Surah 29: Al-‘Ankabut (61 – 63)

Pengakuan Orang Musyrik bahawa Allah yang Mencipta Segala Sesuatu tetapi Mereka Tetap Kufur

Surah 29: Al-‘Ankabut (61 – 63)


Ayat 61

وَلَئِن سَأَلْتَهُم مَّنْ خَلَقَ ٱلسَّمَـٰوَٰتِ وَٱلْأَرْضَ وَسَخَّرَ ٱلشَّمْسَ وَٱلْقَمَرَ لَيَقُولُنَّ ٱللَّهُ ۖ فَأَنَّىٰ يُؤْفَكُونَ

Dan jika engkau bertanya kepada mereka, “Siapakah yang menciptakan langit dan bumi serta menundukkan matahari dan bulan?” Pasti mereka akan menjawab, “Allah.” Maka mengapakah mereka dapat dipalingkan (daripada kebenaran).

Allah Ta’ala menyatakan sekiranya Nabi Muhammad saw bertanyakan kepada kaum musyrik tentang siapa yang mencipta langit dan bumi dengan begitu teratur dan sempurna serta sangat indah dipandang, yang menundukkan matahari dan bulan, maka pastilah mereka benar-benar akan mengatakan bahawa Allah-lah sahaja yang menciptakannya.

Oleh itu, mengapa mereka tidak beriman kepada Allah Ta’ala, Pencipta segala sesuatu dan mentadbir seluruh penciptaan-Nya, dan sebaliknya mereka menyembah kepada selain-Nya. Alangkah aneh pendustaan mereka ini.

Ayat 62

ٱللَّهُ يَبْسُطُ ٱلرِّزْقَ لِمَن يَشَآءُ مِنْ عِبَادِهِۦ وَيَقْدِرُ لَهُۥٓ ۚ إِنَّ ٱللَّهَ بِكُلِّ شَىْءٍ عَلِيمٌ

Allah melapangkan rezeki bagi sesiapa yang Dia kehendaki di antara hamba-hamba-Nya dan Dia (juga) yang membatasi (menyempitkan) baginya. Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui segala sesuatu.

Sesungguhnya Allah Ta’ala melapangkan rezeki bagi sesiapa sahaja yang Dia kehendaki dan menyempitkan rezeki bagi sesiapa yang dikehendaki-Nya. Dia melapangkan dan menyempitkan rezeki kepada hamba-hamba-Nya itu adalah sebagai satu bentuk ujian kepada mereka.

Allah Ta’ala Maha Mengetahui keadaan seseorang apabila dilapangkan atau disempitkan rezeki sehingga Dia memberi atau menahan rezeki tersebut sesuai dengan yang terbaik buat hamba-hamba-Nya. Ini kerana Dia Maha Mengetahui segala sesuatu berupa keburukan mahupun kemaslahatan kepada hamba-hamba-Nya. Firman-Nya:

“Dan jikalau Allah melapangkan rezeki kepada hamba-hamba-Nya tentulah mereka akan melampaui batas di muka bumi, tetapi Allah menurunkan apa yang dikehendaki-Nya dengan ukuran. Sesungguhnya Dia Maha Mengetahui (keadaan) hamba-hamba-Nya lagi Maha Melihat.”

Asy-Syura 46:27

Ayat 63

وَلَئِن سَأَلْتَهُم مَّن نَّزَّلَ مِنَ ٱلسَّمَآءِ مَآءً فَأَحْيَا بِهِ ٱلْأَرْضَ مِنۢ بَعْدِ مَوْتِهَا لَيَقُولُنَّ ٱللَّهُ ۚ قُلِ ٱلْحَمْدُ لِلَّهِ ۚ بَلْ أَكْثَرُهُمْ لَا يَعْقِلُونَ

Dan jika kamu bertanya kepada mereka, “Siapakah yang menurunkan air dari langit lalu menghidupkan dengan (air) itu bumi sesudah matinya?” Pasti mereka akan menjawab, “Allah.” Katakanlah, “Segala puji bagi Allah,” tetapi kebanyakan mereka tidak memahami(nya).

Seterusnya, Allah Ta’ala menyatakan sekiranya Nabi Muhammad saw bertanya kepada kaum musyrikin tentang siapa yang menurunkan air hujan dari langit lalu menghidupkan tanah yang gersang, nescaya mereka benar-benar akan mengatakan dan mengakui bahawa Allah-lah yang menurunkannya.

Allah Ta’ala seringkali menegaskan kedudukan-Nya sebagai ilah yang berhak diibadahi (tauhid uluhiyyah) dengan cara mengarahkan mereka untuk mengakui keesaan-Nya dalam hal Rububiyyah (mengesakan Allah dalam hal perbuatan-perbuatan-Nya).

Segala puji bagi Allah Swt yang telah menerangkan hujjah-hujjah-Nya di hadapan mereka tetapi kebanyakan mereka tidak memahami apa sahaja yang bermanfaat bagi mereka dan segala yang mendatangkan bahaya bagi mereka. Seandainya mereka memahaminya nescaya mereka tidak menyekutukan sesuatu bersama Allah.