Peringatan Allah Swt tentang Kemenangan dalam Perang Badar
Surah 3: Ali ‘Imran (123 – 127)
Para malaikat turut serta dalam Perang Badar
Ayat 123
وَلَقَدْ نَصَرَكُمُ ٱللَّهُ بِبَدْرٍ وَأَنتُمْ أَذِلَّةٌ ۖ فَٱتَّقُوا۟ ٱللَّهَ لَعَلَّكُمْ تَشْكُرُونَ
Dan sesungguhnya Allah telah menolong kamu mencapai kemenangan dalam peperangan Badar, sedang kamu berkeadaan lemah (kerana kamu sedikit bilangannya dan kekurangan alat perang). Oleh itu bertakwalah kamu kepada Allah, supaya kamu bersyukur (akan kemenangan itu).
Ayat ini turun ketika kaum muslimin mengalami kekalahan dalam perang Uhud. Allah Swt ingin mengingatkan mereka tentang nikmat-Nya kepada mereka semasa perang Badar.
Perang Badar terjadi pada hari Jumaat, 17 Ramadhan tahun ke-2 Hijrah. Hari itu dinamakan hari pembeza (yaumul furqan). Ketika itu, Rasulullah saw keluar bersama dengan pasukan yang bilangannya kecil iaitu 313 orang untuk mengejar kafilah Quraisy yang pulang dari Syam. Pasukan ini hanya dilengkapi dengan dua ekor kuda dan 70 ekor unta. Ketika itu, kaum kafir Quraisy keluar dengan pasukan berjumlah lebih kurang 900 hingga 1,000 orang lengkap dengan peralatan perang, senjata dan kuda yang banyak. Maka bertempurlah kaum muslimin dengan kaum musyrikin di suatu tempat yang bernama Badar yang terletak antara Mekah dan Madinah. Allah swt memuliakan Islam dan kaum muslimin dengan memenangkan mereka dalam pertempuran ini.
Walaupun jumlah kaum muslimin sangat sedikit dan kelengkapan mereka tidak mencukupi, mereka menang dalam peperangan ini kerana mereka bertawakal kepada Allah Ta’ala, menjalankan perintah-Nya dan perintah Rasul-Nya. Allah Swt menolong mereka agar mereka menyedari bahawa kemenangan itu adalah disebabkan pertolongan dan izin-Nya, bukan kerana banyaknya pasukan dan lengkapnya peralatan perang. Firman-Nya:
“Kemudian Allah menurunkan ketenangan kepada Rasul-Nya dan kepada orang-orang yang beriman, dan Allah menurunkan bala tentera yang kamu tiada melihatnya, dan Allah menimpakan bencana kepada orang-orang yang kafir, dan demikianlah pembalasan kepada orang-orang yang kafir.”
At-Taubah 9:26
Ayat ini juga mengingatkan orang-orang beriman agar bertakwa dan bersyukur kepada Allah Swt dengan melaksanakan ketaatan kepada-Nya.
Ayat 124
إِذْ تَقُولُ لِلْمُؤْمِنِينَ أَلَن يَكْفِيَكُمْ أَن يُمِدَّكُمْ رَبُّكُم بِثَلَـٰثَةِ ءَالَـٰفٍ مِّنَ ٱلْمَلَـٰٓئِكَةِ مُنزَلِينَ
(Ingatlah wahai Muhammad) ketika engkau berkata kepada orang-orang yang beriman (untuk menguatkan semangat mereka): “Tidakkah cukup bagi kamu, bahawa Allah membantu kamu dengan tiga ribu tentera dari malaikat yang diturunkan?”
Allah Swt mengingatkan Rasulullah saw dan orang-orang beriman tentang kemenangan yang telah mereka peroleh ketika mereka bersabar, bertawakkal dan bertakwa kepada-Nya dalam perang Badar. Ini terjadi ketika mereka mendengar berita pada masa mereka berada di medan pertempuran bahawa Kurz bin Jabir Al-Muharibi akan membantu kaum musyrik dengan pasukannya untuk sama-sama berperang melawan mereka. Hal ini menyebabkan kaum mukmin berasa resah. Lalu Baginda mengatakan “Tidakkah cukup bagi kamu, bahawa Allah membantu kamu dengan tiga ribu tentera dari malaikat yang diturunkan?”
Ayat 125
بَلَىٰٓ ۚ إِن تَصْبِرُوا۟ وَتَتَّقُوا۟ وَيَأْتُوكُم مِّن فَوْرِهِمْ هَـٰذَا يُمْدِدْكُمْ رَبُّكُم بِخَمْسَةِ ءَالَـٰفٍ مِّنَ ٱلْمَلَـٰٓئِكَةِ مُسَوِّمِينَ
Bahkan (mencukupi. Dalam pada itu) jika kamu bersabar dan bertakwa, dan mereka (musuh) datang menyerang kamu dengan serta-merta, nescaya Allah membantu kamu dengan lima ribu malaikat yang bertanda masing-masing.
Lalu Allah Swt menyatakan bahawa Dia memberi kecukupan bagi kaum mukmin dengan jumlah malaikat tersebut. Para malaikat itu akan datang menolong mereka. Namun Kurz Al-Muharibi tidak berani memberi bantuan tenteranya untuk membantu kaum musyrik. Oleh itu, Allah Swt tidak menurunkan bantuan kepada Rasulullah saw dan para sahabat seperti yang disebutkan, sebaliknya Dia menurunkan bantuan seperti permohonan doa mereka pada awal pertempuran. Firman-Nya:
Ingatlah ketika kamu memohon pertolongan kepada Tuhan kamu, lalu diperkenankan permohonan kamu( dengan firman-Nya) : “Sesungguhnya Aku akan membantu kamu dengan seribu (bala tentera) dari malaikat yang datang berturut-turut.'”
