Surah 3: Ali ‘Imran (142 – 143)

Teguran Allah kepada Sahabat dalam Perang Uhud

Surah 3: Ali ‘Imran (142 – 143)


Ayat 142

أَمْ حَسِبْتُمْ أَن تَدْخُلُوا۟ ٱلْجَنَّةَ وَلَمَّا يَعْلَمِ ٱللَّهُ ٱلَّذِينَ جَـٰهَدُوا۟ مِنكُمْ وَيَعْلَمَ ٱلصَّـٰبِرِينَ

Adakah kamu menyangka bahawa kamu akan masuk Syurga padahal belum lagi nyata kepada Allah (wujudnya) orang-orang yang berjihad (yang berjuang dengan bersungguh-sungguh) di antara kamu, dan (belum lagi) nyata (wujudnya) orang-orang yang sabar (tabah dan cekal hati dalam perjuangan)?

Allah swt menyatakan adakah orang-orang Mukmin menyangka mereka akan masuk Syurga sedangkan mereka belum berjihad pada jalan Allah Ta’ala dan tidak sabar serta tidak tabah ketika berada dalam medan peperangan. Sebenarnya mereka tidak akan dimasukkan ke Syurga selagi belum diuji dan terbukti siapa yang benar-benar berjihad pada jalanNya serta jelas bahawa mereka adalah orang-orang yang tabah dan sabar dalam melawan musuh. FirmanNya: 

“Apakah manusia itu menyangka bahawa mereka dibiarkan (sahaja) berkata: “Kami telah beriman,” sedangkan mereka tidak diuji lagi?” 

Al-‘Ankabut 29:2 

Ada beberapa definisi tentang jihad. Antaranya: 

  • Berperang untuk menegakkan Islam dan melindungi orang-orang Islam.
  • Melawan hawa nafsu. 
  • Mendermakan harta benda untuk kebaikan Islam dan umatnya. 
  • Menghapuskan kejahatan dan menegakkan kebenaran. 

Manusia dituntut supaya bersabar dalam: 

  • Mentaati Allah dan RasulNya iaitu dalam menjalankan perintah-perintah syariat dan menjauhi perkara yang dilarang. 
  • Menghadapi ujian dalam kehidupan. 
  • Menghadapi musuh-musuh Islam. 
Ayat 143

وَلَقَدْ كُنتُمْ تَمَنَّوْنَ ٱلْمَوْتَ مِن قَبْلِ أَن تَلْقَوْهُ فَقَدْ رَأَيْتُمُوهُ وَأَنتُمْ تَنظُرُونَ

Dan sesungguhnya kamu telah mengharap-harapkan mati Syahid (dalam perang Sabil) sebelum kamu menghadapinya. Maka sesungguhnya kamu (sekarang) telahpun menyaksikannya dan kamu sedang melihatnya (dengan mata kepala sendiri).

Sebelum perang Uhud, ramai para sahabat terutamanya yang tidak ikut serta dalam perang Badar mencadangkan agar Nabi Muhammad saw keluar dari kota Madinah untuk memerangi orang-orang kafir. 

Mereka berharap agar dalam peperangan bersama dengan Rasulullah saw, mereka beroleh kemuliaan syahid seperti para syuhada’ dalam perang Badar. Mereka selalu berharap agar dapat bertemu dengan musuh. Sepatutnya apabila telah bertemu maka perangilah musuh dan bersabarlah seperti sabda Rasulullah saw: 

“Kamu jangan berharap bertemu musuh tetapi mohonlah keselamatan kepada Allah. Namun apabila kamu bertemu dengan mereka, bersabarlah. Ketahuilah syurga itu berada di bawah kilatan pedang.” 

(HR. Bukhari dan Muslim) 

Namun apabila peperangan Uhud sedang berkecamuk dan mereka melihat sendiri kematian, kilauan pedang-pedang yang saling menghentam dan barisan pasukan perang yang saling menyerang, mendengar bunyi pedang dan tombak yang saling berantakan, mereka menjadi takut dan lemah, lalu meninggalkan Rasulullah saw menghadapi musuh padahal Baginda memanggil-manggil mereka agar bertahan bersama-samanya, menyeru mereka untuk menyembah Allah swt, berperang dengan gagah berani dan tabah serta sabar ketika melawan musuh. 

Ayat ini merupakan teguran kepada mereka yang sebelum ini selalu mengharapkan mati syahid, mendesak Rasulullah saw agar keluar dari kota Madinah untuk melawan musuh. Allah swt juga menegur tentang kekalahan mereka dan perbuatan melarikan diri meninggalkan Baginda serta tidak tabah dan gigihnya mereka untuk bertahan bersama-sama Baginda. 

Dalam ayat ini juga terdapat dalil bahawa diharuskan untuk seseorang itu menginginkan mati syahid.