Surah 3: Ali ‘Imran (100)

Peringatan agar Tidak Mentaati Ahli Kitab

Surah 3: Ali ‘Imran (100)


Ayat 100

يَـٰٓأَيُّهَا ٱلَّذِينَ ءَامَنُوٓا۟ إِن تُطِيعُوا۟ فَرِيقًا مِّنَ ٱلَّذِينَ أُوتُوا۟ ٱلْكِتَـٰبَ يَرُدُّوكُم بَعْدَ إِيمَـٰنِكُمْ كَـٰفِرِينَ

Wahai orang-orang yang beriman! Jika kamu taat akan sesuatu puak dari orang-orang (Yahudi dan Nasrani) yang diberikan Kitab itu, nescaya mereka akan mengembalikan kamu menjadi orang-orang kafir sesudah kamu beriman.

Ayat ini turun ketika sebahagian orang-orang Yahudi melalui kawasan tempat kabilah Aus dan Khazraj berkumpul. Mereka melihat kedua-dua kaum ini telah bersatu berkat petunjuk dan bimbingan Allah Swt iaitu agama Islam. Ini membuatkan orang-orang Yahudi menjadi marah dan sakit hati, lalu mereka pun mengingatkan kabilah Aus dan Khazraj tentang peristiwa perang Bu’ats, maka mereka pun teringat kembali peristiwa itu. Akibatnya, dua kabilah itu saling bertengkar dan hampir sahaja terjadi peperangan. 

Allah Swt mengingatkan orang-orang beriman agar tidak mentaati ahli kitab yang dengki terhadap mereka atas keutamaan yang dianugerahkan dan diutusnya Rasulullah saw kepada mereka. 

Allah Ta’ala juga mengingatkan orang-orang beriman bahawa sekiranya mereka mentaati ahli kitab, nescaya ahli kitab akan mengembalikan mereka kepada kekufuran. Firman-Nya: 

“Sebahagian besar ahli kitab menginginkan agar mereka dapat mengembalikan kamu kepada kekafiran setelah kamu beriman, kerana dengki yang (timbul) daripada diri mereka sendiri, setelah nyata bagi mereka kebenaran…………” 

Al-Baqarah 2:109