Al-Anfal 8:9
Seribu malaikat inilah yang benar-benar diturunkan dan berperang bersama-sama orang-orang yang beriman. Janji Allah Swt untuk membantu mereka dengan lima ribu malaikat tidak dilaksanakan-Nya kerana janji itu bersyarat hanya sekiranya Kurz Al-Muharibi membantu pihak Quraisy. Oleh sebab Kurz Al-Muharibi tidak jadi membantu pihak Quraisy maka Allah Swt tidak menurunkan bantuan tersebut kepada kaum mukmin.
Walau bagaimanapun menurut Qatadah, pertolongan Allah Swt kepada kaum mukmin pada perang Badar pada mulanya tentera malaikat berjumlah seribu, lalu ditambah menjadi tiga ribu kemudian ditambah lagi sehingga menjadi lima ribu seperti dalam firman-Nya dalam ayat 124-125 di atas.
Ayat 126
وَمَا جَعَلَهُ ٱللَّهُ إِلَّا بُشْرَىٰ لَكُمْ وَلِتَطْمَئِنَّ قُلُوبُكُم بِهِۦ ۗ وَمَا ٱلنَّصْرُ إِلَّا مِنْ عِندِ ٱللَّهِ ٱلْعَزِيزِ ٱلْحَكِيمِ
Dan Allah tidak menjadikan bantuan tentera malaikat itu melainkan kerana memberi khabar gembira kepada kamu, dan supaya kamu tenteram dengan bantuan itu. Dan (ingatlah bahawa) pertolongan yang membawa kemenangan itu hanya dari Allah Yang Maha Kuasa, lagi Maha Bijaksana.
Allah Swt menyatakan bahawa Dia akan menurunkan bantuan berupa tentera malaikat adalah agar hati dan perasaan tentera mukmin menjadi tenang dan hilanglah rasa gelisah yang timbul akibat perasaan takut terhadap berita bantuan yang dijanjikan oleh Kurz Al-Muharibi untuk menolong orang-orang musyrik.
Sebenarnya Allah Maha Perkasa dan lagi Maha Bijaksana, hanya Dia yang layak memberikan pertolongan dan kemenangan kepada orang yang bersabar dan bertakwa. Apabila Dia berkehendak, nescaya Dia akan mengalahkan musuh-musuh-Nya.
Allah Swt tidaklah memerintahkan manusia berjihad dan berperang kecuali sebagai ujian kepada hamba-hamba-Nya. Dia memiliki keperkasaan yang tidak dapat ditandingi dan memiliki hikmah dalam setiap ketetapan dan hukum-hukum-Nya. Firman-firman-Nya:
“Jika kamu (dalam peperangan Uhud) mendapat luka (tercedera), maka sesungguhnya kaum (musyrik yang mencerobohi kamu) itu telah (tercedera juga dan) mendapat luka yang sama (dalam peperangan Badar). Dan demikian itulah keadaan hari-hari (dunia ini dengan peristiwa-peristiwa kemenangan atau kekalahan), Kami gilirkannya antara sesama manusia, (supaya menjadi pengajaran) dan supaya nyata apa yang diketahui Allah tentang orang-orang yang tetap beriman (dan yang sebaliknya), dan juga supaya Allah menjadikan sebahagian di antara kamu orang-orang yang mati syahid. Dan (ingatlah), Allah tidak suka kepada orang-orang yang zalim.”
Ali ‘Imran 3:140
“………..Demikianlah, apabila Allah menghendaki nescaya Allah akan membinasakan mereka tetapi Allah hendak menguji sebahagian kamu dengan sebahagian yang lain. Dan orang-orang yang syahid pada jalan Allah, maka Allah tidak akan mensia-siakan amal mereka.”
Muhammad 47:4
Ayat 127
لِيَقْطَعَ طَرَفًا مِّنَ ٱلَّذِينَ كَفَرُوٓا۟ أَوْ يَكْبِتَهُمْ فَيَنقَلِبُوا۟ خَآئِبِينَ
(Kemenangan Badar itu) kerana Allah hendak membinasakan satu golongan dari orang-orang kafir atau menghina mereka (dengan kekalahan), supaya mereka kembali dengan hampa kecewa.
Allah Swt menyatakan bahawa Dia telah melaksanakan janji-Nya dengan mengalahkan orang-orang musyrik dengan terbunuhnya 70 orang daripada mereka dan menghinakan mereka dengan menawan 70 yang lainnya serta membawa pulang rampasan perang (ghanimah) yang banyak sekali. Oleh itu, tentera musyrik kembali dengan penuh kekecewaan kerana tidak berjaya memperoleh kemenangan.
Allah Swt memerintahkan berjihad dan berperang kerana ada hikmah yang terdapat padanya. Oleh itu, Dia menyebutkan kemungkinan yang biasa terjadi apabila berlaku peperangan. Antaranya ialah Dia membinasakan golongan kafir atau menghinakan mereka sehingga mereka tidak dapat membahayakan kaum muslimin.