Surah 29: Al-‘Ankabut (56 – 60)

Balasan Baik kepada Hamba-Nya yang Beriman

Surah 29: Al-‘Ankabut (56 – 60)


Ayat 56

يَـٰعِبَادِىَ ٱلَّذِينَ ءَامَنُوٓا۟ إِنَّ أَرْضِى وَٰسِعَةٌ فَإِيَّـٰىَ فَٱعْبُدُونِ

Wahai hamba-hamba-Ku yang beriman, sesungguhnya bumi-Ku luas, maka sembahlah Aku (sahaja).

Allah Ta’ala menyatakan bahawa bumi yang diciptakan-Nya untuk hamba-hamba-Nya itu amat luas. Oleh itu, sekiranya mereka tidak dapat melakukan ibadah dan menegakkan syiar-syiar Islam di tempat tinggal mereka disebabkan larangan atau gangguan daripada orang-orang kafir, maka mereka boleh berhijrah ke negeri lain yang membenarkan mereka menegakkan agama, beribadah kepada-Nya dan mentauhidkan-Nya. Firman Allah Ta’ala dalam ayat yang lain:

“……….Mereka (para malaikat) bertanya, ‘Bukankah bumi Allah itu luas, sehingga kamu dapat berhijrah (berpindah-pindah) di bumi itu?………..’”

An-Nisa’ 4:97

Ayat 57

كُلُّ نَفْسٍ ذَآئِقَةُ ٱلْمَوْتِ ۖ ثُمَّ إِلَيْنَا تُرْجَعُونَ

Setiap yang bernyawa akan merasakan mati. Kemudian hanya kepada Kami kamu dikembalikan.

Allah Ta’ala menyatakan bahawa setiap yang bernyawa pasti akan mati dan walau di mana pun mereka berada, kematian tetap akan menjemput mereka. Manusia diingatkan supaya tetap berada dalam ketaatan terhadap Allah dan melaksanakan segala perintah-Nya. Ini kerana segala perbuatan masing-masing akan diberikan balasan pada saat mereka kembali kepada-Nya.

Firman-Nya dalam ayat-ayat yang lain:

“Sesungguhnya engkau (Muhammad) akan mati dan sesungguhnya mereka (juga) akan mati.”

Az-Zumar 39:30

“Tiap-tiap yang bernyawa akan merasakan mati. Dan sesungguhnya pada Hari Kiamat sahajalah disempurnakan pahalamu. Sesiapa dijauhkan dari neraka dan dimasukkan ke dalam syurga, sesungguhnya dia telah beroleh kemenangan. Kehidupan dunia itu tidak lain hanyalah kesenangan yang memperdayakan.”

Ali ‘Imran 3:185

Oleh itu, orang-orang mukmin tidak sepatutnya berasa berat hati untuk meninggalkan negeri kelahiran mereka dan berpisah dengan kaum kerabat dalam menegakkan agama mereka, menyerahkan jiwa bertempur melawan musuh, mengharapkan pahala dan membenarkan janji-janji Allah Swt.

Ayat 58

وَٱلَّذِينَ ءَامَنُوا۟ وَعَمِلُوا۟ ٱلصَّـٰلِحَـٰتِ لَنُبَوِّئَنَّهُم مِّنَ ٱلْجَنَّةِ غُرَفًا تَجْرِى مِن تَحْتِهَا ٱلْأَنْهَـٰرُ خَـٰلِدِينَ فِيهَا ۚ نِعْمَ أَجْرُ ٱلْعَـٰمِلِينَ

Dan orang-orang yang beriman dan mengerjakan amal-amal yang soleh, sesungguhnya akan Kami tempatkan mereka pada tempat-tempat yang tinggi (di dalam syurga), yang mengalir sungai-sungai di bawahnya, mereka kekal di dalamnya. Itulah sebaik-baik pembalasan bagi orang-orang yang beramal.

Allah Ta’ala menjelaskan tentang balasan yang akan diberikan kepada orang-orang yang beriman kepada-Nya, Rasul-Nya dan mengerjakan amal-amal soleh dengan mematuhi segala perintah-Nya dan menjauhi segala larangan-Nya. Mereka ini pasti diberikan tempat tinggal yang tinggi di dalam syurga yang di bawahnya mengalir sungai-sungai dan mereka kekal di dalamnya tanpa mengalami kesusahan sedikitpun.

Alangkah indahnya balasan dan alangkah indahnya tempat tinggal yang disediakan oleh Allah Ta’ala sebagai ganjaran terhadap amal-amal soleh mereka. Semoga kita semua termasuk dalam golongan ini. Allahumma aamiin!

Allah Ta’ala berfirman dalam surah yang lain:

“Dan sesiapa yang datang kepada-Nya dalam keadaan beriman, dan sungguh telah melakukan kebaikan, maka mereka itulah orang-orang yang memperoleh darjat-darjat yang tinggi (mulia).”

Taha 20:75

Ayat 59

ٱلَّذِينَ صَبَرُوا۟ وَعَلَىٰ رَبِّهِمْ يَتَوَكَّلُونَ

(iaitu) orang-orang yang bersabar dan bertawakkal kepada Rabb mereka.

Seterusnya dalam ayat ini, Allah Ta’ala menyatakan sifat orang-orang yang diberikan tempat-tempat yang tinggi di dalam syurga. Mereka adalah orang-orang yang bersabar dan bertawakkal.

Mereka bersabar dalam menjalankan kewajipan-kewajipan agama, bersabar dalam meninggalkan larangan Allah Ta’ala, berjihad, berhijrah atau berpisah dengan kampung halaman dan sanak saudara kerana semata-mata mencari keredhaan-Nya. Kemudian mereka bertawakkal kepada-Nya atas segala urusan sama ada urusan agama mahupun urusan dunia. Mereka inilah yang memperoleh kemenangan di dunia dan akhirat.

Ayat 60

وَكَأَيِّن مِّن دَآبَّةٍ لَّا تَحْمِلُ رِزْقَهَا ٱللَّهُ يَرْزُقُهَا وَإِيَّاكُمْ ۚ وَهُوَ ٱلسَّمِيعُ ٱلْعَلِيمُ

Berapa banyak makhluk bergerak yang bernyawa yang tidak (dapat) membawa rezekinya sendiri. Allah-lah yang memberi rezeki kepadanya dan kepada kamu dan Dia Maha Mendengar lagi Maha Mengetahui.

Setelah Allah Ta’ala menyebutkan tentang sifat sabar dan tawakkal, dalam ayat ini pula Dia menegaskan bahawa Dia-lah penjamin rezeki bagi makhluk-makhluk-Nya.

Allah Ta’ala menyatakan betapa banyak makhluk bergerak yang bernyawa yang tidak dapat membawa atau mengurus rezekinya sendiri. Allah-lah yang memudahkan semuanya dengan memberi rezeki kepada makhluk bergerak tersebut dan memudahkan rezeki itu datang kepada mereka. Sesungguhnya Dia Maha Mendengar lagi Maha Mengetahui.

Firman Allah Ta’ala dalam ayat yang lain:

“Dan tidak ada sesuatu pun makhluk yang bergerak (bernyawa) di muka bumi melainkan semuanya dijamin rezeki oleh Allah. Dia mengetahui tempat kediamannya dan tempat penyimpanannya. Semuanya (tertulis) dalam kitab yang nyata (Lauh Mahfuz).”

Hud 11:6