Surah 3: Ali ‘Imran (118 – 120)

Larangan Menjadikan Orang Kafir dan Munafik sebagai Orang Kepercayaan

Surah 3: Ali ‘Imran (118 – 120)


Ayat 118

يَـٰٓأَيُّهَا ٱلَّذِينَ ءَامَنُوا۟ لَا تَتَّخِذُوا۟ بِطَانَةً مِّن دُونِكُمْ لَا يَأْلُونَكُمْ خَبَالًا وَدُّوا۟ مَا عَنِتُّمْ قَدْ بَدَتِ ٱلْبَغْضَآءُ مِنْ أَفْوَٰهِهِمْ وَمَا تُخْفِى صُدُورُهُمْ أَكْبَرُ ۚ قَدْ بَيَّنَّا لَكُمُ ٱلْـَٔايَـٰتِ ۖ إِن كُنتُمْ تَعْقِلُونَ

Wahai orang-orang yang beriman! Janganlah kamu mengambil orang-orang yang bukan dari kalangan kamu menjadi “orang dalam” (yang dipercayai). Mereka tidak akan berhenti-henti berusaha mendatangkan bencana kepada kamu. Mereka sukakan apa yang menyusahkan kamu. Telahpun nyata (tanda) kebencian mereka pada pertuturan mulutnya, dan apa yang disembunyikan oleh hati mereka lebih besar lagi. Sesungguhnya telah kami jelaskan kepada kamu keterangan-keterangan itu jika kamu (mahu) memahaminya.

Allah swt melarang orang-orang beriman menjadikan orang-orang kafir dan orang-orang munafik sebagai teman yang dipercayai iaitu dengan memberikan kepercayaan kepada mereka untuk mengetahui rahsia kaum mukminin dan perkara yang sepatutnya disembunyikan daripada pihak musuh. Hal ini boleh menimbulkan bahaya dan ancaman kepada mereka kerana orang-orang munafik sentiasa berusaha untuk memberi kemudaratan kepada kaum muslimin. FirmanNya: 

“Allah tidak melarang kamu untuk berbuat baik dan berlaku adil terhadap orang-orang yang tiada memerangimu kerana agama dan tidak (pula) mengusir kamu dari negerimu. Sesungguhnya Allah menyukai orang-orang yang berlaku adil. Sesungguhnya Allah hanya melarang kamu menjadikan sebagai kawanmu orang-orang yang memerangimu kerana agama dan mengusir kamu dari negerimu, dan membantu (orang lain) untuk mengusirmu. Dan barangsiapa menjadikan mereka sebagai kawan, maka mereka itulah orang-orang yang zalim.” 

Al-Mumtahanah 60:8-9 

Mereka sentiasa berusaha keras untuk menjerumuskan orang-orang beriman ke dalam bahaya dengan segala cara dan muslihat bagi menyusahkan kaum muslimin. Permusuhan mereka terlihat jelas pada wajah dan kata-kata mereka. Apatah lagi kebencian yang ada dalam hati mereka terhadap Islam dan para pemeluknya itu dapat dilihat dengan jelas. 

Ayat 119

هَـٰٓأَنتُمْ أُو۟لَآءِ تُحِبُّونَهُمْ وَلَا يُحِبُّونَكُمْ وَتُؤْمِنُونَ بِٱلْكِتَـٰبِ كُلِّهِۦ وَإِذَا لَقُوكُمْ قَالُوٓا۟ ءَامَنَّا وَإِذَا خَلَوْا۟ عَضُّوا۟ عَلَيْكُمُ ٱلْأَنَامِلَ مِنَ ٱلْغَيْظِ ۚ قُلْ مُوتُوا۟ بِغَيْظِكُمْ ۗ إِنَّ ٱللَّهَ عَلِيمٌۢ بِذَاتِ ٱلصُّدُورِ

Awaslah! Kamu ini adalah orang-orang (yang melanggar larangan), kamu sahajalah yang suka (dan percayakan mereka, sedang mereka tidak suka kepada kamu. Kamu juga beriman kepada segala Kitab Allah (sedang mereka tidak beriman kepada Al-Quran). Dan apabila mereka bertemu dengan kamu mereka berkata: “Kami beriman”, tetapi apabila mereka berkumpul sesama sendiri, mereka menggigit hujung jari kerana geram marah (kepada kamu), katakanlah (wahai Muhammad): “Matilah kamu dengan kemarahan kamu itu”. Sesungguhnya Allah sentiasa mengetahui akan segala (isi hati) yang ada di dalam dada.

