Ancaman Allah Swt terhadap Keingkaran Orang Musyrik Quraisy dan Janji-Nya kepada Orang yang Mencari Keredhaan-Nya
Surah 29: Al-‘Ankabut (67 – 69)
Ayat 67
أَوَلَمْ يَرَوْا۟ أَنَّا جَعَلْنَا حَرَمًا ءَامِنًا وَيُتَخَطَّفُ ٱلنَّاسُ مِنْ حَوْلِهِمْ ۚ أَفَبِٱلْبَـٰطِلِ يُؤْمِنُونَ وَبِنِعْمَةِ ٱللَّهِ يَكْفُرُونَ
Dan apakah mereka tidak memperhatikan, bahawa sesungguhnya Kami telah menjadikan (negeri mereka) tanah suci yang aman, sedangkan manusia sekitarnya saling merompak. Maka mengapa (sesudah nyata kebenaran) mereka masih percaya kepada yang batil dan ingkar kepada nikmat Allah?
Allah Ta’ala menjelaskan tentang kurniaan-Nya kepada kaum Quraisy. Dia menjadikan tempat tinggal mereka iaitu tanah haram Mekah, negeri yang suci lagi aman dan tenteram berbanding dengan negeri-negeri yang berada di sekitarnya yang saling merompak bahkan ada yang saling berbunuhan.
Anugerah Allah Ta’ala kepada penduduk Mekah dijelaskan dalam firman-Nya:
“Kerana kebiasaan orang-orang Quraisy. Iaitu kebiasaan mereka berpergian pada musim sejuk dan musim panas. Maka hendaklah mereka menyembah Rabb (Pemilik) rumah ini (Kaabah). Yang memberi makanan kepada mereka untuk menghilangkan lapar dan memelihara mereka daripada ketakutan.”
Quraisy 106:1-4
Oleh sebab mereka kufur kepada Allah dan Rasul-Nya, maka Allah Ta’ala telah merampas seluruh kurniaan yang Dia anugerahkan kepada mereka serta memusnahkan sebahagian daripada mereka dalam perang Badar dan akhirnya kota Mekah dapat dikuasai oleh Rasul-Nya dan orang-orang mukmin, menyebabkan kehormatan dan harga diri kaum musyrik tersebut tercemar.
Allah Ta’ala mempersoalkan tindakan orang-orang musyrik yang mengingkari nikmat-Nya dengan mensyirikkan-Nya. Firman-Nya dalam ayat yang lain:
“Tidakkah kamu memperhatikan orang-orang yang telah menukar nikmat Allah dengan ingkar kepada-Nya dan menjatuhkan kaumnya ke lembah kebinasaan?”
Ibrahim 14:28
Ayat 68
وَمَنْ أَظْلَمُ مِمَّنِ ٱفْتَرَىٰ عَلَى ٱللَّهِ كَذِبًا أَوْ كَذَّبَ بِٱلْحَقِّ لَمَّا جَآءَهُۥٓ ۚ أَلَيْسَ فِى جَهَنَّمَ مَثْوًى لِّلْكَـٰفِرِينَ
Dan siapakah yang lebih zalim daripada orang-orang yang mengada-adakan kebohongan terhadap Allah atau mendustakan yang hak tatkala yang hak itu datang kepadanya? Bukankah dalam Neraka Jahannam itu terdapat tempat bagi orang-orang yang kafir?
Ayat ini merupakan ancaman dan penghinaan kepada orang-orang musyrik iaitu tidak ada seorang pun yang lebih dahsyat dan berat menerima seksaan-Nya selain orang-orang yang berbohong terhadap Allah Ta’ala dan mengatakan sesuatu yang tidak diwahyukan-Nya.
Maksud ayat, “mendustakan yang hak,” dalam ayat ini termasuk juga mendustakan kebenaran kenabian Nabi Muhammad saw.
Firman-firman Allah Ta’ala dalam surah yang lain:
“Sesungguhnya (terhadap) orang-orang yang menyakiti Allah dan Rasul-Nya, Allah akan melaknatnya di dunia dan di akhirat, dan menyediakan baginya azab yang menghinakan bagi mereka.”
Al-Ahzab 33:57
“Allah menjanjikan (mengancam) orang-orang munafik lelaki dan perempuan dan orang-orang kafir dengan neraka Jahannam. Mereka kekal di dalamnya. Cukuplah (neraka) itu bagi mereka. Allah melaknat mereka, dan mereka mendapat azab yang kekal.”
At-Taubah 9:68
Ayat 69
وَٱلَّذِينَ جَـٰهَدُوا۟ فِينَا لَنَهْدِيَنَّهُمْ سُبُلَنَا ۚ وَإِنَّ ٱللَّهَ لَمَعَ ٱلْمُحْسِنِينَ
Dan orang-orang yang berjihad untuk (mencari keredhaan) Kami, benar-benar akan Kami tunjukkan kepada mereka jalan-jalan Kami. Dan sesungguhnya Allah benar-benar berserta orang-orang yang berbuat baik.
Setelah menjelaskan akhir kehidupan bagi orang-orang kafir, dalam ayat ini Allah Ta’ala menjelaskan pula akhir penghidupan orang-orang mukmin.
Sesiapa yang berusaha dengan bersungguh-sungguh melakukan ketaatan, menolong agama Allah Ta’ala, memerangi para musuh-Nya yang mendustai kitab dan para Rasul-Nya, nescaya Dia akan memberi petunjuk dan membimbingnya menuju ke syurga dan akhirnya menempuh jalan kebahagiaan serta mendapat kebaikan di dunia dan juga di akhirat. Firman-Nya dalam surah-surah yang lain:
“Wahai orang-orang yang beriman, mahukah kamu Aku tunjukkan suatu perniagaan yang dapat menyelamatkan kamu daripada azab yang pedih? (Iaitu) kamu beriman kepada Allah dan Rasul-Nya dan berjihad di jalan Allah dengan harta dan jiwamu. Itulah yang lebih baik bagi kamu jika kamu mengetahuinya, nescaya Allah mengampuni dosa-dosa kamu dan memasukkan kamu ke dalam syurga yang mengalir di bawahnya sungai-sungai, dan (memasukkan kamu) ke tempat tinggal yang baik di dalam syurga ‘Adn. Itulah kemenangan yang besar.”
As-Saff 61:10-12
“Sesungguhnya Allah membeli daripada orang-orang mukmin, diri mahupun harta mereka dengan memberikan syurga untuk mereka. Mereka berperang pada jalan Allah, lalu mereka dibunuh atau terbunuh, (sebagai) janji yang benar daripada Allah di dalam Taurat, Injil, dan Al-Quran. Dan siapakah yang lebih menepati janjinya selain Allah? Maka bergembiralah dengan jual beli yang telah kamu lakukan itu, dan demikian itulah kemenangan yang besar.”
At-Taubah 9:111
Pada akhir ayat ini, Allah Ta’ala menyatakan bahawa Dia sentiasa bersama-sama hamba-hamba-Nya yang berbuat kebaikan.