mereka tidak merasa lemah semangat akan apa yang telah menimpa mereka pada jalan (agama) Allah dan mereka juga tidak lemah tenaga dan tidak pula mahu tunduk (kepada musuh). Dan (ingatlah), Allah sentiasa mengasihi orang-orang yang sabar.

Allah swt menghiburkan orang-orang Mukmin dengan ayat ini atas apa yang mereka alami dalam perang Uhud. Ramai para pejuang agama yang berjuang bersama dengan para nabi untuk meninggikan kalimahNya dan mereka tidak bersikap lemah setelah nabi mereka dan ramai daripada kalangan mereka yang terbunuh. Semangat jihad mereka tidak lemah, tidak mudah menyerah kalah dan tidak terpedaya dengan dunia. Sebaliknya mereka tetap sabar dan teguh meskipun nabi mereka terbunuh. Sesungguhnya Allah swt mencintai orang-orang yang sabar dan bertakwa kepadaNya. 

Ayat 147

وَمَا كَانَ قَوْلَهُمْ إِلَّآ أَن قَالُوا۟ رَبَّنَا ٱغْفِرْ لَنَا ذُنُوبَنَا وَإِسْرَافَنَا فِىٓ أَمْرِنَا وَثَبِّتْ أَقْدَامَنَا وَٱنصُرْنَا عَلَى ٱلْقَوْمِ ٱلْكَـٰفِرِينَ

Dan tidaklah ada yang mereka ucapkan (semasa berjuang), selain daripada berdoa dengan berkata: “Wahai Tuhan kami! Ampunkanlah dosa-dosa kami dan perbuatan kami yang melampau dalam urusan kami, dan teguhkanlah tapak pendirian kami (dalam perjuangan); dan tolonglah kami mencapai kemenangan terhadap kaum yang kafir.

Orang-orang Mukmin memohon ampun terhadap tindak tanduk yang melampaui batas-batas hukum yang telah ditetapkan Allah Ta’ala. Ini kerana mereka mengetahui bahawa dosa-dosa dan sikap melampaui batas merupakan penyebab kekalahan dan bahawa membebaskan diri daripada dosa-dosa merupakan sebab kemenangan. 

Mereka tidak bersandarkan dengan kemampuan mereka, bahkan mereka bersandar dan bertawakal kepada Allah swt. Mereka meminta kepadaNya agar diberi keteguhan ketika menghadapi musuh. Mereka menggabungkan antara sabar, taubat, istighfar dan meminta pertolongan kepada Allah swt. Sudah pasti Allah swt akan menolong mereka dan menjadikan kesudahan yang baik untuk mereka di dunia dan akhirat. 

Ayat 148

فَـَٔاتَىٰهُمُ ٱللَّهُ ثَوَابَ ٱلدُّنْيَا وَحُسْنَ ثَوَابِ ٱلْـَٔاخِرَةِ ۗ وَٱللَّهُ يُحِبُّ ٱلْمُحْسِنِينَ

Oleh itu, Allah memberikan mereka pahala dunia (kemenangan dan nama yang harum), dan pahala akhirat yang sebaik-baiknya (nikmat Syurga yang tidak ada bandingannya). Dan (ingatlah), Allah sentiasa mengasihi orang-orang yang berbuat kebaikan.

Lalu Allah swt memberikan orang-orang Mukmin ini ganjaran pahala dunia berupa pertolongan dan kemenangan ke atas musuh, kemuliaan dan juga pahala akhirat yang baik berupa rahmat dan redhaNya. FirmanNya: 

“Tak seorang pun mengetahui pelbagai nikmat yang menanti, yang indah dipandang sebagai balasan bagi mereka, atas apa yang mereka kerjakan.” 

As-Sajdah 32:17