Allah swt juga mengingatkan kaum muslimin agar berhati-hati terhadap orang-orang munafik. Ini kerana mereka memperlihatkan keimanan dan kecintaan kepada orang-orang beriman, padahal keadaan yang sebenarnya adalah bertentangan. Mereka tidak mencintai orang-orang beriman sama ada zahir mahupun batin. 

Orang-orang beriman mengimani semua kitab yang diturunkan oleh Allah swt, membenarkan semua rasul dan nabiNya. Orang-orang munafik pula menampakkan bahawa mereka tidak meragui sedikitpun kitab yang diturunkan oleh Allah swt namun sebenarnya mereka sentiasa ragu-ragu, bimbang dan bingung. Mereka juga mengingkari para nabi. 

Apabila orang-orang munafik ini bertemu dengan orang-orang muslimin, mereka bersikap lembut dan menyatakan bahawa mereka beriman dan membenarkan apa yang dibawa oleh Rasulullah saw. Namun ketika mereka berada di kalangan orang-orang munafik, mereka menampakkan kebencian dan permusuhan yang amat besar terhadap kaum muslimin sehingga mereka ‘menggigit jari’. Ini adalah ungkapan bagi menggambarkan kebencian dan kemarahan mereka kepada orang-orang beriman. 

Allah swt menyatakan bahawa walau bagaimana pun kebencian dan kedengkian kaum munafik terhadap kaum muslimin, namun Dia akan tetap menyempurnakan nikmatNya kepada hamba-hambaNya yang beriman, meninggikan kalimahNya dan memuliakan umat Islam. Oleh itu, matilah mereka dalam kebencian, kemarahan dan kedengkian terhadap orang-orang beriman. Sesungguhnya Dia Maha Mengetahui apa yang tersembunyi dalam dada mereka. 

Ayat 120

إِن تَمْسَسْكُمْ حَسَنَةٌ تَسُؤْهُمْ وَإِن تُصِبْكُمْ سَيِّئَةٌ يَفْرَحُوا۟ بِهَا ۖ وَإِن تَصْبِرُوا۟ وَتَتَّقُوا۟ لَا يَضُرُّكُمْ كَيْدُهُمْ شَيْـًٔا ۗ إِنَّ ٱللَّهَ بِمَا يَعْمَلُونَ مُحِيطٌ

Kalau kamu beroleh kebaikan (kemakmuran dan kemenangan, maka yang demikian) menyakitkan hati mereka; dan jika kamu ditimpa bencana, mereka bergembira dengannya. Dan kalau kamu sabar dan bertaqwa, (maka) tipu daya mereka tidak akan membahayakan kamu sedikitpun. Sesungguhnya Allah meliputi pengetahuanNya akan apa yang mereka lakukan.

Apabila orang-orang mukmin mendapat kemenangan, pertolongan dan sokongan, maka orang-orang munafik bersedih hati. Sebaliknya, sekiranya kaum muslimin ditimpa kesulitan atau menderita kekalahan daripada pihak musuh, maka orang-orang munafik bergembira. 

Oleh itu, Allah swt membimbing orang-orang yang beriman agar terselamat daripada segala keburukan dan tipu daya orang-orang kafir (jahat) dengan kesabaran, ketakwaan dan tawakal kepadaNya kerana Dia menguasai pihak musuh serta tiada daya dan kekuatan selain pertolongan Allah Ta’ala.