Perintah agar Membaca Al-Quran dan Mendirikan Solat
Surah 29: Al-‘Ankabut (45)
Ayat 45
ٱتْلُ مَآ أُوحِىَ إِلَيْكَ مِنَ ٱلْكِتَـٰبِ وَأَقِمِ ٱلصَّلَوٰةَ ۖ إِنَّ ٱلصَّلَوٰةَ تَنْهَىٰ عَنِ ٱلْفَحْشَآءِ وَٱلْمُنكَرِ ۗ وَلَذِكْرُ ٱللَّهِ أَكْبَرُ ۗ وَٱللَّهُ يَعْلَمُ مَا تَصْنَعُونَ
Bacalah Kitab (Al-Quran) yang telah diwahyukan kepadamu (Muhammad) dan laksanakanlah solat. Sesungguhnya solat itu mencegah daripada (perbuatan) keji dan mungkar. Dan (ketahuilah) mengingati Allah (solat) itu lebih besar (keutamaannya daripada ibadah yang lain). Allah mengetahui apa yang kamu lakukan.
Allah Ta’ala memerintahkan Nabi Muhammad saw dan orang-orang mukmin membaca Al-Quran dan menyampaikan kandungannya kepada segenap manusia. Selain itu, Dia memerintahkan mereka mendirikan solat dengan baik. Ini kerana dengan melaksanakannya menurut peraturannya akan menghalang manusia yang melakukannya daripada terjerumus ke dalam maksiat-maksiat dan perbuatan-perbuatan mungkar. Orang yang menegakkannya, yang menyempurnakan rukun-rukun dan syarat-syaratnya, hatinya akan bercahaya. Keimanan, ketakwaan dan kecintaannya terhadap kebaikan akan bertambah sementara keinginannya terhadap keburukan akan semakin berkurang atau hilang sama sekali.
Sesungguhnya dengan mengingati Allah baik dalam solat dan pekerjaan yang lain lebih agung dan lebih utama daripada segala sesuatu.
Pada akhir ayat ini, Allah Ta’ala menyatakan Dia mengetahui apa sahaja yang dilakukan oleh para hamba-Nya, yang baik mahupun yang buruk. Lalu Dia memberikan balasan kepada mereka terhadap perbuatan tersebut dengan balasan yang sempurna.
Allah Ta’ala berfirman tentang solat dalam surah-surah yang lain:
“Dan mintalah pertolongan (kepada Allah) dengan sabar dan (mengerjakan) solat. Dan (solat) itu sesungguhnya berat, kecuali bagi orang-orang yang khusyuk.”
Al-Baqarah 2:45
“Dan dirikanlah solat pada dua bahagian siang (pagi dan petang) dan pada bahagian permulaan malam. Sesungguhnya perbuatan-perbuatan yang baik itu menghapuskan amalan-amalan yang buruk (dosa-dosa). Itulah peringatan bagi orang-orang yang selalu mengingati (Allah).”
Hud 11:114
“Dan pada sebahagian malam, lakukanlah solat tahajud (sebagai suatu ibadah) tambahan bagimu: mudah-mudahan Rabbmu mengangkat kamu ke tempat yang terpuji.”
Al-Isra’ 17:79
“Sesungguhnya Aku ini Allah, tidak ada ilah (yang hak) selain Aku, maka sembahlah Aku dan dirikanlah solat untuk mengingati Aku.”
Taha 20:14
“Wahai orang-orang yang beriman, rukuklah, sujudlah, sembahlah Rabbmu dan perbuatlah kebajikan supaya kamu beruntung.”
Al-Hajj 22:77